ISU LAPUK yang berlarutan terutamanya selepas pakej transformasi FELDA sejak 2012, telah menjadi isu besar dan gagal dimuktamadkan oleh FELDA sejurus Tan Sri Isa Samad dilantik menjadi Pengerusi FELDA.

Janji demi janji telah diberi, sehinggalah kemuncaknya kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional dan menyaksikan 54 Parlimen FELDA membuktikan peneroka FELDA marah dengan apa yang berlalu. Hampir separuh daripada kerusi ini dimenangi pembangkang dan telah membentuk kerajaan selepas PRU14

22 bulan Pakatan Harapan (PH) gagal merubah wajah FELDA secara holistik sebaliknya banyak janji kepada peneroka sebelum pilihan raya tidak dilaksanakan. Adalah beberapa perkara kecil dilakukan mereka tetapi tidak memberi impak besar menjurus kepada penyelesaian isu-isu besar.

Oleh itu, kesempatan inilah di waktu Perikatan Nasional (PN) memerintah ini kami merayu kepada Perdana Menteri, seluruh Ahli Parlimen terutamanya mereka yang mewakili 54 Parlimen kawasan yang ada FELDA agar bersama-sama kerajaan membincangkan isu ini.

Penghapusan semua atau sebahagian hutang yang masih gagal dimuktamadkan ini adalah jalan terbaik kepada semua. Sebelum ini mantan Pengarah Besar Felda Datuk Othman Omar melalui Berita Harian pada 25 Febuari 2019 mendakwa FELDA telah berjaya memuktamadkan RM5.5 bilion hutang peneroka dan baki RM2 bilion lagi masih dalam usaha memuktamadkannya. 

Episod ini berlarutan sehingga ke hari ini, sewajarnyalah PN mengambil tindakan drastik dan berfokus agar kesemua akaun 112,635 peneroka FELDA di seluruh 317 tanah rancangan menerima perkhabaran gembira dan tanda kebersamaan mereka kepada kerajaan. 

Saya merayu sangat-sangat, setulusnya harapan ini mewakili seluruh peneroka dan hampir 2.2 juta warga FELDA agar perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya.

Sekian. Setulus pengharapan.

NARAZA MUDA
Anak Peneroka 1043 Peringkat 1 Felda Jerangau Terengganu
16 Mac 2021 – HARAKAHDAILY 16/3/2021