NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sunnatullah penyelesaian masalah adalah dengan ilmu



oleh: YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM

ALLAH S.W.T menciptakan makhluk-Nya dengan peraturan tertentu, hukum dan undang-undang masing masing. Dari sekecil makhluk seperti virus sehinggalah angkasa, planet dan bintang. Ada hukum dan undang-undang, peraturannya. Kerana itu virus dan kuman ada peranannya yang berterusan dimainkan. Membawa penyakit, membiak, merebak.

Planet berpusing atas paksinya secara tetap kelajuan yang ditetapkan dan bergerak mengikut orbit yang ditentukan. Matahari pun ada peraturannya. Semua makhluk ada peraturannya. Api ditentukan Allah supaya panas. Maka ia sentiasa panas.

Kita sebut ini sebagai hukum alam. Atau nak Islamik boleh disebut Sunnatullah. Hukum alam inilah yang dikaji manusia dalam mewujudkan pelbagai ilmu dunia untuk sama ada tujuan baik atau buruk. Dari situ terbit ilmu sains, ilmu kemanusiaan, ilmu ekonomi. Kita tahu bila kerajaan kurang berbelanja, maka permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan berkurang, firma tak dapat jual perkhidmatan, kilang tak dapat jual barangan. Kerana kurang kerja mereka tak dapat ambil pekerja. Maka ketiadaan pekerjaan meningkatkan pengangguran. Ini hukum Alam. Sunnatullah.

Dari ilmu sains dibangunkan teknologi, perubatan, kejuruteraan, bioteknologi, kimia, astronomi dan pelbagai. Sains itu mengikut hukum alam, Sunnatullah peraturan yang ditentukan bagaimana makhluk berfungsi. Tetapi sebagai Yang Maha Kuasa, Allah S.W.T berkuasa menentukan sebaliknya. Kerana itu kadangkala berlaku perkara yang luar biasa.

Jika berlaku kepada Nabi-nabi, ia disebut mukjizat. Contoh, Allah S.W.T jadikan api sejuk ketika Nabi Ibrahim A.S dibakar. Atau Nabi Isa A.S menghidupkan yang sudah mati, atau tongkat Nabi Musa A.S membelah laut. Ada yang menjadikan mata yang buta menjadi celik menggunakan najis. Allah S.W.T menganugerahkan perkara luar biasa yang besar impaknya kepada para Nabi-nabi yang tidak sama kejadian luar biasa yang berlaku kepada manusia biasa.

Ada luar biasa yang berlaku pada para wali. Itu disebut karamah. Juga berlaku kepada orang biasa dengan kehendak Allah S.W.T. Itu orang putih sebut miracles, ada yang sebut keajaiban. Ia boleh berlaku. Tetapi jika mahu diulang beberapa kali mengikut kehendak kita ia tidak mungkin mengikut hukum alam. Ia berlaku hanya dengan kehendak Allah S.W.T.

Kita mahu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain kena pakai kaki untuk berjalan atau kenderaan. Kita tak zam-zam alakazam bergerak begitu sahaja. Nak kenyang kena makan. Nak tutup pintu kena tarik pintu. Dengan teknologi sekali pun, kena tekan suis dulu. Penyakit begitu juga, kena berubat.

Nak tewaskan musuh di medan perang, kena buat persiapan alat yang cukup, pergi ke medan. Sekadar berdoa sahaja tak diajar Rasulullah S.A.W. Nabi sendiri masuk medan. Pernah patah gigi Nabi yang mulia di medan Uhud.

Ketika Islam menang menawan Kota Yahudi, tentera Islam merampas alat manjanik dari tentera Yahudi. Alat itu digunakan tentera Islam. Dunia Islam pernah gemilang kerana umat Islam sangat faham kepentingannya menguasai ilmu.

Ilmu itulah yang membolehkan kita mentadbir dunia dengan lebih baik. Tahu menggunakan sumber biologi, mineral kerana kita mempunyai teknologi. Tidakkah Allah S.W.T menciptakan makhluk manusia sebagai khalifah di bumi untuk mentadbir bumi?

Kerana itu menguasai ilmu dan menggunakannya pada jalan yang betul adalah dalam rangka ketaatan Ubudiyah kepada Allah S.W.T juga.

Minda yang positif akan mengembalikan kegemilangan Islam. Minda yang sentiasa negatif akan menjadikan kita manusia yang hanya tahu merungut. Di saat sebahagian bertelingkah saling menyalahkan misalnya berkaitan seorang jiran yang miskin, yang lebih utama adalah yang menghulurkan bantuan sama ada material, wang atau tenaga. Jadilah insan yang bermanfaat menyelesaikan masalah. Bukan asyik mencari-cari mencipta masalah.

***YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM ialah Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo