NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Inisiatif Wilayah Cakna: KWP belanja RM151.3 juta


Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menggagaskan konsep ‘Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin’ adalah demi terus menjaga nasib rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Mac ― Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) membelanjakan kira-kira RM151.3 juta melalui Inisiatif Wilayah Cakna yang memanfaatkan kira-kira 530,000 warganya yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata inisiatif ini merupakan sebahagian komitmen kerajaan untuk mempergiatkan lagi usaha memulih dan menjana semula ekonomi di seluruh Wilayah Persekutuan.

“Tujuannya adalah untuk memelihara kebajikan rakyat dalam situasi yang sukar pada masa ini.

“Kami sentiasa prihatin dan cakna terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyat yang sedang berhadapan dengan ancaman kesihatan akibat penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan PKP yang membawa pelbagai cabaran ekonomi dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 di Istana Negara, hari ini.

Dalam istiadat berkenaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2021 kepada 143 individu.

Pengurniaan ini adalah berdasarkan kepada khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan selama ini kepada Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Annuar berkata sebagai kesinambungan usaha menzahirkan rasa prihatin serta cakna terhadap rakyat Wilayah Persekutuan, kementeriannya telah menggagaskan konsep ‘Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin’.

“Konsep ini akan menjadi teras hala tuju penzahiran penyampaian perkhidmatan supaya sentiasa prihatin serta memberi keutamaan terhadap kebajikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata berdasarkan sistem e-Kasih serta data dari Unit Laksana, Kementerian Kewangan, seramai 36,454 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikategorikan dalam golongan miskin bandar.

“Masalah miskin bandar ini berpunca daripada pelbagai faktor, yang antara isu utamanya melibatkan isu perumahan mampu milik. Selaras dengan itu, kami telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam meneruskan usaha menyediakan kediaman mampu milik yang selesa.

“Antara inisiatif yang disediakan adalah pembinaan council homes atau rumah sewa milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di setiap kawasan Parlimen di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata inisiatif lain ialah pelaksanaan inisiatif Baiti Jannati atau Rumah Wilayah Prihatin membabitkan pembinaan 6,000 unit rumah mampu milik di Kuala Lumpur; sebanyak 3,000 unit di Putrajaya dan 1,000 unit di Labuan. ― Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo