NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rundingan ke negeri berhubung RUU355 diadakan bulan hadapan

– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

14 MAC: Kerajaan mengesahkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam telah bersedia untuk dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keputusan itu dilakukan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac lalu.

“Dengan berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac yang lepas, InsyaALLAH kita sudah bersedia.

“Untuk membawa cadangan dua RUU iaitu RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, malam tadi.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, Ahmad Marzuk sempat menghadiri sebentar mesyuarat tersebut untuk mengikuti perkembangan perbincangan ahli jawatankuasa berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa yakin mereka telah mencurahkan sepenuh usaha bagi memastikan RUU itu lengkap dan bersedia untuk dibawa ke peringkat seterusnya.

“Tahniah juga saya ucapkan kepada tiga lagi lantikan ahli jawatankuasa yang baharu iaitu Nik Bahrum Nik Abdullah, Dr Nurhafilah Musa dan Ahmad Jailani Abdul Ghani.

“Semoga dengan kehadiran mereka akan melancarkan lagi proses penggubalan perundangan Syariah utama mengikut Roadmap Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah 2020-2025 yang kita sasarkan,”katanya.

Terdahulu, beliau semalam memberitahu Perlembagaan Persekutuan telah memberikan punca kuasa kepada negeri-negeri termasuklah Wilayah Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam.

Tambahnya, kuasa itu telah diberikan di bawah Perkara 11(4) iaitu setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tidak boleh mengembangkan atau mempengaruhi orang lain untuk mengamalkan agama yang mereka anuti.

“Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di negeri-negeri yang sudah pun menggubal Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada orang Islam.

“Manakala, kita dalam usaha untuk menggubal enakmen/akta ini di negeri-negeri yang masih belum ada termasuklah Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang saya pernah maklumkan di Parlimen pada 26 November 2020,” katanya. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo