NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerteh FC: Model Kejayaan Kelab Bola Sepak Malaysia


Susah betul nak cari kelab bola sepak yang dapat diuruskan dengan profesional. Jika ada pun, sama ada ia dinaungi oleh orang politik atau orang istana.

Namun bagi Kerteh FC, ia menjadi bukti bahawa kelab berstatus amatur seperti mereka berupaya menjadikan bola sepak sebagai satu perniagaan dan boleh hidup tanpa bergantung kepada sesiapa.

Diasaskan oleh tujuh anak muda yang bergabung di bawah KAL Services Sdn Bhd, siapa sangka dalam tempoh singkat, kelab sudah mula melakar kejayaan.

Selepas membuat penampilan pertama dalam Liga Amatur Terengganu pada 2019, kelab yang diterajui presiden Mohd. Razeman Mat Nashim berjaya menjadi juara liga pada tahun ini.

Bagi orang luar, ada merasa skeptik dengan kisah kejayaan Kerteh FC dan menganggap mereka terlalu mengikut cara Barat.

Namun dengan perancangan rapi termasuk cara meraih dana kewangan sendiri, ini menunjukkan tiada yang mustahil bagi kelab-kelab mencapai kelestarian kewangan.


Realitinya di Malaysia sebelum usaha penswastaan dibuat, kebanyakan kelab bola sepak masih bernaung di bawah persatuan bola sepak negeri masing-masing.

Kelab-kelab tersebut mengharapkan sokongan ahli politik/pemimpin kerajaan negeri atau kerabat diraja bagi membolehkan kantung kewangan sentiasa positif.

Penjualan tiket boleh diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga. Tiada usaha untuk memasarkan pasukan termasuk menarik penajaan dan penyokong setia bertandang ke stadium.

Tidak seperti kelab bola sepak profesional di Eropah, kelab-kelab tidak pernah membentangkan laporan kewangan kelab kepada penyokong.

Selain itu, penulis mendapati kebanyakan kelab terlalu bergantung kepada geran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih-lebih lagi dalam soal pembayaran gaji.

Usah ingatkan penulis kepada kerenah kelab yang berbelanja besar hanya kerana nak mengatasi kelab tertentu.

Apabila sudah berhutang dan tak mampu membayar gaji, jadi berita besar di halaman belakang akhbar. Cerita sama berulang bukan sekali tetapi setiap tahun!

Bagi kelab-kelab Eropah, pembentangan laporan sebegini dianggap lumrah bagi mereka. Misalnya bagi pendahulu Liga Perdana Scotland, Glasgow Rangers baru-baru ini melaporkan kerugian sebanyak £15.9 juta (RM86.4 juta) untuk tahun kewangan 2020 yang berakhir pada 30 Jun lepas.

Kelab turut merekodkan peningkatan pendapatan sebanyak 11% kepada £59 juta (RM320.6 juta) termasuk £20.7 juta (RM112.5 juta) sebagai ganjaran mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Europa.

Perjanjian penajaan jersi bersama Castore dan peningkatan jualan tiket semusim turut membantu meningkatkan pendapatan kelab.

Bagaimanapun, Rangers dijangka mengalami kerugian sehingga £10 juta (RM54.3 juta) musim ini sekiranya penyokong masih dilarang bertandang ke stadium.

Larangan tersebut dikuatkuasakan sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 di Scotland. Dengan kemunculan jenis terbaru Covid-19 di Britain, larangan tersebut dijangka berkuatkuasa lebih lama.


Bagi Kerteh FC, laporan kewangan kelab-kelab sebegini menunjukkan bahawa kelab perlu bersikap telus dalam aspek kewangan mereka.

Ketelusan sebegini memberi jaminan kepada penyokong bahawa pengurusan kelab berada di tangan orang yang amanah dan bertanggungjawab. Hal ini juga selari dengan falsafah kelab bahawa bola sepak merupakan satu perniagaan.

Berikut laporan kewangan Kerteh FC pada tahun 2019:


Dalam carta di atas, pendapatan utama kelab diperoleh menerusi tiga sumber iaitu perniagaan (62%), penajaan (35%) dan saham (3%).

Bagi aspek perniagaan, Kelab menjalankan perniagaan dalam sektor minyak & gas seperti pembekalan sumber manusia dan penyewaan peralatan. Perniagaan ini menyumbang sebanyak 53% kepada kantung kewangan kelab.


Manakala 47% lagi disumbangkan dari sumber pendapatan yang berkaitan dengan bolasepak seperti penganjuran liga, soccer school, pengiklanan, barangan kelab dan hak penyiaran.

Ianya termasuk penyiaran perlawanan secara langsung di platform BalrzTV seperti perlawanan akhir Kemaman Champion League 2019 dan perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukan Kerteh FC.

Dari segi perbelanjaan pula, 24% diperuntukkan untuk gaji dan elaun. Sementara 22% lagi diperuntukkan untuk perbelanjaan minyak dan gas.

Selebihnya diperuntukkan untuk liga (18%), program pembangunan (6%), media dan promosi (8%), peralatan latihan (4%) dan lain-lain (18%).

Dalam ciapan ringkasan laporan kewangan mereka, penyertaan kali pertama Kerteh FC dalam Liga Amatur Terengganu bagi tahun 2019 menjadi penyumbang utama kepada peningkatan perbelanjaan sebanyak 164.8% berbanding tahun sebelumnya.

Namun begitu, kelab turut mencatat peningkatan pendapatan dalam tempoh 12 bulan sehingga Dec 2019 sebanyak 232.8% berbanding tahun sebelumnya.


Situasi ini membolehkan mereka mencatatkan keuntungan sebanyak 24.1% bagi tahun kewangan berakhir Disember 2019.

Hari ini, The Oilers merancang membina perkampungan sukan kelab merangkumi pelbagai kemudahan seperti stadium, pusat latihan, gimnasium, gelanggang futsal dan hotel.

Kos pembinaan kompleks perkampungan di Kerteh, Kemaman dijangka mencecah RM7 juta dan bakal bermula pada Januari hadapan.

Sekiranya siap dalam tempoh lima bulan mengikut jadual, ini akan menjadikan Kerteh FC kelab berstatus M4 pertama mempunyai stadium sendiri.



Rajah 1: Pelan perkampungan sukan Kerteh FC. Sumber: Kerteh FC.

Ianya sama sekali berbeza dengan kebanyakan kelab bola sepak di negara ini yang perlu menyewa stadium setiap tahun.

Menerusi kompleks sukan ini, penulis menjangkakan pendapatan kelab akan bertambah lebih banyak berikutan banyak aspek komersial yang boleh memberi keuntungan jangka panjang kepada kelab.


Dengan nilai profesionalisme yang dimiliki kelab, tidak hairanlah beberapa kelab M3 (divisyen ketiga bola sepak Malaysia) dan Liga Perdana menjadikan pasukan pengurusan Kerteh FC sebagai tempat rujukan mereka.

Hal ini berikutan Kerteh FC telah melaksanakan penswastaan dalam setiap aspek pengurusan jauh lebih awal berbanding kelab-kelab Liga Super dan Liga Perdana.

Kini, Kerteh FC membuka peluang kepada pelabur luar untuk memiliki pegangan saham mereka. Perkara ini bukan sekadar menambah lagi kekuatan kewangan kelab tetapi membantu mereka mara ke peringkat lebih tinggi.

Salah satu syarikat yang merebut peluang memiliki saham Oilers ialah INKA Creative dengan pegangan 10%.

Pada September lepas, kelab turut mengumumkan kerjasama dengan kelab Sepanyol, UE Sant Andreu.



Kerjasama itu menyaksikan Kerteh FC diletakkan di bawah Program Perkongsian Kelab Antarabangsa (ICPP) UE Sant Andreu yang ditubuhkan pada 1909 dan kini bersaing dalam Divisyen Tercera iaitu Kumpulan 5 liga bola sepak Sepanyol.

Selain membantu meningkatkan kualiti pemain akademi, ini juga dapat menambahbaik kualiti komersial kelab di peringkat antarabangsa terutama di Sepanyol.

Baca juga Mengapa Pemain Bola Sepak Perlu Dibayar Gaji Tinggi di sini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo