NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjaya pekerja bebas penuhi keperluan MyDIGITAL

KERJAYA freelancer atau pekerja bebas dahulunya dianggap sampingan sekadar memperoleh pendapatan tambahan, di samping kerjaya sepenuh masa.

Kini, potensi pekerja bebas sebagai kerjaya sepenuh masa sangat meyakinkan dan tidak mustahil menjadi kerjaya arus perdana bagi sesetengah bidang profesional.

Perkembangan ini selari pelan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL.

Di Malaysia, menurut data Bank Dunia, hampir 26 peratus tenaga kerja tempatan adalah pekerja sendiri, termasuk kelompok pekerja bebas.

Peratusan ini dijangka meningkat apabila semakin ramai cenderung memilih kerjaya dengan waktu kerja fleksibel. Banyak pemilik perniagaan besar dan kecil cenderung menggunakan servis pekerja bebas kerana menjimatkan kos pengurusan mereka.

Secara umum, pekerja bebas merujuk seseorang yang bekerja sendiri tanpa terikat majikan. Mereka diupah melaksanakan sesuatu tugas oleh syarikat atau pelanggan berbeza.

Antara tugas profesional sering menjadi pilihan seperti pereka, pengatur cara, penulis, pendidik, pemasar, akauntan dan peguam.

Apabila potensi kerjaya ini meningkat, cabaran dan persaingan turut seiring meningkat. Oleh itu, persediaan betul harus dilakukan sebelum menceburi bidang ini sebagai kerjaya profesional.

Persediaan utama pastinya meningkatkan kompetensi diri. Maksudnya, memiliki kemahiran teori dan praktikal dalam bidang tertentu, kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi, kreatif, inovatif dan seumpamanya.

Kompetensi sebenarnya penting bagi memastikan tugasan dihasilkan berkualiti, dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan serta berkadar harga munasabah.

Seterusnya, strategi pemasaran diri berkesan perlu diterokai. Pada era ekonomi digital, keberadaan dalam ruang maya sangat penting.

Perkara pertama perlu diwujudkan ialah laman web peribadi yang memaparkan maklumat diri dan perkhidmatan, portfolio hasil dan tugas pernah dilakukan, testimoni pelanggan dan sebagainya mengikut kesesuaian bidang.

Sebaiknya, seseorang pekerja bebas memiliki kemahiran mengurus dan mengendalikan laman webnya sendiri. Ia tidak sukar dengan adanya banyak pembekal servis internet yang menyediakan platform web hosted-ready berserta fitur reka bentuk laman web mesra pengguna.

Aspek pemasaran diri juga penting melalui media sosial dengan pautan laman web peribadi diletakkan dalam setiap pos atau status dikemas kini.

Hampir 50 peratus populasi dunia menggunakan media sosial dengan anggaran purata 144 minit digunakan pengguna internet bagi aktiviti media sosial.

Ini menggambarkan potensi pencapaian pelanggan yang luas dan pelbagai melalui media sosial.

Bina rangkaian dan hubungan baik dengan pelanggan dan komuniti pekerja bebas daripada pelbagai bidang untuk kelestarian. Memandangkan keperluan pelanggan pelbagai, membina rangkaian dengan pekerja bebas daripada pelbagai bidang memungkinkan perkongsian tugas berlaku.

Misalnya, pelanggan mungkin menawarkan tugas pembangunan aplikasi mobile yang memerlukan kemahiran reka bentuk grafik serta antara muka dan kemahiran pengaturcaraan.

Sekiranya seseorang pekerja bebas hanya memiliki satu kemahiran, tugas ini boleh dikongsi dengan pekerja bebas lain. Lebih menguntungkan jika memiliki kedua-dua kemahiran itu.

Ini bererti, memiliki kemahiran pelbagai nilai tambah bagi meningkatkan daya saing seseorang pekerja bebas.

Selain bidang diceburi, suatu inisiatif baik sekiranya seseorang pekerja bebas profesional dapat berterusan meningkatkan kemahiran diri dalam pelbagai bidang dengan pendekatan pembelajaran sepanjang hayat.

Pandemik melanda dan konsep bekerja dari rumah yang diadaptasi menyedarkan ramai menyedari potensi kerjaya pekerja bebas secara profesional.

Perkembangan ini harus digunakan sebaiknya untuk membina kesedaran akan potensi kerjaya sebagai pekerja bebas profesional pada era ekonomi digital. Ia juga penting bagi menangani pengangguran, terutama dalam kalangan graduan.

Lantas, pengetahuan berkaitan pekerja bebas penting diterapkan dalam kursus keusahawanan di institusi pendidikan untuk dapat meningkatkan kesedaran serta persediaan generasi muda.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)a

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo