Responsive Ad Slot

Afghanistan : Apa Disebalik Lawatan Taliban Ke Rusia dan Iran.





Afghanistan acapkali dilanda konflik yang sehingga kini tiada nampak jalan penyelesaiannya. Bermula dengan perang Afghanistan - Soviet Union dari tahun 1979 - 1989 yang menyaksikan Soviet Union menakluk Afghanistan, perang saudara 1996 - 2001 dan serangan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan di era “ war on terrorism “ berikutan pengeboman World Trade Centre di New York, Amerika Syarikat yang kemudiannya menyaksikan penguasaan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan.

Seterusnya selepas itu, walaupun berlaku pilihanraya umum yang menyaksikan penyerahan kuasa oleh Amerika Syarikat ke atas pentadbiran baharu Afghanistan yang diketuai oleh Hamid Karzai, Afghanistan terus dilanda konflik yang sehingga kini telah meragut jutaan nyawa, kemusnahan infrastruktur dan harta benda serta memporak - perandakan negara tersebut.

Selapas Hamid Karzai menamatkan penggalnya sebagai Presiden, penggantinya Ashraf Ghani juga tidak mampu menangani konflik yang berlaku terutamanya persengketaan dengan Taliban yang sehingga kini berlarutan. Pelbagai usaha dilakukan untuk menamatkan konflik di Afghanistan termasuk oleh Donald Trump, bekas Presiden Amerika Syarikat yang telah berjaya membawa Taliban ke meja rundingan dan seterusnya menandatangani perjanjian damai pada 29 Februari 2020.

Usaha tersebut gagal dan lebih dilihat kepada usaha untuk Donald Trump untuk meningkatkan imejnya di persada politik antarabangsa. Qatar yang juga terbabit dalam usaha rundingan damai berasingan di antara Taliban dan Kerajaan Afghanistan bermula 2011 sehingga yang terbaharu pada 2 Disember 2020 yang lalu dilihat hampir mencapai matlamat berikutan telah adanya persefahaman dan kaedah penyelesaian persengketaan antara kedua - kedua belah pihak.

Namun kekalahan Donald Trump pada pilihanraya Presiden Amerika Syarikat lalu dan kini Joe Biden memegang tampuk kuasa, dinamik percaturan kuasa dan geopolitik dunia juga dijangka akan turut berubah. Saat ini, sudah terdapat tanda - tanda jelas bahawa segalanya bakal berubah di Afghanistan dan berkemungkinan juga Asia Tengah mahupun Selatan.

Afghanistan sebagai Tapak Perluasan Kuasa Di Asia Tengah dan Selatan.

Pada kurun ke 19, berlaku pertembungan di antara dua empayar besar dunia ketika itu iaitu di antara British dan Russia untuk meluaskan pengaruh geopolitik dan kekuasaan mereka di Asia Tengah dan Selatan. British yang ketika itu menjadi kuasa pemerintah di India dan juga bercita – cita meluaskan kekuasaannya ke Asia Selatan berusaha menghalang Russia dalam cubaannya untuk menakluk India dan memperluaskan kekuasaannya hingga ke Asia Tengah. Halangan British berjaya menyebabkan Russia terpaksa mencari kaedah lain untuk mencapai misinya.

British berjaya menghidu cubaan Russia untuk menyusup masuk ke Afghanistan dengan tujuan untuk menggunakan negara tersebut sebagai tapak permulaan baru perluasaan kuasa mereka. Russia berjaya membuka serta mengadakan hubungan diplomatik dengan Dost Muhammad yang menjadi pemerintah Afghanistan ketika itu, seterusnya membuka laluan kepada Rusia dalam meneruskan agenda mereka. Tindakan Russia dan Afghanistan itu tidak disenangi oleh British dan menyebabkan berlakunya Perang Anglo – Afghan di antara British dan Afghanistan pada tahun 1839 – 1842.

Afghanistan Era British.

Pada 1839, British melancarkan serangan ke atas Afghanistan bagi melebarkan empayarnya di sebelah Asia Selatan yang berpusat di India dan dalam masa yang sama berusaha untuk menyekat kemaraan Russia. Seramai tidak kurang 20 ribu tentera British dan Gurkha India dihantar untuk melaksanakan misi tersebut.

British berjaya menakluk Kabul tanpa sebarang tentangan dan Dost Muhammad yang memerintah Afghanistan ketika itu digulingkan dan dilantik Shah Shuja, proksi British sebagai ketua kerajaan. Oleh kerana kerajaan pimpinan Shah Shuja tidak mempunyai pengaruh, pihak British menggunakan alasan ini untuk mengekalkan dua briged tenteranya di Kabul di samping dua orang pegawai pentadbirnya iaitu Sir William Hay MacNaghten and Sir Alexander Burnes untuk membantu kerajaan Shah Shuja.

Tidak lama selepas itu pada 1841, berlakunya kebangkitan umat Islam Afghanistan dengan semangat jihad untuk menghalau tentera British yang menyaksikan terbunuhnya Sir Alexander Burnes lalu akhirnya British membuat keputusan untuk keluar dari Afghanistan.

Tidak terhenti di situ sahaja, tentera British diburu dan dibunuh satu persatu dan sebahagiannya mati akibat cuaca sejuk melampau. Menarik, daripada 16 ribu tentera British yang menakluk bumi Afghanistan, hanya seorang sahaja yang terselamat iaitu Dr. William Brydon yang dibiarkan hidup untuk pulang supaya menceritakan penderitaan tentera British yang dihalau dari bumi Afghanistan.

Afghanistan era Soviet Union

Pada era perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union, Afghanistan menjadi medan utama pertembungan dua kuasa besar tersebut. Ia bermula apabila Soviet Union membuat keputusan untuk menakluk Afghanistan, bertujuan untuk menguasai laut lepas di samping beberapa faktor lagi bagi mengimbangi kuasa hegomoni Amerika Syarikat.

Strategi ini tidak mampu dijayakan melainkan dengan menakluk Afghanistan dan seterusnya Pakistan sebagai jalan masuk untuk menguasai Lautan Hindi. Akhirnya pada tahun 1979, Soviet Union menghantar tenteranya ke Afghanistan dan dengan mudah menguasai Kabul dengan bantuan proksinya dari kalangan pendokong komunisma.

Setelah berjaya menakluk Afghanistan, Soviet Union melantik Babrak Kamal seorang pendokong kuat komunis dan Russia sebagai pemerintah Afghanistan. Tindakan Russia menakhluk Afghanistan mendapat kecaman hebat OIC yang mengadakan resolusi menuntut tindakan segera supaya Soviet Union keluar dari Afghanistan tanpa sebarang syarat.

PBB dalam masa sama mengadakan resolusi mengecam tindakan Soviet Union serta mengenakan sekatan ekonomi dan diplomatik di atas penaklukan tersebut. Tindakan tersebut menyebabkan Soviet Union memboikot Sukan Olimpik di Amerika Syarikat pada tahun 1984.

Amerika Syarikat kemudiannya bertindak menyekat kemaraan Soviet Union dengan mewujudkan proksinya di Pakistan yang antara lainnya mengambil langkah menyokong dan membantu kumpulan penentang Soviet Union yang menjadikan bandar Peshawar, Pakistan sebagai pengkalan.

Kumpulan penentang yang menamakan diri mereka mujahidin bersama dengan tentera ketua puak dan qabilah akhirnya berjaya menumpaskan tentera Soviet Union. Soviet Union yang ketika itu dipimpin oleh Mikhail Gorbachev mengumumkan bahawa Soviet Union akan mengundurkan tenteranya setelah berunding dengan kerajaan Afghansiatan.

Akhirnya selepas 10 tahun menakluk Afghanistan dengan hampir dua juta rakyat Afghanistan terkorban dan jutaan lagi lari meninggalkan negara mereka, Soviet Union akhirnya keluar dengan penuh hina pada bulan Februari 1989. Ia juga adalah penyebab utama keruntuhan kerajaan komunis Soviet Union serta berakhirnya juga “ cold war “ di antara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Afghanistan era Amerika Syarikat

18 tahun Amerika Syarikat menakluk Afghanistan dalam kempen Perang Menentang Keganasan yang diisytiharkan oleh George W. Bush sebagai respon kepada serangan ke atas World Trade Centre, New York dan Pentagon dalam peristiwa yang dikenali sebagai 9/11. Amerika Syarikat menuduh Osama bin Laden dan Al-Qaeda bertanggungjawab terhadap serangan tersebut di mana beliau ketika itu dilindungi oleh kerajaan Taliban di Afghanistan.

Amerika Syarikat menuntut supaya Osama bin Laden diserahkan dan kem-kem latihannya di Afghanistan ditutup, namun Taliban meletakkan syarat supaya dikemukakan bukti-bukti kukuh penglibatan Osama dan Al-Qaeda dalam serangan 9/11. Amerika Syarikat menolak permintaan ini untuk melambatkan penyerahan bukti. Akhirnya pada 7 Oktober 2001, Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Afghanistan dalam operasi yang dinamakan Operation Enduring Freedom bertujuan untuk menghancurkan Osama bin Laden, Al-Qaeda dan Taliban.

Akhirnya kerajaan Taliban berjaya digulingkan, Osama bin Laden berjaya dibunuh setelah bertahun-tahun memburunya dan kumpulan Al-Qaeda dihapuskan. Namun begitu Taliban terus menghantui Amerika Syarikat walaupun Osama bin Laden telah dibunuh dan kumpulan Al-Qaeeda dihancurkan.

Perkembangan Terkini Afghanistan.

Perkembangan terbaharu yang berlaku di Afghanistan saat ini sudah tentu di luar jangkaan banyak pihak. Hampir seminggu selepas perlantikan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat, rombongan pimpinan Taliban mengunjungi Tehran, Iran dengan diketuai oleh pemimpin kedua tertinggi Taliban, Muallah Ghani Baradar untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Iran.

Selang dua hari kemudian, rombongan yang sama juga tiba di Moscow, Rusia untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Rusia. Pertemuan tersebut sudah tentunya menimbulkan banyak tanda tanya apakah akan bakal berlaku peralihan kuasa geopolitik di Asia Tengah dan Selatan memandangkan Amerika Syarikat ketika era Donald Trump sudah hampir hilang pengaruh di Afghanistan.

Pertemuan pimpinan tertinggi Taliban dengan pemimpin Iran sebenarnya sudah berlangsung di belakang tabir sejak beberapa tahun lalu dan ini sudah tentunya menjernihkan kembali hubungan tegang di antara Taliban - Iran berikutan pembunuhan 9 diplomat Iran di Mazar al Sharif pada tahun 1998 di mana Iran menuduh Taliban bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut.

Jika dilihat dari pertemuan - pertemuan tersebut, dijangka Taiban akan beralih arah kepada Rusia berikutan kemungkinan meningkatnya ketidakpercayaan Taliban terhadap Amerika Syarikat. Ini berikutan selepas dimenterai perjanjian damai dengan Donald Trump pada awal 2020, Taliban tetap menyerang kedudukan tentera Amerika Syarikat dan kepentingannya di Afghanistan.

Berkemungkinan Taliban akan bergantung kepada Rusia untuk mengusahakan pelan damai di antaranya dan Kerajaan Afghanistan ataupun bersepakat dengan Rusia untuk menumbangkan Kerajaan Afghanistan.

Taliban semestinya tidak mahu tentera Amerika Syarikat kekal di Afghanistan dan kunjungan ke Tehran dilihat berkemungkinan akan ada usahasama di antara Iran - Taliban untuk mengusir terus Amerika Syarikat keluar dari bumi Afghanistan.

Jika benar seperti telahan di atas, maka Amerika Syarikat dilihat akan menghadapi saat yang sukar tidak lama lagi dalam usaha untuk mengekalkan pengaruhnya di Afghanistan mahupun Asia Tengah. Begitu juga Kerajaan Afghanistan, dengan kehadiran Rusia dan Iran dalam konflik ini sudah tentunya akan menyebabkan kekuasaan Kerajaan Afgahnistan terhapus dan kembali ke tangan Taliban.

Menyedari bahaya ini, Amerika Syarikat melalui Jake Sullivan mengeluarkan kenyataan yang dilihat cuba berlembut dengan Taliban, iaitu untuk menyemak semula pelan damai yang lalu. Taliban melihat pelan damai yang diusahakan Donald Trump berat sebelah dan tidak memihak kepada mereka, lantas disebabkan itulah Taliban berterusan menyerang kedudukan Amerika Syarikat di Afghanistan.

Jika berlaku, ia mampu merubah kedudukan geopolitik Afghanistan, Asia Tengah mahupun Asia Selatan. Pertembungan yang bakal berlaku jika benar ia berlaku pasti akan turut membabitkan Pakistan dan India mahupun negara - negara di sekitarnya serta akan membuatkan lagi konflik tersebut lebih besar dan tidak hanya di Afghanistan.

Disebabkan itu, Dunia Islam harus sedar bahawa kita tidak mampu bergantung kepada kuasa bukan Islam mahupun musuh Islam membantu selama - lamanya dalam meralisasikan agenda Islam atau negara masing - masing. Di sebalik kebaikan dan tawaran lunak meraka, pastinya akan ada kesan dan impak yang perlu ditanggung mahupun budi yang perlu dibalas dalam merealisasikan matlamat mahupun agenda baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Oleh disebabkan itu, ketika inilah sepatutnya Dunia Islam harus mengambil tanggungjawab dan inisiatif dalam menyelesaikan kemelut di Afghanistan yang telah berlarutan sejak sekian lama. Dunia Islam seharusnya mengambil peranan yang aktif dalam mendamaikan pihak yang berseteru di Afghanistan serta membantu membangunkan kembali Afghanistan.

Dunia Islam perlu berubah dalam mendepani cabaran global dan geopolitik terkini. Islam wajar diangkat kembali sebagai asas kehidupan dan persaudaraan. Persaudaraan yang erat akan mengukuhkan perpaduan dan kesatuan.Jika itu mampu dilakukan maka tidak mustahil Dunia Islam akan kembali bersinar dan gemilang serta dihormati di seluruh pelusuk dunia.

Islam Memimpin.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo