NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kalimah Allah: Gereja SIB fail notis henti permohonan




25 MAC: Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) telah memfailkan notis penghentian permohonan kebenaran merayu oleh gereja itu di Mahkamah Persekutuan berhubung isu penemuan dokumen yang mengandungi keputusan Kabinet melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan keagamaan bukan Islam.

Peguam Bobby Chew, yang mewakili Gereja SIB dan Presidennya Jerry W A Dusing @ Jerry W Pate, ketika dihubungi berkata notis itu difailkan pada 22 Mac lepas.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada mahkamah semasa pengurusan kes yang dikendalikan menerusi e-Semakan semalam.

Pada 17 Mac lepas, Chew berkata beliau telah menerima arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu bagi penemuan dokumen susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman oleh seorang wanita beragama Kristian berketurunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Pada November tahun lepas, Gereja SIB telah memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan bagi memperoleh kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Okt 2020 yang menolak rayuannya berhubung isu penemuan dokumen itu.

Pada 16 Oktiber 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan gereja itu bagi mendapatkan dokumen terbabit selepas memutuskan bahawa ia diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak boleh dikeluarkan.

Dokumen itu dimohon oleh gereja tersebut dan Dusing dalam permohonan semakan kehakiman pada 10 Disember 2007 terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung hak mereka menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan keagamaan mereka.

Gereja SIB dan Dusing memfailkan semakan kehakiman itu selepas buku agama Kristian berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah, yang dibawa masuk dari Surabaya Indonesia telah dirampas oleh Jabatan Kastam di terminal penerbangan tambang murah di Sepang pada Ogos 2007.

Pada 1 Oktober 2014, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada gereja itu untuk memulakan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah Allah dalam semua penerbitan dan bahan keagamaannya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Mei 2014 menolak permohonan Gereja SIB bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.

Mereka memohon satu deklarasi bahawa mereka mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menggunakan kalimah Allah dalam kitab injil Kristian yang diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia serta semua bahan dan penerbitan keagamaan mereka.</p>

Semakan kehakiman gereja itu di Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 19 April depan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo