NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa Dalam Tempoh 22 Bulan Menteri PH Tidak Boleh Selesaikan?

Semalam, 4 Mac 2021, Kementerian Alam Sekitar dan Air di bawah kepimpinan Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, telah berjaya memuktamadkan Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air di negeri Perlis dan negeri Kedah. Dengan dua majlis menandatangani yang diadakan di Perlis dan Kedah semalam maka seluruh negeri di Semenanjung Malaysia telah memuktamad migrasi industri perkhidmatan bekalan air negeri masing-masing ke bawah seliaan Kerajaan Persekutuan. Di Semenanjung Malaysia, hanya negeri Terengganu yang tidak terlibat dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air.
 
Sebenarnya, penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Semenanjung Malaysia telah bermula sejak tahun 2005, apabila kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengenalpasti kegagalan dasar penswastaan industri perkhidmatan bekalan air yang digagaskan oleh Perdana Menteri sebelumnya Tun Dr Mahathir Mohamad. Kerajaan Persekutuan ketika itu telah berbincang dengan Kerajaan-kerajaan Negeri sehingga bersetuju untuk meletakkan industri perkhidmatan bekalan air ini di dalam Senarai Bersama (Persekutuan dan Negeri) seperti dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Setelah proses perundangan itu selesai, maka bermulalah era penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Semenanjung Malaysia. Satu demi satu negeri-negeri di Semenanjung Malaysia telah memuktamadkan migrasi industri ini ke bawah seliaan Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun, ada tiga negeri yang belum dapat dimuktamadkan sehingga Kerajaan BN tumbang dalam PRU ke-14, iaitu Pahang, Perlis dan Kedah. Apabila bermula era kerajaan PH selepas bulan Mei 2018, sepatutnya proses migrasi ini mendapat perhatian utama Menteri yang berkaitan kerana ia sangat berkait rapat dengan keperluan asasi rakyat. Malangnya dalam tempoh 22 bulan pemerintahan PH ia tidak berlaku.

Selepas Kerajaan PN tertegak pada 1 Mac 2020, dan Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air pada 10 Mac 2020, beliau telah berazam memuktamadkan perjanjian ini demi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air di seluruh negara. Dengan kerjasama yang mantap daripada pegawai-pegawai di KASA dan agensi-agensi berkaitan seperti SPAN dan PAAB, maka semalam telah menyaksikan azam beliau telah tercapai. Dalam tempoh tidak sampai setahun perjanjian dengan negeri Pahang, Perlis dan Kedah telah berjaya dimuktamadkan. Dengan pemuktamadan ini, diharapkan rakyat akan mendapat jaminan bekalan air yang berkualiti.

Selepas ini, KASA dan agensi-agensi yang berkaitan di bawah kementerian boleh memberi tumpuan lebih fokus kepada usaha-usaha yang lebih teknikal untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air kepada rakyat di seluruh negara, setelah perkara-perkara yang melibatkan dasar dan perundangan selesai. Malah, selepas ini Dato Sri Tuan Ibrahim berazam untuk memberi fokus khusus kepada negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang turut menghadapi masalah kritikal berkaitan dengan perkhidmatan bekalan air.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo