NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Setahun 'Abah' tabah hadapi wabak ‘penyakit dan politik’

HARI ini genap setahun Muhyiddin Yassin, 73 sebagai Perdana Menteri (PM) kelapan. Begitu pantas masa berlalu. Siapa sangka, seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang pernah disingkirkan akhirnya kembali menerajui negara.

Ada beberapa TPM yang disingkirkan sama ada melalui pemecatan atau ‘politik’ tidak mampu kembali menduduki jawatan No.1 itu.

Tidak seperti PM lain, Muhyiddin melangkah masuk ke Putra Perdana tanpa melalui mandat atau ‘kemenangan majoriti’ pilihan raya umum (PRU) sebaliknya disebabkan oleh pergolakan politik yang dicipta orang politik sendiri. Mandat rakyat menjadi mangsa.

PM ketujuh, Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang. Kemudian Dr. Mahathir dilantik sebagai PM interim.

Ketika timbul persoalan siapa bakal PM kelapan dalam kelompok PH sama ada Mahathir atau Anwar Ibrahim, wujud kesepakatan antara parti pimpinan Muhyiddin iaitu Bersatu bersama Barisan Nasional ( BN), Pas serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Maka terbentuklah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pelbagai gelaran diberi terhadap kerajaan ini – kerajaan tebuk atap, kerajaan pintu belakang dan macam-macam lagi. Realitinya Muhyiddin tetap PM.

Malaysia mendapat PM kelapan lebih awal daripada ‘perjanjian asal’ Dr. Mahathir dengan Anwar. Cuma pengisiannya oleh orang lain, bukan Anwar.

Muhyiddin mengambil alih kerajaan ketika pandemik Covid-19 sedang merebak yang memberi kesan kepada setiap aspek kehidupan sama ada ekonomi, agama, pendidikan, sosial dan pelbagai lagi.

PN tidak ada manifesto PRU yang dijanjikan, tetapi cukuplah berusaha untuk memberi ‘kelegaan’ kepada rakyat ketika krisis kesihatan. Apa pun manifesto jika ada bukanlah satu kitab.

Bagi menghadapi situasi pandemik ini, anggota Kabinetnya memotong gaji dua bulan untuk mengisi tabung Covid-19. Tak apa, rakyat kata mereka bergaji besar. Apalah sangat dua bulan.

Langkah lain termasuk menyediakan pakej bantuan dan pakej rangsangan ekonomi berjumlah hingga RM300 bilion untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat semasa berdepan dengan situasi yang luar biasa ini.

Disamping tertekan dengan situasi wabak ini, politik juga sering ‘mengganggu’ kelancaran kerajaan PN disebabkan majoriti tipis. Timbul keghairahan untuk menumbangkan kerajaan PN ini dengan calon PM baharu mendesak beliau meletak jawatan dan memberi laluan kepada orang lain.

Kelmarin, timbul lagi suara di sebelah sana yang mahu Muhyiddin meletak jawatan atas alasan PM sudah hilang sokongan majoriti anggota Parlimen.

Justeru beberapa tindakan Muhyiddin dianggap bermotifkan politik bagi menyelamatkan kedudukannya sebagai PM. Tekanan sama ada secara langsung atau tidak langsung dihadapinya sama ada ia datang dari pihak kawan atau lawan.

Namun hakikatnya, hari ini 1 Mac genaplah setahun pentadbiran PN yang dipimpinnya. Sesuatu yang beliau tidak duga, tetapi katanya “ini semua takdir oleh Allah SWT,”

Walaupun pelbagai tekanan politik dihadapi, beliau yang mendapat gelaran ABAH dalam menangani wabak ini tetap tabah meneruskan pentadbiran kerajaan.

Katanya dalam satu wawancara : “Saya buat yang terbaik untuk negara. Pasal saya tahu, saya ada amanah, yang mesti saya tunaikan amanah… walaupun saya tidak dipilih dalam pilihan raya macam biasa, orang dapat mandat tapi (ekoran) krisis yang berlaku, saya dilantik (sebagai perdana menteri),”.

Di sebalik kritikan membentuk barisan Kabinet yang ramai, tawaran jawatan untuk orang politik, beliau masih memberi fokus untuk memastikan nyawa rakyat dilindungi daripada wabak ini.

Sebagai seorang Abah, sudah tentu banyak kerenah anak-anak yang terpaksa dihadapi. Mana mungkin seorang Abah mampu memenuhi kehendak atau ragam anak-anaknya tetapi yang penting anak-anak itu akan cuba dilindungi daripada penyakit, supaya sihat dan pada masa yang sama ‘ada makanan di atas meja’.

Muhyiddin mengambil tindakan segera dan pendekatan berbeza daripada kerajaan-kerajaan sebelum ini, dengan memikirkan apa yang harus dilakukan bagi melindungi nyawa rakyat, masih ada peluang ‘pekerjaan’, pengurusan ekonomi, keselamatan dan ketenteraman awam serta perpaduan rakyat terus kekal.

Setahun menongkah arus, Muhyiddin begitu tekad dan tabah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Memang beliau seorang Abah yang tabah walaupun diasak di kiri dan kanan terutama dalam kalangan rakan-rakan dan musuh politik. Mungkin jika tidak tabah, Abah boleh rebah atau boleh saja merajuk dan meletak jawatan.

Mungkin keadaan negara akan lebih baik tanpa asakan politik (ketika menghadapi pandemik) sama ada dari dalam atau luar kerajaan PN.

Keikhlasan bekerja untuk rakyat amat dituntut ketika ini. Sama ada PN, BN, PH hentikan politiking, bukan lompat melompat, tikam menikam dan hasut menghasut. Rakyat sudah letih dengan sandiwara politik.

Semua orang tahu dalam politik tidak ada yang boleh dipercayai kerana kawan boleh menjadi lawan dan lawan boleh menjadi kawan.

Apa salahnya dalam tempoh menghadapi wabak ini, lakukan seketika gencatan politik bukannya masing-masing masih cuba bermain angka, atau menegakkan benang yang basah.

Ingatlah, bukan lama, hanya berbaki dua tahun penggal ini akan berakhir.
Lainlah jika ada kalangan orang politik ini memiliki ‘lampu ajaib’ yang mampu menukar segala-galanya.

Bersabarlah sama seperti kesabaran PM biar apa pun dihadapkan terhadapnya. Jika wabak reda hari ini, kita mengundilah memilih kerajaan baharu tanpa menunggu 60 hari (bergantung kepada SPR).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo