NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Runding kerusi ‘PKR, Pejuang’ bukan UMNO, PAS, Bersatu


DIAM tak diam Bersatu sudah mempunyai 31 kerusi Parlimen, hanya empat lagi kerusi untuk menyamai UMNO dan PKR. Begitu juga, UMNO dan PKR sama-sama hebat kerana mendahului carta acara ‘lompat katak’ atau istilah lebih kasar pengkhianatan anggota Parlimennya.

UMNO dan PKR setakat 14 Mac masing-masing kehilangan 15 kerusi, satu sejarah politik yang memualkan terutama dalam kalangan pengundi dan penyokong parti, bukan penyokong individu kerana nama, contohnya Azmin, Tok Pa atau Hamzah.

Kedudukan kerusi ini diperoleh berdasarkan fakta yang dipaparkan di Sinar Ahad hari ini. Entah siapa yang akan menjuarai acara lompat katak ini – UMNO atau PKR kerana seperti kata Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, ramai lagi akan ‘melompat’.

Dan isu lompat atau pengkhianatan inilah yang menjadikan rebutan atau agihan kerusi menjadi lebih menarik. Malahan kerusi dikatakan menjadi punca ‘keretakan’ hubungan UMNO dengan Bersatu dan jika tidak dikawal mungkin juga dengan Pas.

Dalam hal ini, UMNO lebih tertekan berbanding PKR yang tidak berebut dengan mana-mana parti berhubung kerusi yang sudah tergadai. Adakah UMNO bersedia memberi laluan kepada Bersatu? Jawabnya mustahil.

Belum kedengaran mana-mana parti politik yang bersedia memberi laluan hijau kepada parti yang menjadi ‘kolam’ baharu wakil rakyat lompat. PKR dan Amanah sudah menyatakan pendirian akan bertanding di kerusi yang dimenangi sebelum ini .

Justeru adakah UMNO sedia menyahut seruan Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) untuk berunding mengenai 13 kerusi yang dipertikaikan?

Kata Azmin dalam wawancara bersama sinar Ahad: “Hanya 13 kerusi yang menjadi pertikaian. Yang dikatakan mereka menang atas tiket parti lain (UMNO) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu).

“Tetapi pertanyaan saya ialah apakah dengan 13 kerusi ini kita mahu musnahkan 222 kerusi lagi? Apakah kerana 13 ini kita mahu runtuhkan sebuah kerajaan yang kita bina bersama? Maka saya ingin ambil pendekatan, jika itulah isunya, ayuh mari kita tumpu perbincangan terhadap 13 kerusi ini. Itu pendekatan yang patut diambil,”.

Setakat ini UMNO belum bersedia mengorbankan kerajaan PN seperti berlaku kepada kerajaan PH yang ‘dikorbankan’ oleh anggota Parlimen PH sendiri, malahan UMNO dan BN akan mempertahankan kerajaan PN sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Hubungan UMNO dengan kerajaan PN terputus apabila tiba PRU (pendirian setakat 14 Mac kerana politik pelbagai warna).

Azmin berkata: “Kita berbeza pandangan 13 (kerusi Parlimen), tetapi yang ada bakinya 209 kerusi tiada masalah. Mengapa kita harus bergaduh kerana 13 (kerusi Parlimen) ini. Jadi saya fikir, kita perlu letakkan objektif kita secara jujur,”

Nampaknya Azmin sudah menjawab kepada persoalan yang timbul. Jika benar Bersatu mahukan 13 kerusi itu, elok lupakan sahaja demi menjaga sebuah kerajaan yang diasaskan bersama. Tidak perlu ‘bergaduh’. Perlu jujur.

Kata Azmin, PN (tidak dianggotai UMNO) telah ada satu kerangka tentang bagaimana pengagihan kerusi ini patut dijalankan. Sebagai contoh, kerusi-kerusi penyandang harus dihormati dan dipertahankan.

“Contohnya, kerusi Parlimen Pagoh telah dimenangi oleh Bersatu maka kekal milik Bersatu. Kerusi Marang yang dimenangi Pas, maka kekal untuk Pas. Soal calon, itu hak parti masing-masing. Tetapi sekurang-kurangnya sudah ada satu formula pengagihan untuk dimulakan.

“Mungkin kerusi-kerusi yang belum dimenangi, kita bawalah ke meja rundingan. Kita lihat kekuatan parti masing-masing,” terang beliau.

Hakikatnya apa yang dikatakan Azmin itulah antara formula terbaik bagi menyelesaikan isu 13 kerusi lompat ini. Jika 13 atau 15 yang asalnya dimenangi UMNO, maka UMNOlah yang bertanding sama seperti Pas di Marang dan Bersatu di Pagoh.

Contohnya jika Jeli, Bagan Serai, Masjid Tanah, Larut, Hulu Terengganu, Bukit Gantang, Mersing, Tasek Gelugor, Sabak Bernam, Tanah Merah dimenangi UMNO maka kerusi itu kekal milik UMNO untuk ditandingi PRU15.

Begitu juga seperti kata Azmin kerusi yang belum dimenangi dibawa ke meja rundingan.

Berundinglah mengenai kerusi yang belum ‘dimenangi’ PN secara sah sebaliknya atas tiket PKR seperti Gombak, Ampang, Indera Mahkota, Selangau, Bandar Tun Razak, Nibong Tebal, Batu Pahat, Segamat, Saratok, Puncak Borneo, Ranau, Lubok Antu, Tebrau, Julau dan Kuala Langat.

Bagaimana pula rundingan mengenai kerusi yang dimenangi Bersatu tetapi kini milik Pejuang dan Bebas seperti Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Seri Gading, Simpang Renggam dan Muar.

Jika PN menggunakan formula ini tidak timbul masalah besar agihan kerusi, lainlah jika ada dalam kalangan parti politik yang membentuk kerajaan PN sekarang mempunyai pilihan lain yang dirasakan lebih selamat dan terjamin kedudukan politik mereka.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo