Nilai eksport sarung tangan getah Malaysia dijangka cecah RM3.8bilion – MARGMA

15 MAC: Nilai eksport sarung tangan getah negara dijangka mencecah RM38 bilion, tahun ini dengan disokong permintaan kekal tinggi di seluruh dunia, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Unjuran itu adalah sekitar 7.6 peratus lebih tinggi berbanding nilai eksport pada 2020 iaitu sebanyak RM35.3 bilion yang disumbangkan industri sarung tangan kepada eksport keseluruhan produk getah Malaysia berjumlah RM40.96 bilion.

Presiden MARGMA, Dr Supramaniam Shanmugam, berkata meskipun wujud jangkaan penularan COVID-19 dapat ditangani menerusi program vaksinasi di seluruh dunia, pelbagai faktor akan mendorong permintaan kekal positif bagi produk sarung tangan getah.

Katanya, jangkaan positif itu juga selaras dengan unjuran pertubuhan permintaan sarung tangan getah dunia yang dijangka berkembang secara organik dengan pertumbuhan antara 12 hingga 15 peratus tahun ini, berbanding 25 peratus ketika penularan pandemik dan lapan hingga 10 peratus sebelum COVID-19.

“Banyak faktor yang mendorong permintaan kekal memberangsangkan sarung tangan getah, antaranya peningkatan tahap kesedaran dalam penggunaan sarung tangan dalam kegunaan seharian rakyat.

“Perubahan operasi korporat dan penggunaan mandatori dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan perniagaan juga mendorong penggunaan produk penjagaan kesihatan ini, selain perkembangan permintaan selaras peningkatan populasi tua di seluruh dunia.

“MARGMA melihat pertumbuhan permintaan kekal dalam jajaran organik untuk tahun ini dan beberapa tahun akan datang merangkumi 12 hingga 15 peratus,” katanya pada taklimat media secara maya, hari ini.

Pada tahun 2020, produk sarung tangan getah menyumbang RM35.3 bilion daripada pendapatan eksport tahun lalu, meningkat dua kali ganda atau 103 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Di peringkat global, Malaysia menyumbang lebih 60 peratus kepada permintaan sarung tangan dunia dengan Majlis Getah Malaysia (MRC) menjangkakan penguasaan pasaran berkembang kepada 68 peratus tahun lalu.

Mengulas lanjut, Shanmugam berkata, terdapat dua isu yang mendorong perkembangan sihat industri sarung getah Malaysia iaitu berkaitan vaksinasi dan peningkatan tahap kesedaran penduduk dunia.

“Pertama, program vaksinasi memerlukan kuantiti yang banyak sarung tangan getah. Ini bagus untuk industri dalam menyokong imuniti berkelompok di seluruh dunia bagi menangani COVID-19.

“Kedua adalah peningkatan permintaan di dua negara dengan penduduk terbesar dunia iaitu China dan India. China menggunakan lapan keping sarung tangan per kapita, manakala India pula lima keping per kapita, justeru wujud pasaran yang berpotensi dan meluas,” katanya.

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/03/15/nilai-eksport-sarung-tangan-getah-malaysia-dijangka-cecah-rm3-8bilion-margma/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post