NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM tunai umrah, ziarah Madinah sebelum bertemu Raja Salman


6 MAC : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berlepas ke Mekah dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Asia Barat bagi memenuhi jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Menurut Muhyiddin menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, beliau terlebih dulu akan menunaikan ibadah umrah dan menziarahi Madinah, sebelum menyertai program rasmi di Istana Al Yamamah yang dijadualkan pada 9 Mac ini.

“Selain menghadap Yang Teramat Mulia Raja Salman, saya dijadual mengadakan pertemuan dengan Yang Mulia Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kerajaan Arab Saudi.

“Lawatan saya ini cukup signifikan kerana antara lain akan membincangkan pelbagai usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan dan hal ehwal Islam yang mampu melonjakkan hubungan baik sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

“Sudah pasti soal kuota haji dan urusan umrah juga tidak ketinggalan akan dibincangkan dalam pertemuan itu kelak,” jelasnya menerusi kenyataan tersebut.

Selepas program lawatan rasmi di Arab Saudi, Muhyiddin dijangka akan terus ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), untuk bertemu dengan YM Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, YM Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.

“Doakan agar perjalanan saya ini dipermudahkan dan segala urusan demi kemaslahatan ummah mendapat barakah oleh Allah SWT,” katanya.- Oleh Hafiz Hamzah

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo