PdPR: SK Labu guna kaedah kotak lembaran kerja




SEREMBAN – Bagi memastikan tiada murid yang tercicir dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana masalah ketiadaan peranti dan masalah capaian internet, Sekolah Kebangsaan (SK) Labu mengambil pendekatan tersendiri dengan menerusi kaedah penyediaan kotak PdPR.

Menerusi kaedah tersebut, ibu bapa dan penjaga akan mengambil lembaran kerja yang disediakan oleh guru di dalam kotak di sebuah di astaka di dalam kawasan sekolah berkenaan

Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd. Fadli Abd. Majid berkata, kaedah PdPR tersebut telah dilaksanakan sejak Mac tahun lalu bagaimanapun ia sudah ditambah baik bagi membolehkan kesemua pelajar sekolah berkenaan mendapat akses pembelajaran yang sama.

“Kami melihat ibu bapa dapat menerima langkah penyediaan lembaran kerja tersebut kerana ia memudahkan ibu bapa serta murid juga boleh menyiapkan tugasan yang diberikan. Kami juga mahu memastikan semua murid tidak kira golongan dapat mengikuti PdPR.

“Kami (guru-guru) ada juga memberikan bahan mengajar di dalam aplikasi Telegram kepada ibu bapa dan menyediakan video dan kuiz selain lembaran kerja ini untuk murid. Semua guru mengikut mata pelajaran akan meletakkan lembaran kerja mereka di dalam kotak bermula pukul 7 pagi hingga 8 malam setiap hari,” katanya ketika ditemui di SK Labu di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fadli, pendekatan kotak lembaran kerja itu dilaksanakan kerana pihaknya khuatir sekiranya ada ibu bapa yang sukar untuk menyediakan peranti kepada anak-anak mereka untuk mengikuti PdPR selain mahu memastikan semua murid menerima pembelajaran yang sama.-K! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/01/26/pdpr-sk-labu-guna-kaedah-kotak-lembaran-kerja/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post