NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

11 Undang-Undang Syariah Bakal Digubal, Dipinda

Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

15 MAC : Kerajaan telah merangka Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah bagi tempoh 2020 hingga 2025 demi memperkukuhkan lagi undang-undang tersebut khususnya di Wilayah Persekutuan.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata menerusi pemerkasaan itu, kerajaan telah bercadang untuk menggubal 11 undang-undang syariah utama.

Menurut beliau, penggubalan itu termasuk untuk menggubal undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada serta lapan undang-undang syariah subsidiari.AHMAD MARZUK

“Penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) merupakan sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan tersebut.

“Selain daripada pindaan kepada Akta 355, melalui Pelan Pemerkasaan tersebut juga kerajaan telah dalam proses untuk menggubal beberapa undang-undang syariah baharu.

“Ini termasuk RUU (Rang Undang-Undang) Wakaf, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan lain-lain,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, beliau baru-baru ini mengesahkan RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam telah bersedia untuk dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada bulan hadapan.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Bil. 159 pada 9 hingga 11 Mac lalu.

Sementara itu, Ahmad Marzuk merakamkan penghargaan kepada masyarakat awam yang dilihat banyak memberi pandangan dan respons positif terhadap pemerkasaan undang-undang ini.

“Saya yakin ramai yang mahu bersama memartabatkan undang-undang Syariah di Malaysia.

“Infografik ini misalnya, dikirimkan kepada saya, tanda sokongan dan kebersamaan dalam menyampaikan perancangan-perancangan kerajaan yang mahu meninggikan lagi martabat undang-undang Syariah.

“Jujurnya, saya terharu dan terima kasih saya ucapkan. Bantu saya sampaikan maklumat ini dengan kongsikan poster ini seluas-luasnya,” katanya. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo