NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Proklamasi Darurat bukan 'jalan mati' demokrasi

Oleh Dr Badlihisham Mohd Nasir 
Pengisytiharan darurat menimbulkan pelbagai reaksi. Ramai menyokong, namun ada juga menentang sehingga tergamak mencabar kewibawaan Yang di-Pertuan Agong.

Sepatutnya, pengisytiharan darurat dihormati dan diraikan dengan kebijaksanaan, bukan melalui emosi apatah lagi dengan penuh kebencian. Ia pilihan diputuskan demi maslahat negara, walaupun boleh diperdebatkan.

Inilah asas mudah menggerakkan semua pihak kembali kepada politik lebih aman. Ia bentuk politik memerlukan kepatuhan kepada dakwah yang nyata bersandarkan agama, bukannya bermatlamatkan kuasa semata-mata.

Harapnya, ia mampu mengatur semula tujuan dan gerak politik mengikut acuan negara bagi kesejahteraan rakyat.

Politik-dakwah menjadikan Islam asas panduan, di samping memberi sokongan kebijaksanaan siasah yang dapat memperkasakan lagi. Ia proses mengambil kira kaedah dan susun atur berpolitik supaya berjalan atas dasar serta panduan lebih stabil dan dihormati.

Berbeza politik Machiavelli dengan matlamat menghalalkan cara atau politik liberal yang tidak menerima ketetapan nilai agama, kononnya demi memperjuangkan hak asasi manusia sejagat.

Bahkan, ia sangat berlawanan ideologi perjuangan yang cuba mengubah sejarah dan hala tuju negara.

Realitinya, kepemimpinan politik negara hari ini perlu menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan pendekatan politik-dakwah pada musim darurat.

Kerajaan perlu lebih aktif menjelaskan pengisytiharan darurat dibuat atas dasar kepentingan rakyat.

Dakwaan seperti mempergunakan darurat untuk survival politik kerajaan yang tidak cukup majoriti dan berlaku penindasan terhadap bukan Melayu, mesti ditolak dengan lebih berkesan khususnya di media sosial yang menjadi tempat isu ini dipanaskan.

Ia memerlukan penerangan dakwah yang jelas dan meyakinkan dengan merujuk kepada asas maqasid (tujuan) syariah yang turut menjadi panduan kerajaan sebelumnya.

Bagi tujuan itu, kerajaan perlu segera mengembalikan reputasi media arus perdana supaya mendapat sambutan rakyat. Ini bukan sahaja memudahkan penyampaian semua dasar kerajaan ketika darurat, bahkan menghalang salah tafsir dan penularan persepsi negatif dalam masyarakat.

Proklamasi Darurat selaras peruntukan Perlembagaan dan mempunyai sejarah positif dalam menangani tragedi negara perlu diketengahkan supaya difahami massa.

Politik-dakwah sebenarnya mempunyai ruang luas daripada hanya menyajikan isu politik semata-mata. Makna politik dalam Islam, iaitu siasah, mengurus atau mentadbir itu perlu ditonjolkan kepada masyarakat daripada berpolitik tanpa kesudahan.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah mendesak ketika pandemik COVID-19 ini, antaranya dengan memperkasakan TV Pendidikan bagi menyalurkan pengajaran yang lazimnya dibuat menerusi dalam talian.

Masalah yang timbul seperti kelemahan capaian internet dan kemampuan memiliki gajet bagi golongan miskin perlu diatasi.

Politik-dakwah dalam konteks pemerintahan boleh dijelmakan melalui pendekatan matang dan sejahtera, walaupun berdepan perbezaan, malah penentangan sekalipun.

Kesediaan kerajaan menerima pandangan berbeza dalam mengendalikan darurat terbukti melalui Jawatankuasa Khas Bebas darurat apabila Ahli Parlimen pembangkang turut dijemput menganggotainya.

Ini secara tidak langsung memperkemaskan pentadbiran menghadapi pandemik, di samping semak dan imbang bagi sebuah kerajaan yang sidang Parlimen digantung buat sementara.

Kesediaan Majlis Profesor Negara (MPN) memberi laluan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Bicara Negarawan baru-baru ini juga perlu diteruskan supaya proses islah yang menjadi tuntutan dakwah terus berlaku.

Harapnya, banyak lagi wacana boleh memberi ruang kepada ahli politik menyuarakan pandangan masing-masing asalkan tumpuan terhadap menyelesaikan isu pandemik tidak terabai.

Kewibawaan sebagai kerajaan memerintah ketika darurat boleh dipertahan selama mana ia mampu mengutarakan perancangan berkesan dalam mengatasi masalah COVID-19, di samping mengotakan janji dibuat.

Ia tidak berpaut kepada Proklamasi Darurat untuk mempertahankan kekuasaan, sebaliknya kekuasaan itu akan kembali semula kepada kerajaan jika berjaya menyelesaikan masalah seandainya dua prasyarat berkenaan ditepati.

Politik-dakwah ialah penawar ampuh. Kuasa bukanlah matlamat utama bagi mereka sehingga melanggar prinsip Islam itu sendiri. Jalan dakwah masih terbuka luas untuk melakukan reformasi jika pintu kekuasaan tertutup.

Pak Natsir, tokoh politik-dakwah terkemuka di Indonesia yang pernah dipenjara ada berkata, bahawa dahulu beliau berdakwah lewat politik, kemudiannya berpolitik lewat dakwah.

Hakikat ini boleh menjadi inspirasi kepada pembangkang yang kehilangan kuasa. Tambahan pula Proklamasi Darurat dilihat mereka seolah-olah menjadi jalan mati kepada demokrasi.

Terimalah hakikat bahawa ia keputusan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong merentasi kepentingan politik kepartian. Desakan membubarkan Parlimen dalam suasana kini hanya mengulangi sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahli politik mungkin berpuas hati dapat menunjukkan kejantanan mereka beradu, tetapi rakyat menjadi mangsa apabila COVID-19 bangkit semula.

Keghairahan pilihan raya segera, terutama dalam kalangan segelintir ahli politik yang mendokong kerajaan lebih mendedahkan kegoyahan prinsip mereka sendiri. Berilah pertimbangan berdasarkan pemilihan mudarat lebih ringan dan menolak mudarat lebih besar.

Mereka hendaklah kembali kepada asas Muafakat Nasional (MN) dengan mengutamakan perpaduan dalam kalangan umat Islam bagi memberi naungan yang rimbun kepada seluruh rakyat.

Mereka adalah suri teladan bagi mengembalikan reputasi kepemimpinan umat Islam tercemar dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah selama ini.

Pembangkang juga tidak boleh selamanya meratib isu rasuah bagi menyerang kerajaan jika dalam kalangan mereka sendiri terbabit rasuah.

Isu rasuah hendaklah diangkat merentasi semua pihak. Sebaliknya, mereka perlu berani menyerahkan siapa sahaja untuk diadili di mahkamah, bukan berpaut kepada teori konspirasi yang tidak boleh dibuktikan.

Sebahagian pemimpin pembangkang amat arif soal ini kerana mereka pernah terbabit mengetuai gerakan dakwah suatu masa dulu.

Rakyat boleh menilai jika dahulu mereka menyerang tokoh politik yang didakwa terpalit rasuah, tetapi kini bekerjasama pula dengan mereka.

Lebih elok jika mereka luaskan ruang dakwah melalui kerja kemasyarakatan bagi membina kekuatan sosial di mata rakyat. Bantuan kepada rakyat dibina atas nilai ikhlas dan berterusan sangat diperlukan, walaupun bukan bergelar kerajaan.

Ia memberi kelebihan di mata pengundi berbanding mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan Proklamasi Darurat sama ada secara jelas atau tersembunyi. Hati-hati, semua ini akan dinilai pada pilihan raya nanti.

Sesungguhnya banyak lagi ruang untuk orang politik bersiasah secara bijaksana pada musim ini. Politik-dakwah yang disentuh secara umum di atas adalah suatu muhasabah supaya semua, khususnya ahli politik kembali kepada seruan dakwah untuk menegakkan agama, bukan sekadar politik mendapatkan kuasa semata-mata.

Kuasa hanya alat untuk menegakkan agama. Ia bukanlah segala-galanya!

**Penulis adalah Profesor di Akademi Tamadun Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo