NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AirAsia semakin pulih melalui transformasi digital dan peluang lain - Fernandes



KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd semakin pulih daripada impak pandemik COVID-19, selepas mengambil peluang baharu termasuk mempercepatkan transformasi digitalnya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

Kumpulan itu melihat situasi sekarang sebagai peluang sekali sepanjang hayat bagi memperbaharui perniagaannya selain mula memberi fokus kepada ASEAN, termasuk mengkaji semula struktur kos dan menamatkan urus niaga yang tidak seimbang, katanya.

"Dengan platform digital seperti aplikasi, teknologi kewangan dan perniagaan makanan berjalan lancar, kami kini berada di penghujung cabaran serta teruja dengan pengenalan pelbagai perniagaan yang baru diterokai," katanya pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2021 semasa sesi maya yang bertajuk "Jalan ke arah Pemulihan : Menukar Krisis kepada Peluang".

Beliau ketika mengulas mengenai usaha kepelbagaian menjelaskan, kumpulan itu juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi udara dalam tempoh satu setengah tahun, selain perkhidmatan e-panggilan pada April nanti.

"Teksi udara ini akan mempunyai juruterbang dan empat kerusi. Buat masa ini, kami mempunyai pasukan yang mengusahakan perkhidmatan baharu ini," jelas beliau.

Selain itu, Teleport, bahagian logistik Airasia Digital, akan melancarkan Sandbox Penghantaran Dron Bandar melalui kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia. Projek perintis ini melibatkan penghantaran barang daripada platform e-dagang kumpulan menggunakan dron automatik akan dijalankan melalui pendekatan berfasa bertempoh enam bulan di Cyberjaya.

Teleport akan menjadikan usaha ini lebih cepat, murah dan lebih mudah diakses oleh semua orang untuk memindahkan barangan, terutama oleh perusahaan kecil dan sederhana, di seluruh Malaysia serta dunia.
Beliau juga optimis terhadap pembukaan sempadan antarabangsa secara beransur-ansur yang berkemungkinan berlaku pada Julai atau Ogos.

"Kami akan mula melihat beberapa pembukaan sempadan menjelang Julai dan Ogos, ini diharapkan akan mengembalikan dunia penerbangan kembali normal.

"Sepanjang perjalanan, saya telah melalui pelbagai wabak, peperangan dan bencana. Manusia memang suka melancong, terutama dengan adanya penerbangan tambang rendah," katanya lagi.

Kerugian bersih syarikat penerbangan tambang rendah itu meningkat kepada RM851.78 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2020 berbanding RM51.44 juta yang dicatatkan pada setahun sebelumnya, tetapi ia lebih rendah daripada kerugian RM992.89 juta yang direkodkan semasa suku kedua.

-- BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo