NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kolaborasi Kedah, Terengganu Tarik Pelancong Antarabangsa



ALOR SETAR, 20 Mac – Kolaborasi antara sektor pelancongan Terengganu dan Kedah bukan sahaja bakal merancakkan pertukaran pelancongan domestik antara dua negeri tetapi ia turut membuka pintu kepada kemasukan pengunjung antarabangsa di masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Seni, Budaya, Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan & Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad menyifatkan kerjasama antara negerinya adalah dinantikan kerana langkah itu memberi laluan kepada perkongsian pendapatan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengajar kita bahawa pelancongan domestik dan persaudaraan antara negeri amat penting, ini adalah situasi menang-menang.

“Ia juga mendorong kita supaya mengeratkan ukhwah kerana talian tersebut akan beri satu persefahaman dan kolaborasi pelancongan bersama negeri Terengganu dalam bentuk sistem barter.

“Contohnya, mereka daripada Terengganu tidak tahu apa menarik tentang Kedah dan sebaliknya bagi Kedah, melalui usaha promosi dan pertukaran, pengunjung daripada Terengganu akan berminat untuk melawat Kedah dan mereka daripada sini berminat untuk ke negeri tersebut," katanya selepas kunjung hormat pelancongan Terengganu di Star Sky & Lounge, Menara Alor Setar, pagi semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abd Razak, Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak.

Tambah Firdaus, sebagai tindak balas terhadap jasa baik kerajaan negeri, pihaknya turut merancang untuk menghantar delegasi ke Terengganu.

“Kedah adalah pintu masuk bagi pelawat antarabangsa dan tempatan seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Alor Setar, dengan ada papan tanda di kawasan itu mungkin kita boleh bertukar dan promosikan keunikan negeri Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Ariffin Deraman berkata, perbincangan dibuat adalah permulaan dan akan diikuti dengan perancangan lebih lanjut untuk dilaksanakan selepas tamat PKP serta dibenarkan rentas negeri.

“Pada masa kini, penggiat pelancongan dua negeri akan berkumpul dan bertukar pendapat dalam bentuk Bisnes dengan Bisnes (B2B) dengan harapan agar memajukan sektor mereka bersama,” jelasnya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo