NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan perinci senarai kesalahan, jumlah kompaun PKP



KANGAR: Kerajaan akan memperinci senarai kesalahan dan jumlah kompaun maksimum membabitkan kesalahan berkaitan, dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Darurat COVID-19, esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan turut memberi jaminan pelaksanaan jumlah kompaun maksimum membabitkan kesalahan ketidakpatuhan atau ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"Kerajaan bagi jaminan akan selesaikan pelaksanaannya, termasuk pengeluaran saman kepada mereka yang melakukan kesalahan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) yang boleh didenda RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat dan perbadanan.

"Kita akan bermesyuarat pagi esok untuk Jawatankuasa Pengurusan Darurat COVID-19. Saya sebagai Pengerusi bersama dengan Ketua Setiausaha Negara, (Tan Sri Mohammad Zuki Ali). Saya sudah pun bercakap tadi bahawa kita akan membincangkan serta senaraikan jenis kesalahan serta berapa jumlah kompaun maksimum yang boleh dikenakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Takiyuddin berkata, peraturan berkenaan terpaksa dilakukan berikutan peningkatan jumlah kes ingkar dalam mematuhi peraturan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pertama, saya nak jelaskan bahawa ini adalah peruntukan yang terdapat dalam ordinan yang dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong serta diwartakan pada 25 Februari lalu berkaitan dengan Seksyen 25 dalam Akta 342. Sebelum ini dalam akta berkenaan, Ketua Pengarah Kesihatan dan orang yang diberi kuasa boleh memberi kompaun kesalahan mengikut akta ini tidak melebihi RM1,000.

"Namun, memandangkan tahap ketidakpatuhan ataupun keingkaran sepanjang pandemik COVID-19 ini semakin meningkat menyebabkan kerajaan membuat keputusan untuk meningkatkan jumlah atau amaun kompaun itu daripada RM1,000 kepada RM10,000. Namun, ia tidak melebihi RM10,000 dan ini yang penting.

"Dalam hal ini juga, bukanlah bererti seseorang itu akan dikompaun RM10,000 tetapi boleh dikompaun tidak melebihi RM10,000 bergantung kepada tahap kesalahan. Jadi, sekiranya ia hanya kesalahan kecil atau kesalahan biasa umpama tak pakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, itu bukanlah kesalahan yang boleh dikompaun RM10,000 kerana ada banyak lagi kesalahan lain yang lebih besar," katanya.

Takiyuddin berkata, ahli masyarakat yang dikenakan kompaun berkenaan boleh memilih sama ada mahu membayar kompaun berkenaan atau membuat rayuan di mahkamah.

Sebelum ini, walaupun sudah diterangkan oleh kerajaan mengenai langkah penyelesaian terhadap kompaun RM10,000, masih wujud perang persepsi mengenai isu berkenaan yang cuba dimanipulasi oleh ahli politik seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan buruk terhadap kerajaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo