Responsive Ad Slot

Pembelajaran norma baharu gagal?


BANGI, 13 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Rungutan ibu bapa terhadap isu pendidikan anak-anak antara bukti jelas usaha pihak yang bertanggungjawab merangka pelan strategik untuk mengadaptasi norma baharu dalam pendidikan seolah-olah gagal.

Perkara ini dapat dilihat apabila segelintir ibu bapa mengeluh tidak mampu menyediakan gajet untuk anak mereka mengakses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan sebaik sesi persekolahan bermula 20 Januari lalu.

Dalam isu ini, pihak yang bertanggungjawab seharusnya memperhalusi pelaksanaan dan persediaan pembelajaran supaya pelajar tidak ketinggalan.

Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, meskipun pembelajaran secara atas talian kaedah yang terbaik tatkala negara berdepan cabaran pandemik COVID-19, namun ia tidak boleh dilaksanakan secara sembrono.

“Sekiranya perlu dibantu sehingga sampai ke depan pintu marhaen pun ianya perlu dibuat. Kerana pendidikan adalah hak semua insan. Apatah lagi bila melibatkan anak-anak yang bakal mewarisi masa hadapan negara ini.

“Perbendaharaan negara paling banyak dilaburkan pada sebuah kementerian yang disandarkan harapan untuk membantu melahirkan generasi berpendidikan, bahkan untuk menidakkan keciciran anak-anak dalam pendidikan.

“Adakah RM50.4 billion dalam bajet 2021, dan RM64.1 billion dalam Belanjawan 2020 akhirnya menatijahkan rakyat B40 dan miskin terpaksa keluar beli gajet sendiri untuk ikut kelas atas talian?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan sama, beliau menggesa ahli politik berhenti berebut kuasa dan memberi fokus utama kepada kebajikan rakyat.

Katanya, bukan sehari dua soal pendidikan anak-anak dari tadika sehingga ke universiti diperkatakan, bahkan semenjak hari pertama COVID-19 menjengah negara ini pada 25 Januari tahun lalu lagi.

“Ya benar. Setahun sudah berlalu. Namun, mereka yang bertanggungjawab dalam merangka secara strategik bagaimana kita mahu mengadaptasi norma baharu dalam pendidikan boleh dianggap gagal.

“Corak pemikiran yang hanya mahu menunggu bila lengkung COVID-19 berjaya dilandaikan akhirnya membawa kepada episod duka yang bukan sahaja ditanggung ibu bapa, malah yang paling sedih adalah anak-anak generasi baharu.

“Adaptasi norma baharu dalam sektor pendidikan bermula begitu cacamarba sekali,” katanya.

Sumber: https://ismaweb.net/2021/01/26/pembelajaran-norma-baharu-gagal/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo