NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PH cuba sangsikan rakyat?


Oleh Sarfarizmal Bin Md Saad

SEJAK azali lagi, pembangkang di Malaysia hanya boleh hidup dengan isu. Tanpa isu, mereka boleh mati.

Kerajaan dapat ‘vitamin’ daripada inisiatif yang membuatkan rakyat suka, manakala pembangkang pula dapat ‘makanan ruji’ melalui isu yang ‘entah apa-apa’ yang mereka bangkitkan melalui media sosial.

Itulah amalannya sejak dari pilihan raya pertama lagi. Namun, ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ambil alih Putrajaya, pembangkang yang dikuasai DAP (Pakatan Harapan – PH) nampaknya sudah bertukar menjadi zombi. Mereka tidak cukup ‘makanan’ dan menjadi ‘tidak berguna’ walau satu sen pun.

Mungkin pelbagai inisiatif diberikan oleh kerajaan kepada rakyat sepanjang pandemik, maka PH tak terdaya untuk ‘menembak’ kerajaan sedia ada. Tiada ‘peluru’ isu bermakna mereka hilang ‘makanan’ untuk pengaruhi pemikiran rakyat.

Pun begitu, selepas setahun PN perintah, PH mencuba nasib melantunkan beberapa dakyah agar rakyat kembali terpengaruh dengan hasutan mereka.

Terbaru melalui satu kenyataan media bertarikh 5 Mac 2021, Majlis Presiden PH mendesak Kerajaan PN agar tidak jadikan agensi kerajaan sebagai senjata politik.

Tiga agensi dinamakan sebagai ‘alat’ untuk kerajaan mengukuhkan kedudukan politik iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata mereka, SPRM, LHDN dan PDRM sedang dalam siri tindakan terhadap Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, pegawai-pegawai malah juga ahli-ahli keluarga mereka, dengan motif ‘senjata politik’.

Sudah tiada isu lainkah yang boleh Majlis Presiden PH bangkitkan ketika rakyat berada dalam kesempitan akibat pandemik Covid-19?

Hanya mereka yang dungu dan tidak faham gerak kerja pentadbiran kerajaan sahaja akan anggap badan-badan penguatkuasaan dipengaruhi ‘tangan ghaib’ ketika mereka menjalankan amanah dan tanggungjawab.

Sebenarnya, agensi-agensi berkaitan penguatkuasaan itu menjunjung sumpah taat setia ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan aspirasi kerajaan semasa.

Mereka (penjawat awam) tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang membentuk kerajaan. Mereka hanya berkiblatkan aspirasi atau hala tuju kerajaan semasa ketika itu.

Sebab itu ketika PH menjadi kerajaan, penjawat awam yang sama juga ke hulu ke hilir bekerja membanteras rasuah dan salah guna kuasa berpandukan arahan yang diterima. Arahan dari siapa? Arahan dari dasar atau aspirasi Kerajaan PH waktu itu.

Kebetulan, Kerajaan sekarang mungkin berazam mahu hapuskan salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan wakil rakyat. Jadi, jangan pula dipersalahkan SPRM, LHDN dan PDRM sekiranya anggota mereka datang ke rumah Ahli Parlimen PH, mengetuk pintu dan membawa mereka ke lokap.

Bukan Ahli Parlimen PH sahaja yang terjebak, sebaliknya ada beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sendiri turut terpalit. Berbulan-bulan mereka diheret naik turun ke mahkamah atas pelbagai dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Bukankah BN itu salah satu parti membentuk Kerajaan PN? Jadi, jika benar Kerajaan PN mahu memperalatkan agensi kerajaan untuk ‘senjata politik’, kenapa mereka bertindak terhadap rakan sendiri?

Maka Majlis Presiden PH harus insaf dan sedar dalam kalangan Ahli Parlimen mereka sebenarnya ramai yang dituduh dengan dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Buktinya disebut sendiri dalam kenyataan media mereka yakni terdapat ramai Ahli Parlimen PH beserta kaum keluarga yang bakal dan sedang berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh agensi-agensi penguatkuasa terbabit.

Oleh sebab itu, PH jangan cuba sangsikan pemikiran rakyat. Kalau tidak, elok juga tiga agensi berkenaan buat laporan polis terhadap PH yang cuba menganggu tugas penjawat awam dan cuba sangsikan rakyat?

– Bebasnews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo