NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hari Umno Diharamkan

1988 - Hujan yang mencurah-curah mengubah petang itu menjadi muram. Di luar juga suram, sinar mahatari terhalang dek awan hitam. Seolah-olah siang sangat pantas berlari dan hari hampir kelam.

Suasana di pejabat pengarang Utusan Malaysia seperti biasa - mesin taip membertih. Itu penanda waktu puncak sekitar pukul empat petang. Seperti selalu, membinggitan. Tetapi itulah karakter sebuah pejabat pengarang surat khabar dekad 1980-an.

Suasana waktu petang pada dekad 1980-an di ibu pejabat pengarang Utusan Melayu hampir sama di seluruh dunia. Malah sama dengan gambaran pereka produksi (production designer) untuk mise en scene (pengadegan) di pejabat pengarang akhbar The Washington Post dalam filem All The President Men arahan Alan J Pakula.

Saya berulang kali menonton filem itu kerana menikmati suasana pejabat yang hampir sama. Walaupun jauh antara Malaysia dan Amerika Syarikat atau Utusan Melayu dengan The Washington Post, tetapi kehidupan wartawan yang sibuk di pejabat hampir sama.

Hujan petang itu adalah nikmat kami di pejabat pengarang. Dedaun tingkap kaca jernih dijungkir, tertadah angin dingin dari luar. Dapatlah menikmati ruang pejabat yang dingin dan selesa berbanding hari yang panas terik. Tidak ada pendingin hawa. Ada tetapi rosak kemudian diganti dengan kipas yang dipasang di tiang-tiang dalam pejabat.

Petang itu (4 Februari 1988) saya tertunggu-tunggu berita besar dari Mahkamah Tinggi mengenai nasib UMNO sama ada diharamkan atau sebaliknya selepas disaman oleh ‘Kumpulan 11’.

Mereka menyaman UMNO kerana mendakwa pemilihan pada 1982 tidak sah. Pada pemilihan agung 1987 Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) hanya menang majoriti 43 undi daripada pencabarnya Tengku Razaleigh (Ku Li).

UMNO berpecah dua – satu menyokong Dr Mahathir dan satu lagi Ku Li. Kedua-dua sama kuat pengaruhnya. Daripada majoriti tipis untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden memberi gambaran pepecahan tidak dapat dibendung. Melayu berpecah lagi.

Sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir ada banyak kelebihan berbanding Ku Li. Kalau Ku Li menjadi Perdana Menteri pun keadaan yang sama juga akan berlaku. Semua media iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM dan TV3 terpaksa menyokong Dr Mahathir.

Media kawalan Dr Mahathir telah membenamkan berita daripada Ku Li dan penyokong-penyokong. Ketika kempen perebutan jawatan tertinggi dalam UMNO, semua media menyokong Dr Mahathir.

Semua syarikat media berada bawah kawalan politik kanan. Tidak ada media menyebelahi politik kiri – kalau ada pun hanya penerbitan akhbar mingguan yang pengaruhnya tidak begitu besar. Hanya Harakah bawah kawalan Pas yang agak berpengaruh. Tetapi Harakah bukan akhbar sebaliknya lidah parti.

Jadi tidak hairanlah kalau semua berita Ku Li dan Musa Hitam dikecilkan dengan meletaknya di halaman yang bukan utama. Ketika kursus orientasi selama dua minggu sebaik sahaja melaporkan diri, semua wartawa baharu didedahkan dengan etika kewartawanan.

Apabila bertanya kepada senior-senior di Jabatan Pengarang, barulah saya faham kenapa berita mengenai Pas juga tidak ada dalam media, kecuali Harakah. Jangan cari berita baik tentang Pas dalam Utusan Malaysia dan Utusan Melayu. “Kenapa kita mesti menyokong UMNO?” tanya saya kepada seorang wartawan senior tetapi dia hanya ketawa berdekah-dekah.

Kira-kira pukul 5 petang itu selepas hujan reda dan matahari petang mencuri masuk. Serentak wartawan mahkamah, Faridah Hashim (allahyarham) dengan longlai masuk dari pintu utama. Faridah menuju ke mejanya yang membelakang bilik Zam sambil menghempas beg tangan.

Ketua Penyunting Utusan Malaysia, Sirajuddin Rafia (Datuk, allayharham) berdiri sambil berpusing ke arah Faridah dan menggamitnya. Faridah dengan wajah lesu dan monyok menuju kepada Sirajuddin dan duduk di kerusi tepi Sirajuddin.

Sirajuddin bangun dan rokok berasap tersepit di jarinya. Beliau mengusap-usap kepalanya. Faridah duduk di kerusi di tepi beliau hanya memandang. Kemudian Zam meluru keluar dari bilik dan Ketua Pemberita, Rosli Ismail meluru ke arah Sirajuddin.

Saya tidak mendengar butir perbualan mereka kerana jarak agak jauh. Tetapi seperti ada sesuatu yang mencemaskan berlaku. Saya menjangkna ada kes mahkamah yang besar kerana Faridah wartawan mahkamah.

Seperti biasa apabila ada berita besar, Zam akan berjalan pantas ke hulu dan ke hilir, keluar dan masuk ke pejabatnya. Panggil orang itu dan ini. Kadang-kadang Zam menjadikan keadaan itu sendiri menjadi bertambah cemas.

Beliau terlalu kerap berbaju biru muda dan petang itu juga sama. Bertali leher jalur sendeng juga biru gelap dan biru cair.

Saya tidak senang hati melihat situasi yang penuh tanda tanya di depan mata tetapi tidak berjawab. Hendak ditanya dengan pengarang-pengarang besar adalah suatu yang tidak mungkin. Wartawan baru mesti menjaga sempadan dengan pengarang di pejabat.

Petugas di bilik telex semuanya rapat dengan saya sejak bertugas di meja luar negara di bawah bimbingan Pak Yusof Sharif. Ketika itu saya sering menunggu berita dari luar negara oleh agensi seperti Reuters atau AP.

Senja itu saya masuk ke bilik telex di sudut sebelah kanan pintu masuk. Saya bertanya berita dari Bernama sudah ada atau belum.

Kalau tidak silap saya yang bekerja hari itu ialah Rauf (allahyarham), Ahmad Biran (allahyarham) dan Rosli Azmi. Seorang lagi petugas bernama Wak Ang tidak ada di situ. Wak Ang ini bukan Cina tetapi semua orang menanggil dia Wak Ang, nama sebenar saya tidak tahu.

UMNO haram. Demikianlah telex berita yang dihantar Bernama kepada Utusan Malaysia. Saya meneliti perkataan demi perkataan dan fahamlah berita itu membuatkan suasana di Jabatan Pengarang agak lain daripada hari biasa. Ada kekeliruan dan mungkin masih tidak percaya dengan berita yang dibawa balik oleh Faridah.

Kemudian pengarang-pengarang kanan masuk ke bilik Zam. Oleh kerana bilik itu berdinding kaca, maka dengan jelas saya melihat dengan gayanya memberikan arahan kepada pengarang berkenaan termasuk Ketua Pemberita.

Kemudian Zam menggamit Faridah dan Faridah masuk. Dari luar saya menjangka Faridah memberikan penerangan apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi hari ini semasa Hakin Harun Hashim membuat keputusan bahawa UMNO tidak sah.

Bukan itu sahaja malah dari segi Perlembagaan, beberapa jam malam itu Presiden MCA, Lim Liong Sik adalah Perdana Menteri walaupun beliau tidak mengangkat sumpah di depan Yang DiPertuan Agong. Saya difahamkan beberapa kali Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sanusi Joned (Tan Sri, allahyarham) menghubungi pengarang kanan.

Sanusi meminta Utusan Melayu ‘melembutkan’ laporan mengenai pengharaman UMNO. Menurutnya, istilah ‘haram’ terlalu keras dan mengejutkan orang Melayu yang selama ini menganggap UMNO adalah payung mereka.

Malam itu Zam memikul tugas berat untuk menulis tajuk muka depan Utusan Malaysia 5 Februari 1988. Saya dapat menjangka ni kesukaran Zam membuat keputusan antara tuntutan kewartawanan, kepentingan parti pemilik Utusan Melayu dan orang Melayu seluruhnya.

Sumber:https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=442235537124674

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo