NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hab e-LATIH sediakan kursus latihan percuma


Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

6 FEB: Bagi membantu rakyat Malaysia dalam tempoh sukar akibat pandemik COVID-19, Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah melancarkan hab e-pembelajaran terbaru yang dikenali sebagai e-LATiH.

Inisiatif ini juga merupakan hasil kolaborasi antara PSMB dan Go1, iaitu merupakan salah satu agregator e-pembelajaran antarabangsa yang terbesar dan terkenal.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, inisiatif ini dilaksanakan bagi mendorong rakyat Malaysia untuk menerapkan pembelajaran dan pemerolehan pengetahuan sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka.

“Rakyat Malaysia harus terus berusaha dalam dunia yang semakin kompetitif, hanya mereka yang betul-betul bersedia dari sekarang akan memperoleh kejayaan di masa akan datang,”katanya menerusi kenyataan media KSM, hari ini.

Tambah beliau, platform ini akan membolehkan rakyat Malaysia membuat persiapan untuk masa depan dengan mengakses beratus-ratus pengisian berasaskan pembangunan kemahiran dan pendidikan.

Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, e-LATiH akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi akses PERCUMA kepada lebih daripada 200 kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri Malaysia.

“Oleh kerana kursus ini disediakan oleh agregator antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan, kursus untuk masa ini hanya disediakan dalam Bahasa Inggeris.

“PSMB bagaimanapun akan menambah lebih banyak kandungan dalam masa beberapa minggu ini dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, walaupun keutamaan organisasi adalah kepada majikan yang membayar levi, platform e-LATiH tersebut dihasilkan sebagai usaha PSMB untuk memberi semula kepada rakyat Malaysia.

“Sebagai pihak yang bertanggungjawab memelihara industri latihan dan pembangunan di Malaysia, adalah menjadi harapan kami untuk menambah nilai kemahiran seluruh rakyat Negara ini,”katanya. 

Rujukan:
Web: https://elatih.hrdf.com.my/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo