NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

553 CCTV di Pulau Pinang dipasang fungsi video analisis

GEORGETOWN: Sebanyak 553 kamera litar tertutup (CCTV) milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dipasang dengan fungsi ‘video analytics‘ bagi meningkatkan tahap keselamatan awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, lebih banyak CCTV yang dilengkapi dengan fungsi itu akan dipasang dalam tempoh terdekat bagi memudahkan kerja-kerja pemantauan keselamatan oleh pihak berkuasa.

“Sebanyak 528 kamera CCTV milik MBPP dan 25 CCTV milik MBSP telah dipasang dengan fungsi video analytics dan akan ditambah lagi.

“CCTV ini digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau lokasi-lokasi aliran trafik, titik panas jenayah, banjir dan kerja tanah haram di kawasan bukit dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, penggunaan CCTV itu sangat membantu PBT melaksanakan pemantauan
pandemik Covid-19 dan turut membantu dalam melaksanakan kawalan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui arahan penyuraian orang ramai yang dibuat secara berkala.

“Penggunaan CCTV ini secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko terhadap penguat kuasa yang juga terdedah kepada risiko jangkitan virus tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kesemua kamera CCTV yang dipasang di negeri ini boleh dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Balai Polis Batu Ferringgi dan Balai Polis Balik Pulau serta IPD Seberang Perai Tengah.

“Bagi tahun ini, kes-kes yang telah dikesan melalui CCTV ini adalah melibatkan kerosakan lampu jalan, kemalangan, halangan trafik, kesesakan lalu lintas, pembuangan sampah secara haram dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu katanya, orang ramai dinasihatkan terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 di negeri ini.

“Setakat ini, 1.63 juta pemeriksaan SOP telah diadakan oleh anggota penguat kuasa MBPP serta MBSP dan mendapati tahap pematuhan orang ramai adalah sekitar 99 peratus,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo