Islam Dan Konsep Pembahagian Kuasa



Pada satu pagi Jumaat, tersemat dalam ingatan saya detik yang tidak dapat dilupakan. Selepas Kuliah Dhuha saya telah dikunjungi oleh Almarhum YA Tun Mohamed Salleh ‘Abbas, mantan Ketua Hakim Negara. Beliau mahu mengesahkan apa yang dibaca dalam Tafsir Ibnu Kathir terjemahan Bahasa Inggeris yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah melaksanakan konsep pembahagian kuasa.

Suatu konsep yang disebutkan dalam Bahasa Arab dengan istilahالفصل بين السلطات (pemisahan antara kuasa-kuasa dalam urusan negara). Almarhum Tun Salleh ‘Abbas mahu mengesahkan fakta yang mengatakan bahawa Islam telah mendahului Barat dalam pelaksanaan konsep tersebut secara praktikal.

Konsep pembahagian kuasa dalam Bahasa Inggeris disebutkan dengan ‘separation of powers’ merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam negara kepada tiga cabang utama, iaitu pemerintah (eksekutif), perundangan (legislatif) dan kehakiman (judiciary). Tujuannya bagi mengelakkan atau menghindari daripada sebarang bahaya kezaliman (tyranny).

Malah dikatakan doktrin pembahagian kuasa dapat mewujudkan dan mengekalkan kepimpinan, memberikan kebebasan sebenar serta menghindari kemaharajalelaan (despotisme) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa. Perkara itu sangat penting bagi mewujudkan fungsi semak dan imbang (check and balance) antara kuasa tersebut.

Gambaran awal kepada pelaksanaan konsep ini ialah mengikut teori yang ditemui dalam karya-karya Aristotle. Pada tahun 1656, James Harrington dalam bukunya ‘Oceana’, telah memperkemaskan idea tersebut dengan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. Kemudian John Locke, dalam karyanya ‘Second Treatise on Civil Government’ pada tahun 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua bahagian, iaitu eksekutif dan legislatif.

Manakala, Montesquieu dalam karyanya ‘Spirit of the Laws’ telah mengembangkan idea Locke, dengan menambah satu lagi aspek iaitu cabang kehakiman. Selain itu, dikatakan bahawa orang Inggeris telah mewujudkan kaedah sebenar konsep pembahagian kuasa ini secara lebih formal, yang mereka gelar sebagai ‘Instrument of Government’ atau Instrumen Kerajaan.

Perkara positif yang dibincangkan oleh ahli falsafah Barat adalah sebahagian warisan perjuangan para Rasul terdahulu yang dicabut, apabila ditinggalkan wahyu Allah SWT yang dibawa oleh Islam yang menjadi agama para anbiya’ yang dilupakan atau diselewengkan.

Nabi Muhammad SAW adalah penerus risalah para anbiya’ yang menegakkan Islam secara sempurna, termasuk dalam urusan politik kenegaraan dan urusan kehakiman, sama ada menjadi pemimpin seperti Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS atau menentang kezaliman yang berlaku pada zamannya sebagaimana Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Harun AS dan para nabi yang lain.

Alhamdulillah saya dapat menemuinya melalui teks asal Tafsir Ibn Kathir dalam Bahasa Arab, iaitu dalam jilid pertama yang mentafsirkan ayat ke-282 daripada Surah al-Baqarah.

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَنْ يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِنْ رِجَالِكُمْ فَإِنْ لَمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا وَلَا تَسْأَمُوا أَنْ تَكْتُبُوهُ صَغِيرًا أَوْ كَبِيرًا إِلَى أَجَلِهِ ذَلِكُمْ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ وَأَقْوَمُ لِلشَّهَادَةِ وَأَدْنَى أَلَّا تَرْتَابُوا إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً حَاضِرَةً تُدِيرُونَهَا بَيْنَكُمْ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَلَّا تَكْتُبُوهَا وَأَشْهِدُوا إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلَا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلَا شَهِيدٌ وَإِنْ تَفْعَلُوا فَإِنَّهُ فُسُوقٌ بِكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ٢٨٢﴾ [البقرة: 282]

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah: 282)

Ayat ini menceritakan pertelingkahan antara Rasulullah SAW yang menjadi ketua negara dengan seorang Badwi (orang darat). Peristiwa yang berlaku dalam urusan jual beli yang telah dipersetujui, tiba-tiba Badwi itu mahu membatalkannya kerana ada tawaran harga yang lebih mahal dalam majlis jual beli yang sama.

Walaupun Badwi itu mengadakan salah laku dan tidak beradab terhadap Rasulullah SAW, akan tetapi Baginda SAW meminta supaya ia diselesaikan mengikut proses kehakiman di mahkamah yang disaksikan oleh orang ramai tanpa wujud gangguan. Maka berlangsung perbicaraan yang berkonsepkan pembahagian kuasa terhadap ketua negara yang paling tinggi kekuasaannya.

Proses perbicaraan itu berlangsung dengan disaksikan oleh khalayak ramai. Rasulullah SAW tidak menggunakan kedudukannya bagi memenangkan dirinya walaupun ia boleh dilakukan dengan mudah.

Sebenarnya terlalu banyak lagi peristiwa yang berlaku dalam sejarah Islam, telah membuktikan bahawa berlaku amalan pemisahan kuasa dalam kehakiman Islam. Khususnya apabila ketua negara atau khalifah sendiri dihadapkan ke mahkamah yang bebas tanpa sebarang gangguan oleh pihak yang berkuasa memerintah negara terhadap sistem kehakiman.

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA juga pernah dihadapkan di mahkamah kerana perselisihan dengan rakyat biasa daripada kalangan Badwi dan beliau kalah di mahkamah kerana hujah yang dikemukan oleh rakyat lebih kuat. Bahkan hakim yang mengendalikan perbicaraan iaitu Syuraih dinaikkan pangkatnya kerana keberaniannya dalam menegakkan keadilan.

Khalifah ‘Ali bin Abi Talib RA menuduh seorang Yahudi bukan Islam mencuri baju besinya yang berharga pada zaman itu. Apabila anaknya sendiri dilantik menjadi saksi, maka hakim Syuraih al-Qadhi menolak tuduhannya itu. Peristiwa yang berakhir dengan Yahudi mengaku sebenarnya baju besi itu kepunyaan Khalifah, dan terus memeluk Islam kerana menyaksikan proses keadilan yang menjadi tanda kerasulan yang dibaca dalam Kitab Taurat.

Sultan Muhammad al-Fatih dijatuhkan hukuman qisas oleh hakim yang dilantiknya kerana memukul seorang rakyat bukan Islam. Beliau dihukum melakukan kesalahan, namun hakimnya tidak meletak jawatan dan tidak pula dipecat.

Konsep keadilan Islam menegakkan keadilan mutlak kepada semua, kerana kedudukan pentadbir dan kehakiman dalam Islam bukan tertakluk di bawah undang-undang ciptaan manusia sahaja. Bahkan ia juga berkaitan dengan beriman kepada perintah Allah SWT dan adanya muhasabah selepas meninggal dunia dan pada Hari Akhirat.

Perkara ini disebutkan oleh al-Quran berulang kali dalam beberapa surah dan ayat-ayat. Antaranya firman Allah:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Ayat di atas menjelaskan bahawa semua perintah Allah SWT merupakan amanah yang tidak boleh dijual beli dan diperalatkan oleh sesiapa.

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا١٠٥﴾

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum (mengadili) antara manusia menurut apa yang Allah telah ditunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.” (Surah al-Nisa’: 105)

Antara perbuatan khianat itu ialah campur tangan dalam urusan kehakiman.

Sesungguhnya sifat adil pula dikaitkan dengan konsep iman dan taqwa, dan diwajibkan berlaku adil walaupun terhadap musuh. Sebagaimana firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah; dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Amalan kehakiman bukan sekadar berada dalam kepompong undang-undang dunia semata-mata, bahkan muhasabah tentangnya dipanjangkan sehingga Hari Akhirat iaitu selepas semua manusia meninggal dunia. Sabda Rasulullah SAW:

الْقُضَاةُ ثَلَاثَةٌ: اثْنَانِ فِي النَّارِ، وَوَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ: رَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ، فَهُوَ فِي الْجَنَّةِ، وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَلَمْ يَقْضِ بِهِ، وَجَارَ فِي الْحُكْمِ، فَهُوَ فِي النَّارِ، وَرَجُلٌ لَمْ يَعْرِفِ الْحَقَّ، فَقَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ، فَهُوَ فِي النَّارِ.

“Hakim itu terdapat tiga kelompok. Dua kelompok akan dihumban ke dalam neraka dan manakala satu kelompok lagi akan dimasukkan ke dalam syurga. Hakim yang mengetahui kebenaran dan mengendalikan dengannya, maka dia akan ditempatkan di dalam syurga. Sedangkan hakim yang mengetahui kebenaran, lalu dirinya tidak berhukum dengan kebenaran itu, maka akan dihumban ke dalam neraka. Manakala hakim yang tidak mengetahui kebenaran (atau jahil), lalu dia menghukum dengan kejahilannya, maka dia juga akan dihumban ke dalam neraka.” (Riwayat Abu Dawud 3573 dan al-Tirmidhi 1322)

Maka hakim yang beriman itu berani kerana sifat iman dan benar dalam dirinya, sehingga tidak boleh dipengaruhi oleh sesiapa pun ketika menjalankan tugasnya. Begitu juga pihak-pihak lain diharamkan mengganggu proses kehakiman.

Konsep pembahagian kuasa bukan sahaja didorong oleh sistem pentadbiran dan undang-undang sesama manusia sekadar di alam dunia sahaja, bahkan diadili di bawah kekuasaan Allah yang Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat. Seterusnya ia dimasukkan dalam suratan amal yang dicatat oleh para malaikat dan semuanya akan dilaporkan pada Hari Kiamat mengikut tugas masing-masing.

Hari Kiamat iaitu hari yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah Yasin sebagaimana yang sering kali dibaca oleh umat Islam:

﴿الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٦٥﴾

“Pada hari ini Kami materikan (tutup) mulut mereka; dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Ayat ini menyatakan Islam menetapkan bahawa setiap individu yang berada di tempat masing-masing akan disoal ketika penghakiman pada Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

﴿أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى٣٨ وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى٣٩ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى٤٠ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَى٤١﴾

“Iaitu bahawa sesungguhnya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. (38); Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang telah diusahakannya. (39); Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak). (40); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang paling sempurna. (41).” (Surah al-Najm: 38-41)

Sabda Rasulullah SAW:

“أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ…”

“Ketahuilah, bahawa setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab (dipersoalkan) atas apa yang dipimpinnya (di bawah tanggungjawabnya)…” (Riwayat al-Bukhari 7138 dan Muslim 1829)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 24 Jumadal Akhirah 1442 / 6 Februari 2021
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post