NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan ambil kesempatan terhadap isu kalimah Allah



KOTA BHARU: Pelbagai pihak diingatkan tidak mengambil kesempatan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini kerana dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut tidak boleh menyebarkan agama selain Islam kepada orang Islam.

Beliau berkata, pihaknya menyedari keputusan mahkamah berkaitan isu kalimah Allah itu memberi implikasi yang sangat besar.

Dalam enakmen negeri-negeri, katanya, soal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam sudah termaktub bahawa menggunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain adalah satu kesalahan.

"Pada masa sama, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga sudah menyatakan akan menyemak untuk membawa rayuan berhubung kes ini kerana ia berada di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

"Justeru itu, rakyat tidak perlu panik kerana kerajaan juga sedar akan kebimbangan berhubung perkara ini dan akan menanganinya sebaik yang mungkin.


"Paling penting adalah kerangka perlembagaan undang-undang yang kita ada dan diharap ia memberi jaminan supaya ajaran Islam serta kalimah Allah ini tidak tergugat," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan Qaseh YAPEIM di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang di Kedai Buloh, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu memutuskan penganut Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Selain itu, Marzuk berkata, dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sudah sedia untuk dirunding di peringkat negeri bulan hadapan.

"RUU ini kebanyakannya sudah ada di setiap negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang masih belum menggubal enakmen kawalan dan sekatan penyebaran agama atau ajaran bukan Islam kepada orang Islam yang sudah termaktub dalam perlembagaan enakmen di peringkat negeri.

"Di peringkat wilayah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, RUU berkenaan sudah siap untuk dibawa ke peringkat seterusnya dan kita jangka akan turun ke peringkat negeri," katanya.

Beliau berkata, ia susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Bil 159 yang berlangsung minggu lalu.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/03/796411/jangan-ambil-kesempatan-terhadap-isu-kalimah-allah


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo