Responsive Ad Slot

JIPS kesan anggota polis proses, jual air ketum




KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah mengesan pembabitan anggota polis dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum.

Pengarah JIPS, Datuk Zamri Yahya, berkata ada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikesan menyalahgunakan berek kediaman sebagai tempat memproses dan menjual air ketum.

"Kejadian itu amat membimbangkan kerana pembabitan anggota polis dalam kegiatan berkenaan tidak pernah berlaku dan tidak pernah dikesan sebelum ini.

"Jika dahulu, ada laporan pengambilan ketum dalam kalangan anggota.

"Namun, kini ia beralih kepada kegiatan menjual dan memproses di mana mereka turut disyaki mengupah orang lain dengan bayaran sekitar RM80 sehari untuk menjualnya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, beberapa siri tangkapan telah dilakukan terhadap lebih 10 anggota polis disyaki terbabit kegiatan memproses dan menjual air ketum, melalui serbuan hasil risikan lanjut, baru-baru ini.

"Anggota berpangkat sarjan dan ke bawah itu ditahan di dua lokasi, di sini, serta berek Polis Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, yang dijadikan tempat memproses air ketum berkenaan.

"Mereka disyaki mencari pelanggan dan menjualnya untuk mendapatkan duit sampingan biarpun menerima gaji bulanan menjalankan tugas hakiki polis," katanya.

Pada masa sama, Zamri memaklumkan, tangkapan lain turut dibuat terhadap anggota yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan kereta peronda (MPV) polis untuk tujuan menyeludup ketum ke Thailand.

"Susulan itu, polis giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sejauh mana pembabitan mereka dalam permasalahan berkenaan. Ini berjaya ditemui, tidak termasuk yang belum dibongkarkan," katanya.

Zamri berkata, semua anggota terbabit berdepan tindakan digantung tugas atau ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah. – BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo