NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hubungan Malaysia dan Indonesia Dalam Konteks Pertembungan Amerika dan China


Kedudukan Kepulauan Melayu di peta dunia khususnya di Asia Tenggara senantiasa menjadi perhatian kuasa-kuasa besar dunia sejak zaman berzaman. Selat Melaka yang menjadi antara laluan utama perdagangan laut dunia sejak dahulu lagi yang menghubungkan antara Barat dan Timur jauh menjadikannya salah satu lokasi yang paling strategik di dunia.

Dalam masa yang sama kekayaan dan hasil mahsul kawasan persekitarannya seperti minyak mentah, gas, kepelbagaian sumber mineral dan hasil bumi sama ada di kawasan lautan mahupun darat menjadikan Asia Tenggara salah satu tempat yang mempunyai risiko besar pertembungan antara kuasa-kuasa besar dunia sejak dahulu lagi.

Mengimbas kembali sejarah Perang Dunia Kedua di Asia Tenggara, semuanya adalah kerana perebutan Tanah Melayu antara kuasa-kuasa besar dunia yang bertujuan untuk menguasai Selat Melaka yang sangat strategik ketika itu di samping penguasaan Asia Pasifik secara keseluruhannya termasuk Laut China Selatan.

Tanah Melayu yang pada ketika itu berada di bawah penjajahan British berdepan dengan kebangkitan Jepun sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan baharu yang berakhir dengan penaklukan oleh Jepun pada tahun 1942 bagi menguasai laluan strategik dan menjarah hasil buminya yang kaya.

Apa yang menarik, senario penguasaan Laut China Selatan di era Perang Dunia Kedua tidak jauh berbeza dengan senario geopolitik antarabangsa pada hari ini. Malaysia yang berada di bawah pengaruh barat khususnya Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan kuasa ekonomi baharu dunia iaitu China.

Justeru tidak mustahil Malaysia akan menjadi rebutan antara dua kuasa besar yang sedang bertarung ini. Saat ini juga telah berlaku pertembungan di antara Amerika Syarikat dan China disekitar Asia Tenggara terutamanya di kawasan sekitar Laut China Selatan dengan kedua – dua negara melakukan rondaan hingga hampir mencetuskan insiden tembak – menembak antara tentera kedua–dua negara.

Kehangatan pertembungan tersebut dijangka akan terus memuncak setelah berlakunya perubahan tampuk pemerintahan di Amerika Syarikat dengan presiden baharunya, Joe Biden telah memberikan bayangan senario hubungan mahupun konfrontasi yang bakal berlaku dengan China.

Pentabiran Joe Biden dijangka akan cuba mengawal dan menghadkan penguasaan China di Asia Pasifik mahupun Laut China Selatan pada permulaan pentadbirannya. Terbaharu, Joe Biden dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga tekad untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan Jepun bagi menghadapi China di Indo Pasifik.

Ini bermakna berkemungkinan pentadbiran Joe Biden akan kembali menguatkan ketumbukan ketenteraannya di Asia Pasifik terutamanya di Korea Selatan dan Jepun dengan menambah bilangan tentera mahupun aset ketenteraan yang mana ketika pentadbiran Donald Trump, beliau mengundurkan sejumlah besar anggota tentera dan aset ketenteraan dari kedua - dua buah negara tersebut.

Taiwan, duri dalam daging bagi China adalah sebuah negara yang dituntut oleh China, di mana China secara jelas menyatakan Taiwan adalah haknya sebagaimana Hong Kong dan Macau. Sokongan kuat Amerika Syarikat terhadap Taiwan terutamanya ketika era pentadbiran Donald Trump memburukkan hubungan China - Amerika Syarikat.

Di akhir pentadbiran Donald Trump, Amerika Syarikat dilihat cuba menimbulkan provokasi terhadap China dengan menghantar beberapa pesawat pengebom B - 52 melintasi Selat Taiwan dan hampir memasuki ruang udara China serta kapal perang Amerika Syarikat, USS John S. McCain dan USS Curtis Wilbur menyusuri Selat Taiwan di mana ia benar - benar menimbulkan kemarahan China.

Antony Blinken, Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang baharu dipercayai mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden Taiwan, Tsai Ing Wen sejak 2015 lagi ketika beliau menjadi Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Barrack Obama dan Tsai Ing Wen ketika itu menjadi calon Presiden Taiwan bagi Parti Progessif Demokrat ( DPP ) untuk pilihanraya Presiden Taiwan 2016.

Antony Blinken ketika sessi temuduga di Dewan Senat Amerika Syarikat untuk meluluskan pencalonan jawatannya sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat turut menyatakan secara jelas bahawa beliau dan pentadbiran Joe Biden akan terus komited untuk menyokong Taiwan bagi menjadi sebuah negara yang bebas dari cengakaman China, atau lebih jelas sebuah negara merdeka.

Malah dalam sessi temuduga tersebut, Antony Blinken bersetuju dengan tindakan Donald Trump yang menggunakan pedekatan yang tegas terhadap China walaupun tidak bersetuju dengan beberapa perkara.

Kenyataan terbaharu Antony Blinken pada Rabu lalu telah menimbulkan kemarahan China. Antony Blinken secara tegas menolak tuntutan China terhadap mana - mana bahagian Laut China Selatan dan akan terus bersama dan menyokong negara - negara Asia Tenggara dalam usaha untuk mengekang tekanan China terhadap negara Asia Tenggara.

Terbaharu, akibat daripada sokongan pentadbiran Joe Biden terhadap Taiwan mahupun Asia Tenggara, Kementerian Pertahanan China melalui jurucakapnya Wu Qian pada Khamis lalu mengeluarkan kenyataan amaran, tindakan pentadbiran Joe Biden untuk membebaskan Taiwan bermakna ianya adalah tindakan yang akan membawa kepada peperangan.

Berdasarkan senario terkini, Asia Tenggara mahupun Asia Pasifik secara amnya akan menjadi medan pertembungan kedua kuasa besar dunia selepas Asia Barat.

Justeru itu, berdasarkan perkembangan semasa ketika ini, apakah senario-senario yang dijangka bakal berlaku dalam konteks pertembungan antara Amerika Syarikat dan China di Laut China Selatan:

Pertama: Perang Perdagangan.

“ Trade War “ di antara Amerika Syarikat - China dijangka akan berterusan walaupun beberapa perubahan dijangka bakal berlaku untuk mengelakkan ketegangan yang semakin memuncak di antara kedua-dua kuasa besar ini. Di jangka akan berlaku rundingan semula di antara kedua - dua buah negara untuk mengelakkan daripada berlakunya kemelesetan ekonomi dunia serta untuk mengurangkan unjuran kelembapan ekonomi dunia yang berlaku akibat perang perdagangan tersebut.

“ Trade War “ yang sedang berlaku juga mengakibatkan kelembapan pertumbuhan ekonomi kedua - dua buah negara akibat kebergantungan import - eksport masing - masing yang merencatkan pertumbuhan ekonomi dan hampir memusnahkan industri seperti pertanian, telekominukasi dan perusahaan kecil - sederhana di kedua - dua buah negara.

Negara - negara yang menjadi rakan dagang China - Amerika Syarikat seperti Malaysia juga turut menerima tempias dan terjejas teruk akibat daripada perang perdagangan China - Amerika Syarikat.

Dalam satu temuramah Joe Biden dengan The New York Times ketika hampirnya pilihanraya Presiden Amerika Syarikat tahun lalu, beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan terburu - buru membatalkan sekatan mahupun perang perdagangan ke atas China tetapi akan berunding dengan negara sekutu Amerika Syarikat bagi memperincikan strategi terbaik untuk menangani China.

Kedua: Pertembungan bersenjata.

Senario ini tidak mustahil boleh berlaku berdasarkan pendekatan yang digunakan oleh China saat ini berserta provokasi dan tekanan Amerika Syarikat terhadap China. China yang baharu sahaja mengumumkan akan mengadakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan tidak lama lagi dijangka akan membuatkan Amerika Syarikat memikirkan strategi terbaharu untuk menangani provokasi China.

Jika berlaku senario ini, adalah tidak mustahil China akan menakluk Malaysia sebagaimana apa yang dilakukan oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu. Kronologi ke arah itu dapat dilihat dengan pencerobohan China ke atas Kepulauan Spratly yang menyebabkan kemarahan Amerika Syarikat.

Namun saya tertarik dengan pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjawab pertanyaan oleh majalah Al-Mogtama yang berpusat di Kuwait beberapa tahun lepas apabila ditanya tentang kemungkinan ini. Beliau menolak kemungkinan tersebut kerana dalam sejarah, China tidak pernah menjajah negara lain walaupun pernah membina tamadun yang hebat, berbeza dengan imperialis Barat yang menjajah di serata dunia.

Telahan beliau sangat tepat jika diteliti kepada sejarah yang menyaksikan hubungan perdagangan antara China dan Tanah Melayu yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu samada di sebelah Pantai Timur mahupun Pantai Barat Tanah Melayu. Walaupun pada ketika itu China adalah kuasa yang hebat dari sudut ketenteraan dan ekonomi namun ia tidak menjajah Tanah Melayu kerana falsafah pemikiran orang-orang China hanya memikirkan kemudahan mereka untuk berniaga.

Itulah juga yang berlaku di zaman awal Islam apabila Maharaja China mengambil pendekatan diplomasi dengan kerajaan-kerajaan Islam sejak zaman Khulafa’ Rasyidin dengan membenarkan orang-orang Islam berniaga ke Tanah Besar China sehingga berlakunya pengembangan Islam dan melahirkan jalan perdagangan darat yang masyhur iaitu Laluan Sutera antara Timur dan Barat.

Ianya berbeza dengan kuasa Barat yang mempunyai falsafah penjajahan dengan agenda Kristianisasi. Inilah yang berlaku apabila Belanda dan Portugis menjajah Nusantara kononnya di atas faktor penguasaan rempah ratus sedangkan hakikat sebenarnya ialah dendam kesumat terhadap Islam sejak era Perang Salib sehinggalah kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol yang seterusnya membawa mereka menjajah Nusantara bagi meruntuhkan kerajaan Islam di Melaka dan Acheh.

Ianya diteruskan oleh British dengan pendekatan yang lunak dan penuh tipudaya sehingga berjaya menjajah sebahagian besar Tanah Melayu daripada abad ke 18 sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Dalam menangani keterlibatan secara tidak langsung negara dalam pertembungan China - Amerika Syarikat di Laut China Selatan mahupun Asia Pasifik, beberapa faktor perlu dilihat dengan teliti kepada pihak yang membuat dasar demi untuk kepentingan ummah dan negara untuk kelangsungan dan masa depan yang lebih baik dan terjamin.

Dalam konteks Dunia Islam di rantau ini, sudah tentu ia melibatkan dua negara yang menjadi pemain utama di rantau Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Malaysia. Indonesia dan Malaysia perlu mencari kaedah terbaik untuk menangani situasi ini berdasarkan kepada kepentingan ummah dan Dunia Islam di rantau ini.

Agenda Penyatuan Ummah.

Malaysia - Indonesia sewajarnya mengukuhkan hubungan dua hala dengan lebih erat demi untuk memastikan agenda ini tercapai. Kedua - dua buah negara sewajarnya tidak terlalu bergantung kepada pihak luar dan mesti membina kekuatan sendiri iaitu dengan mengukuhkan hubungan dua hala dalam semua aspek sama ada dari sudut pertahanan, ekonomi, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan.

Kita sangat beruntung kerana mempunyai asas yang penting dari sudut hubungan dua hala iaitu faktor Islam, rumpun Melayu dan Nusantara. Dalam masa yang sama, kekuatan yang ada antara Indonesia dan Malaysia ini perlu diperluaskan lagi dengan mengadakan hubungan dengan negara-negara sahabat yang berkongsi hasrat dan matlamat yang sama.

Malaysia - Indonesia seharusnya memanfaatkan pertembungan antara dua musuh ini dengan meneroka mahupun mengambil peluang-peluang untuk memperkukuhkan keakraban dan kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama demi untuk kepentingan bersama. Sebagai contoh meningkatkan kerjasama ketenteraan untuk mengelakkan pertembungan dua kuasa besar yang sedang berkonfrantasi dari merebak ke wilayah dan kawasan masing - masing.

“ Trade War “ yang mengakibatkan kelembapan ekonomi perlu dilihat sebagai peluang oleh Malaysia - Indonesia untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dan ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara - negara lain. Ia juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada pelaburan asing untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi kedua - dua buah negara.

Jika agenda penyatuan ummah di antara Malaysia - Indonesia ini mampu direalisikan, ia dijangka mampu mencorakkan hala tuju kedua - dua negara dengan sendirinya tanpa mengikut telunjuk mana - mana pihak di mana seterusnya ia mampu menjadikan Malaysia - Indonesia kukuh dan teguh.

Di saat itu, Malaysia - Indonesia berkemampuan memilih jalannya sendiri dan membuat pilihan tentang hala tuju dan masa depannya seperti memilih mudharat yang lebih kecil demi untuk kepentingan Islam, ummah dan masa depan negara masing - masing.

Namun sebelum semuanya mampu direalisasikan, perjalanan untuk penyatuan ummah di antara Malaysia - Indonesia mungkin masih jauh tetapi jika dibiarkan pastinya dengan keadaan sekarang, mungkin Malaysia - Indonesia bakal menjadi mangsa keadaan akibat pertembungan kuasa - kuasa besar dunia sebagaimana yang berlaku di Asia Barat.

Mungkin masih ada sedikit rasa kegusaran, kecil hati dan ketidakpercayaan tetapi demi untuk masa depan, kelangsungan hidup dan terutamanya demi untuk Islam dan ummah, Malaysia - Indonesia perlu memikirkan sedalam - dalamnya agenda penyatuan ummah ini.

Allah SWT tidak pernah menghampakan Islam dan umat Muhammad SAW. Penyatuan Islam dan ummah selalunya berakhir dengan kemenangan dan kegemilangan, sejarah telah membuktikannya. Lakarkan jalan dan permudahkan penyatuan ummah, Insyallah Malaysia - Indonesia mampu mencapai kemenangan dan kegemilangan untuk Islam dan umatnya, mungkin bukan hanya di Asia Tenggara tetapi di seluruh dunia.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo