NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Iktibar Covid-19: Sejahtera dan berkebajikan


Bagaimana Kak Lah menguruskan masa seharian dengan usaha memenuhi segala tuntutan dengan kesibukan tanggungjawab yang pelbagai ini?

Alhamdulillah, terima kasih Allah dan semua. Soalan yang dikemukan bagaimana mengurus masa sepanjang menggalas pelbagai taklifan. Kita sebagai hamba Allah. Kita juga sebagai seorang ibu. Kita juga sebagai pemimpin masyarakat. Kita juga seorang isteri kepada seorang suami. Kita juga merupakan seorang daie iaitu dalam menguruskan kerjaya kita, pejabat dan sebagainya.


Setiap dari kita semua sekali dianugerahkan oleh Allah SWT 24 jam sehari. Sekarang, bagaimana kita hendak menguruskan masa kita. Setiap kita adalah pemimpin dan setiap kita bertanggungjawab dengan setiap kepimpinan yang kita pimpin.

Dalam menguruskan masa ini yang pertama sekali ialah kita mesti mengisi masa yang mana lebih utama ‘priority’. Jadi, dalam mengisi masa ini pengalaman saya adalah yang pertama dengan mengutamakan hak Allah. Apabila masuknya waktu solat, dahulukan. Maknanya jaga masa kita dengan Allah.

Hak kita dengan manusia. Sebab itu dalam membahagi masa sama ada dalam menjaga hubungan dengan Allah dan manusia mesti seimbang. Jadi, dalam menunaikan tanggungjawab kita kepada Allah, kita kena letak di tempat yang pertama. Kemudian, dalam menjaga hubungan dengan manusia, sebagai pemimpin kita mesti mengatur masa kita supaya kita dapat menunaikan juga sebagai pemimpin. Begitu juga dengan keluarga dan rumah tangga.




Jadi, setiap kita mempunyai ‘priority’ yang berbeza sebab mempunyai bidang tugas yang berbeza. Kalau seorang polis mungkin bidang tugas berbeza dengan seorang jururawat. Begitu juga seorang guru berbeza bidang tugas dengan daripada seorang doktor. Jadi sebab itulah kita perlu meletakkan keutamaan untuk setiap bidang tugas yang kita ada.

Apa yang saya buat, saya membahagikan masa saya pada waktu bekerja sebab waktu masuk pejabat hari Isnin hingga Khamis kena berada di Putrajaya. Hari Jumaat kebiasaannya pada sebelah pagi ada program biasanya ada meeting lagi sebab masih lagi hari bekerja di Kuala Lumpur. Petang Jumaat pula, saya akan bertolak balik ke Kelantan kerana menunaikan tanggungjawab saya dengan Kawasan. Ada juga pada hujung minggu, saya akan turun ke negeri-negeri lain untuk menyantuni rakyat.


Biasanya pada hujung minggu saya akan turun bersama dengan keluarga, anak-anak dan suami. Alhamdulillah. Begitu juga tentang masa, saya ingin menasihatkan kepada semua terutama sidang pembaca sekalian hendaklah bijak dalam mengurus masa. Kita kena ada masa terutama hubungan kita dengan Allah sebab kita sebagai insan memerlukan kekuatan. Kekuatan ini terbit daripada ‘hablulminallah’. Kita kena mulakan masa kita sebelum subuh.

Saya sering menasihati muslimat kita, mulakan pagi kita bukan dengan solat Subuh, tetapi mulakan pagi kita dengan Tahaajud sebelum subuh. Kalau boleh sebelum Subuh, pastikan kita sempat beristighfar, solat hajat dan ini sepatutnya menjadi amalan daripada muda sampai kepada akhir usia. Jangan bila kita dijadikan pemimpin tinggi, baru kita hendak berubah. Jangan kita berada di tempat yang penting, baru kita hendak baca al-Quran pada waktu malam. Kita perlu lakukan daripada muda lagi.

Lepas itu, kita kena bina hubungan dengan keluarga. Apabila kita jaga macam ini, Insya Allah, Allah SWT akan bantu kita akan permudahkan urusan kita. Kita juga hendaklah berbahagi tugas dengan adik terutama di antara anak-anak kita, dengan staf dan yang paling penting kita bekerja dari hati kerana Allah SWT.

Berikutan dengan pandemic Covid-19, banyak implikasi yang timbul sama ada postif atau negatif. Apakah saranan YB Dato’ Kak Lah.

Isu stress memang rata-rata diperkatakan. Hal ini memberi kesan dan agak membimbangkan. Hampir semua terkesan sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Berdasarkan kajian Kesihatan dan Mobiliiti Kebangsaan di Malaysia menunjukkan bagaimana remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun mempunyai keinginan untuk membunuh diri 10% lebih tinggi berbanding dengan 7.9% pada tahun 2012.

Bagi saya, ini adalah satu kajian terhadap golongan-golongan yang mereka mungkin tidak ada jati diri dalam mengurus diri ketika menghadapi saat-saat sukar tekanan dalam hidup.

Majoriti paling tinggi golongan yang berdepan dengan kes sebegini adalah daripada golongan kaum non-muslim. Walau bagaimanapun ada juga kes yang melibatkan muslim.

Kita juga dapati beberapa isu berbangkit hasil daripada pandemik ini diantaranya apabila berlakunya pengasingan, tidak boleh berkomunikasi, di masjid pun program terhad, hubungan keluarga juga tidak sebagaimana dahulu dan sebagainya.

Maka, menimbulkan beberapa isu termasuklah kemurungan, kebimbangan, resah dan sebagainya. Dalam menangani isu ini saya harapkan seperti berikut:

Atur masa kita dengan bijak. Terutama anak muda apabila menghadapi situasi pandemik kita kena tahu setiap apa yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Hal ini agar masa tidak dibazirkan begitu sahaja dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Masa inilah saat kita untuk isi dengan perkara yang baik. Kita bina hubungan kasih sayang dengan keluarga. Media baru pada hari ini boleh dimanfaatkan sebaik mungkin. Apabila punya masalah, luahkan kepada insan yang dipercayai. Tanggungjawab ini merangkumi semua termasuklah ibu bapa, dan jiran.

Selaku Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pandangan YB Dato’ Kak Lah sendiri berkenaan bagaimanakah solusi yang dibekalkan untuk memartabatkan golongan wanita di Malaysia

Sebenarnya Islam meletakkan wanita di tempat yang sangat tinggi. Inilah sebenarnya saya sendiri lebih daripada 20 tahun berada di Parlimen. Di mana pada tahun 2000 saya sebagai senator sampailah tahun 2008mdi dewan rakyat.

Tujuan utama saya adalah untuk membawa suara wanita terutama berkaitan dengan wanita Islam. Sebab di sini kita lihat betapa pentingnya masyarakat faham tanggungjawab dan hak wanita itu difahami dan dijaga oleh masyarakat dan negara. Islam sangat menghormati wanita.

Malah, kita dapat lihat penghormatan dalam yang sangat tinggi kepada wanita sehingga ada satu surah dalam al-Quran iaitu surah An-Nisa’ menunjukkan bagaimana penghormatan Allah SWT kepada wanita.

Hadis Nabi Muhammad SAW apabila ditanya mengenai siapakah yang perlu aku hormati? Maka baginda menyebut ‘Ibumu’ sebanyak tiga kali.

Hal ini tidak bermakna tidak perlu menghormati si ayah, tetapi menunjukkan bagaimana Islam memandang tinggi peranan wanita sebagai ibu, peranan wanita melahirkan, menyusukan barulah kali yang keempat barulah disebut ayahmu. Dan wanita yang solehah ini lebih baik daripada 1000 lelaki yang fasik. Begitu tingginya kedudukan wanita dalam Islam.

Dalam negara kita pada hari ini, saya menyeru untuk kita sama-sama bekerjasama untuk memartabatkan wanita, melahirkan wanita yang dihormati, bermaruah, tinggi budi pekertinya, dan berakhlak yang mulia. Peranan wanita ini penting dalam membina wajah ummah.

Itulah wanita, tangan yang menghayung buaian itu boleh menggegarkan dunia.

Di kementerian kita ada:
  1. Dasar Wanita Negara
  2. Pelan Tindakan Pembangunan Wanita
  3. Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita, Pemerkasaan Ibu tunggal
  4. Jawatankuasa Pembangunan Wanita

Dan pelbagai program yang kita laksanakan. Alhamdulillah, kita bekerjasama dengan EXCO-EXCO Wanita di seluruh negara untuk kita bersama-sama untuk memperkasakan wanita dari semua aspek seperti pembangunan diri, ekonomi, pendidikan dan juga Politik.

Harapan kita supaya wanita kita merebut dan memanfaatkan peluang yang disediakan ini.

Terima kasih buat YB Dato’ Hajjah Siti Zailah binti Mohd Yusoff

(Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

 ***YB Dato’ Hajjah Siti Zailah binti Mohd Yusoff sinonim dengan panggilan Kak Lah,  adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau dikenali sebagai wanita besi, ibu yang hebat dan pemimpin yang berjiwa rakyat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo