Responsive Ad Slot

UMNO Sabah tetap pertahan GRS

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengulangi pendirian untuk terus mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk menerusi kerjasama pelbagai parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN), September lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pendirian itu tidak akan berubah dan menegaskan tiada kata dua diberikan UMNO Sabah dalam mempertahankan kerajaan GRS yang baru berusia tiga bulan itu.

Berikutan itu, katanya tidak sepatutnya timbul isu 'mencuri' atau 'membeli' ahli parti lain dalam gabungan itu untuk mengukuhkan kedudukan parti tertentu.

Tegasnya, UMNO Sabah tetap bekerjasama dengan semua parti dalam GRS, sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan parti lain dalam gabungan itu.


"Saya nasihatkan semua supaya fokus membantu rakyat, jangan lagi gaduh-gaduh atau berlaga sesama sendiri pasal keahlian parti. Jangan buang masa fikir masalah yang tiada untungnya.

"Saya sudah menjelaskan bahawa kita (UMNO Sabah) akan pertahankan kerajaan GRS, tiada kata dua. Memang kita akan pertahankan GRS dan bangunkan Sabah," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada kakitangan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di sini, hari ini.


Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya negeri, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan pemimpin Pemuda UMNO berbalas tuduhan dengan BERSATU berhubung isu keahlian parti.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata isu keahlian dalam parti terserah kepada individu untuk membuat keputusan memilih parti mana yang disukai sejajar amalan demokrasi.

"Sebabnya demokrasi adalah kebebasan untuk memilih, rakyatpun faham siapa mahu dipilih. Jadi, bagi saya tidak perlu gaduh-gaduhlah soal ini," katanya.

Sebelum ini, Ketua ARMADA BERSATU Sabah, Fairuz Renddan meminta semua pihak yang ingin mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu yang boleh menggugat penyatuan GRS untuk meneliti dahulu kesahihan isu itu.

Ia berkaitan dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain yang mengatakan BERSATU cuba untuk 'mencuri dan membeli' ahli parti dari UMNO termasuk di Sabah.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan menyoal semula Abdul Aziz kebenaran dakwaannya itu kerana katanya ahli UMNO Sabah sebelum ini keluar parti dan kemudian baru menyertai BERSATU secara sukarela.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/772517/umno-sabah-tetap-pertahan-grs

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo