NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMMAH serah memorandum terbuka minta Agong buat Kerajaan Sementara atasi pergolakan politik

 



 UMMAH MENYEMBAH MAKLUM MEMORANDUM
CADANGAN KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG

TUBUH KERAJAAN SEMENTARA DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN KESTABILAN POLITIK

TARIKH : 11 JANUARI 2021
(BERSAMAAN 27 JAMADIL AWAL 1442 H)
HARI : ISNIN
TEMPAT : PEJABAT DATUK PENGELOLA BIJAYA DIRAJA
ISTANA NEGARA 50480 JALAN TUANKU ABDUL HALIM KUALA LUMPUR
 
UMMAH MEYEMBAH MAKLUM MEMORANDUM CADANGAN KEPADA DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG:
TUBUH KERAJAAN SEMENTARA DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN KESTABILAN POLITIK


Menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah yang bersemayam pada masa ini di Istana Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan beberapa selamat dan kesejahteraannya.

Ampun Tuanku,


Sembah patik mohon diampun,


Ehwal adalah patik pacal Tuanku dengan penuh hormat dan takzimnya merafakkan sembah maklum bahawa, patik persembahkan utusan memorandum kepada KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

PENDAHULUAN

Ampun Tuanku,

Kuasa pemerintahan adalah satu amanah besar yang diberikan oleh Allah untuk memastikan rakyat sentiasa mendapat pembelaan dari sudut keselamatan, kesihatan, perlindungan dan keperluan asasi. Peranan yang besar ini akan dapat dipikul jika wujud pemerintahan yang jujur, teguh dan berwibawa. Malaysia dan seluruh dunia kini sedang diuji dengan cabaran yang luar biasa iaitu wabak Covid-19 yang menjadi ujian besar kepada setiap pemimpin yang diberi amanah untuk mentadbir.

Dalam masa yang sama, politik negara berdepan dengan kemelut yang berlarutan sejak sekian lama. Kemelut politik yang berlaku di saat rakyat dan negara sedang bergelut dengan wabak
 
Covid-19 dan cabaran ekonomi menuntut pertimbangan yang jujur, tepat dan adil dari semua pihak.

Rakyat mengharapkan agar pemimpin politik memberikan tumpuan kepada usaha menangani wabak Covid-19, kebajikan rakyat dan pemulihan ekonomi. Walau bagaimana pun, tetap ada segelintir ahli politik yang cuba menangguk di air keruh sehingga negara diheret ke situasi yang memerlukan satu pilihan raya umum diadakan dalam masa yang terdekat.

TIADA PILIHAN RAYA DALAM TEMPOH WABAK COVID-19

Ampun Tuanku, sembah patik mohon di ampun

Dalam hal ini, patik sekalian berpendapat bahawa sebarang bentuk pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil, pilihan raya negeri, dan lebih-lebih lagi pilihan raya umum tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh penyebaran wabak Covid-19 yang tidak terkawal.

Pendapat ini berdasarkan kepada beberapa asas berikut:

1. Tahap jangkitan yang sedang berlaku dalam negara kini amat membimbangkan. Jika dilaksanakan pilihan raya, maka kemungkinan besar berlaku lonjakan kes Covid-19 yang di luar kemampuan perkhidmatan kesihatan negara.

2. Pengalaman Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyebabkan berlaku lonjakan kes penyebaran wabak yang luar biasa menunjukkan kesan buruk pilihan raya dalam tempoh wabak Covid-19.

3. Pihak yang mempunyai kepakaran dalam kesihatan awam termasuk pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, dan tokoh-tokoh dalam bidang kesihatan telah membuat beberapa penegasan berkiatan risiko yang dahsyat jika diadakan pilihan raya.
 
4. Budaya kempen pilihan raya di Malaysia adalah hangat. Walaupun diperkenalkan SOP seperti sewaktu PRN Sabah, namun ia tidak mampu mengawal keghairahan pemimpin dan petugas parti serta orang ramai untuk terlibat dalam kempen. Aktiviti kempen begini sukar dikawal atau disekat.

5. Kemampuan badan penguatkuasaan untuk menguatkuasakan peraturan kempen pilihan raya adalah terhad. Berdasarkan kenyataan yang pernah dikeluarkan ternyata pihak PDRM dan SPR mengakui kesukaran untuk menguatkuasakan SOP.

6. Kerangka parti dan jentera politik akar umbi. Politik di Malaysia berbeza dengan kebanyakan negara lain kerana ia mempunyai parti politik yang mempunyai pengaruh yang meluas dan jentera yang menyeluruh dari peringkat pusat, negeri, bahagian Parlimen, bahagian DUN dan cawangan. Aktivisme politik yang mengakar ini menjadikan kempen pilihan raya sebagai aktiviti yang besar, meluas dan sukar untuk dikawal.

7. Pilihan raya umum melibatkan pergerakan dan perjalanan para pengundi yang terpaksa pulang untuk mengundi mengikut tempat mengundi masing-masing. Tentunya perjalanan begini akan meningkatkan risiko penyebaran wabak rentas negeri.

8. Kesukaran untuk mengimbangi antara hak demokratik dan penjagaan kesihatan awam. Jika pilihan raya diadakan juga dengan SOP yang sangat ketat maka wujud persoalan sama ada ia memenuhi elemen asas bagi memastikan ia benar-benar tulen, demokratik dan telus. Pengundi berhak untuk mendapat maklumat yang jelas berkaitan parti dan calon yang bertanding. Parti-parti dan calon pula mempunyai hak untuk diberi ruang yang mencukupi dan adil untuk menyampaikan mesej mereka. Jadi lebih baik ditangguhkan dahulu pilihan raya bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan cara yang bebas dan adil.
 
PENANGGUHAN PILIHAN RAYA ATAS PERTIMBANGAN BEBAS, ADIL DAN BERWIBAWA

Ampun Tuanku,

Walaubagaimanapun, keputusan berkaitan dengan penangguhan pilihan raya, penentuan tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya dengan mengambil kira wabak Covid-19, serta tahap ketegasan SOP pilihan raya perlu dibuat dengan cara yang bebas, adil dan berwibawa.

Ia perlu dibuat bersandarkan perkiraan dari sudut kesihatan awam, kemampuan penguatkuasaan SOP, tahap pergerakan orang ramai waktu pengundian, dan imbangan antara keperluan amalan demokrasi dan penjagaan nyawa atau kesihatan rakyat. Pertimbangan berbentuk kepentingan politik perlu dielakkan.

Oleh yang demikian, patik sekalian mencadangkan kerajaan sewajarkan mewujudkan satu badan khas yang terdiri dari pihak-pihak yang mempunyai kepakaran untuk membuat keputusan termasuk dari:

a. Pihak berkuasa kesihatan.
b. Pengendali Pilihan Raya iaitu SPR.
c. Penguatkuasa undang-undang iaitu PDRM.
d. Wakil badan perundangan.
e. Pakar kesihatan awam.
f. Pakar dalam demokrasi dan perlembagaan.


Badan ini perlu diberi peranan untuk menasihati kerajaan penangguhan pilihan raya dan penentuan tarikh yang sesuai. Dengan mewujudkan badan ini, keputusan yang kritikal dan luar biasa ini dapat dibuat secara lebih adil, teliti dan tepat. Secara tidak langsung, kerajaan tidak dituduh menangguhkan pilihan raya demi kepentingan politik.
 
KEKALKAN KERAJAAN UNTUK KESTABILAN POLITIK

Ampun Tuanku,

Pada 25 Oktober 2020, pihak Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengandungi nasihat Yang Di-Pertuan Agong agar ahli-ahli Parlimen tidak perlu meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada. Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara. Manakala seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik diminta agar mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19.

Walau bagaimana pun, terdapat ahli politik yang tetap berdegil dengan menimbulkan polemik politik sehingga menjejaskan kestabilan politik. Situasi ini tentunya memberi kesan kepada usaha kerajaan untuk membendung wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ketika kedudukan sokongan kerajaan yang tipis ini, ada pihak tertentu yang berusaha untuk menimbulkan polemik bagi membuka ruang kepada dirinya mengambil alih pemerintahan negara. Ada juga kelompok tertentu yang menyeru kepada pilihan raya umum segera, bahkan bertindak menggugat kestabilan sokongan kerajaan bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum dalam masa yang terdekat.

Patik sekalian berpendapat, terdapat risiko besar jika usaha yang tidak bertanggungjawab ini dibiarkan berlaku, negara terpaksa berdepan dengan Pilihan Raya Umum dalam tempoh wabak Covid-19 yang sedang memuncak kini.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut ‘jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.’
 
Berdasarkan peruntukan ini, terdapat dua pilihan bagi seseorang Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti iaitu meletakkan jawatan atau mohon pembubaran Parlimen.

Pilihan pertama ialah meletakkan jawatan. Pilihan ini sesuai jika ada tokoh lain yang boleh menggantikan Perdana Menteri yang hilang sokongan. Calon paling hampir ialah Dato Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan yang mempunyai 91 sokongan. Tetapi, belum ada petanda jelas bahawa ahli Parlimen dari parti-parti lain seperti Pejuang, Warisan dan Muda memberi sokongan kepada beliau.

Oleh yang demikian, jika Perdana Menteri meletakkan jawatan dalam situasi ini, negara mungkin berdepan dengan situasi ‘hung parliament’ atau ‘parlimen tergantung’ iaitu tidak ada mana-mana parti atau gabungan parti yang memiliki sokongan majoriti dan layak menubuhkan kerajaan.

Sembah patik mohon diampun, perlu diingat juga Perkara 43(2) menyebut bahawa Yang di- Pertuan Agong hendaklah melantik ‘seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’ itu sebagai Perdana Menteri. Jika tiada tokoh yang mememenuhi kriteria berkenaan, jalan keluar yang ada ialah pembubaran Parlimen yang membawa kepada Pilihan Raya Umum dalam masa 60 hari.

Perkara 55(4) menyebut bahawa ‘apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu’.

Walau bagaimana pun, peruntukan-peruntukan perlembagaan di atas tidak sepatutnya menjadi belenggu yang menghalang usaha untuk mengeluarkan negara dan rakyat dari situasi yang tidak menentu ini. Perlembagaan sebagai satu dokumen perundangan yang bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara. Dalam situasi yang luar biasa seperti penyebaran wabak Covid-19 ini, Perlembagaan perlu dilihat sebagai satu dokumen perundangan yang mampu memberikan jalan keluar kepada kemelut yang ada.
 
SEBAGAI ‘KERAJAAN SEMENTARA’

Ampun Tuanku,

Dalam hal ini patik sekalian mencadangkan agar seluruh rakyat dan pemimpin di semua peringkat memberikan sepenuhnya kesetiaan dan kepercayaan kepada Yang Di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara bagi merungkaikan kemelut politik yang mungkin berlaku.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan risiko ‘parlimen tergantung’ dan PRU dalam tempoh wabak Covid-19, kerajaan yang sedia ada di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin wajar dikekalkan dan beliau tidak perlu meletakkan jawatan atau memohon pembubaran Parlimen.

Yang Di-Pertuan Agong boleh menggunakan budibicara untuk mengekalkan kerajaan sedia ada sebagai sebuah kerajaan sementara. Sementara di sini bermaksud, kerajaan yang dibenarkan terus bertahan sementara menunggu waktu sesuai diadakan pilihan raya umum.

Kerajaan sementara yang dicadangkan ini bukannya kerajaan baru yang ditubuhkan di bawah kepimpinan Perana Menteri baru yang dilantik melalui Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, tetapi sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri sedia ada, Tan Sri Muhyidin Yasin yang telah mendapat sokongan majoriti ketika beliau dilantik pada bulan Mac tahun lepas.

Kerajaan sementara ini wajar diberi peranan untuk mentadbir negara sehingga negara dapat keluar dari belenggu wabak Covid-19, dan wujud situasi yang selamat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15. Perakuan berkenaan waktu yang sesuai diadakan pilihan raya umum ini perlu dilakukan secara bebas dan berwibawa melalui badan khas yang dicadangkan di atas.

Kerajaan sementara ini boleh berfungsi selama mana belum ada mana-mana calon lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Jika ada calon lain yang mendapat majoriti yang jelas maka beliau boleh dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
 
DARURAT JALAN TERAKHIR

Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun

Meskipun begitu, kerajaan sementara boleh tumbang jika bila berlaku undi tidak percaya di Parlimen. Jika berlaku situasi begini, patik sekalian mengusulkan agar kuasa pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 digunakan bagi mengekalkan kerajaan sementara sehingga terdapat perakuan yang jelas oleh badan khas yang dinyatakan di atas.

Pengisytiharan darurat yang pernah dibuat untuk menangguhkan Pilihan Raya Kecil di Batu Sapi, Gerik dan Bugaya menunjukkan bahawa ia adalah satu jalan keluar yang berkesan dan diterima bagi mengelakkan risiko Covid-19.

Sembah patik mohon diampun,

Menjunjung Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik sekalian memohon izin mengajak seluruh rakyat dan pemimpin agar bersatu hati bagi meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik. Tumpuan utama kini adalah untuk menangani wabak Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat dalam situasi yang sukar begini. Segala bentuk perbezaan politik sepatutnya perlu dikendurkan bagi mengelakkan mudarat yang besar kepada rakyat dan negara.

Memohon ampuni limpah perkenan Tuanku. DAULAT TUANKU
‘PERTAHANKAN KEDAULATAN ISLAM DAN PERSEKUTUAN’

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
11 Januari 2021 (Bersamaan 27 Jamadil Awal 1442 H)
 

MEYEMBAH MAKLUM MEMORANDUM INI TURUT DISOKONG OLEH WAKIL-WAKIL NGO UTAMA DAN MEWAKILI 500 NGO MELAYU DAN ISLAM DI NEGARA INI:

1. Sdr. Md shukor Aziz Pengerusi Ummah Wilayah Persekutuan
2. Ust. Kamalulhysham Bin Suhut Pengerusi Ummah Selangor
3. Sdr. Hishammudin Abu Bakar Pengerusi Ummah Melaka
4. Sdr. Wan Mohd Faizul Wan Abas Pengerusi Ummah Terengganu
5. Hj. Yamin Bin Daud Pengerusi Ummah Kelantan
6. Ust. Roslan Bin Md Esa Pengerusi Ummah Pahang
7. Dr. Mohd Mazri Yahya Pengerusi Ummah Johor
8. Hj. Zul Bin Che Harun Pengerusi Ummah Kedah
9. Sdr Mohd Akhir Pengerusi Ummah Pulau Pinang
10. Dato Idham Lim Pengerusi Ummah Perak
11. Misbahul Munir Hj Masduki Pertubuhan Yayasan Amal Malaysia
12. Ir Hamdzah B Abd Rahman Persatuan anak Kelantan Perantauan
13. Muhammad Arif Hakimi B Maludin Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia, GAMIS
14. Hj Zubair Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia
15. Dr Fathi Yusof Penganalisis Undang-undang dan Politik
16. En Kamal International Muslim Business Network
17. Dr Abdul Muntaqim Abu Bakar Asian Federation Of Muslim Youth (AFMY)
18. Dr Hanif Yacob Ikatan ILMUWAN Nasional
19. Mohd Ismawi Ismail Kebajikan Melayu Islam Beriltizam Kebangsaan
20. Hj Zulkifli Wahijan Pertubuhan Muslim Care Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo