NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anak syarikat TNB sedia khidmat jalur lebar untuk 150,000 rumah

KUALA LUMPUR: Allo Technology Sdn Bhd (Allo) menyasarkan untuk menyediakan 150,000 kediaman dengan kemudahan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) menjelang separuh kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rodzi Ahmad, berkata setakat ini pihaknya sudah berjaya menyediakan infrastruktur berkenaan kepada lebih 50,000 kediaman membabitkan kawasan di Melaka, Perak dan Kedah.

Katanya, kerja penyediaan infrastruktur di beberapa kawasan di Pulau Pinang dan Johor sedang giat dijalankan ketika ini dan yakin mampu menyiapkannya mengikut jadual ditetapkan, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum Jun ini.

"Selepas siap kerja ini, kami akan melakukan penilaian terhadap sambutan yang diterima daripada pelanggan terhadap infrastruktur HSBB yang disediakan Allo.

"Keputusan syarikat sama ada mahu meneruskan projek infrastruktur fasa kedua ini adalah bergantung kepada sambutan yang kami terima," katanya kepada BH, ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Allo yang ditubuhkan pada 1999 memulakan operasi penyediaan infrastruktur internet di Cyberjaya sebelum diambilalih oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada 2018.

Selepas itu, Allo mula giat meneroka peluang penyediaan HSBB dengan memanfaatkan rangkaian fiber optik milik TNB sedia ada di seluruh Semenanjung untuk membekalkan rangkaian internet berkualiti tinggi, terutama ke kawasan pinggir bandar yang belum tersedia perkhidmatan sedemikian.

Allo menyediakan infrastruktur rangkaian secara akses terbuka untuk digunakan mana-mana Pembekal Khidmat Runcit (RSP) yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi bagi membekalkan perkhidmatan internet jalur lebar berkualiti tinggi di kawasan pinggir bandar.

Mengulas mengenai strategi perniagaan Allo, Rodzi berkata, pihaknya ketika ini akan lebih menumpukan kepada kawasan pinggiran bandar dan tempat yang masih belum mempunyai infrastruktur HSBB.

"Matlamat utama Allo adalah untuk merapatkan jurang digital di kawasan bandar dengan pinggir bandar supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati dan memanfaatkan kemudahan internet berkualiti tinggi.

"Kami harap lebih ramai rakyat boleh gunakan internet, lebih ramai yang boleh memanfaatkan infrastruktur kami, terutama dalam norma baharu ini untuk menjalankan urusan secara dalam talian yang semakin diperlukan ketika ini.

"Malah, permintaan terhadap rangkaian internet berkualiti tinggi di kawasan pinggir bandar adalah sangat menggalakkan, terutama ketika pandemik COVID-19 melanda apabila norma baharu kehidupan menuntut lebih banyak urusan seharian dijalankan secara dalam talian," katanya.

Tambahnya, Allo percaya potensi luas dalam penyediaan infrastruktur HSBB itu memandangkan pihaknya ketika ini baru menggunakan 1,500 kilometer (km) optik fiber daripada 18,000km yang dipunyai TNB menerusi grid pencawangnya di seluruh Semenanjung.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/02/786537/anak-syarikat-tnb-sedia-khidmat-jalur-lebar-untuk-150000-rumah

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo