Jangan abai suara rakyat mahu parti Melayu bersatu



– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

6 JAN: UMNO tidak harus hanya mendengar pandangan kepimpinan tertinggi mereka semata-mata berhubung cadangan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), demikian kata penganalisis politik, Dr Kamatul Zaman Yusuf.

Justeru, penganalisis politik itu mencadangkan supaya UMNO menggunakan pendekatan lebih inklusif bagi memastikan suara akar umbi rakyat yang mahukan UMNO kekal di dalam kerajaan dan tidak mahu parti politik Melayu berpecah belah tidak diabaikan begitu sahaja.

Menurut beliau, parti Melayu terbesar itu perlu mengangkat kepentingan rakyat sebagai keutamaan melangkaui politik kepartian supaya UMNO dapat bergerak sebagai sebuah parti yang mendahulukan rakyat dan tidak dianggap terus bermain politik dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19 hari ini.

“UMNO harus mendengar dan menyelami sama suara-suara penyokong dan juga rakyat di negara ini, jangan hanya dengar suara pimpinan (ketua) bahagian atau pimpinan pusat sahaja, malah perlu melihat lebih daripada itu. UMNO juga perlu dengar dan melihat kajian-kajian kaji selidik terhadap pandangan rakyat secara keseluruhan.

“UMNO seharusnya sedar bahawa landskap politik hari ini amat berbeza dan perlu mendengar suara majoriti rakyat yang keluh kesah dalam suasana COVID-19 ini, apabila menyaksikan kemelut politik yang tidak berkesudahan,” katanya ketika dihubungi wartawan PN BBC Portal, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Kajian Merdeka Center yang mendapati pengundi di negara ini tidak bersetuju UMNO keluar dari Perikatan Nasional (PN) dan bergerak sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, kajian tersebut dilakukan pada 23 hingga 31 Disember lalu terhadap 1,202 responden membabitkan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di seluruh negara dengan menemuramah melalui panggilan talian tetap dan telefon bimbit.

Responden tersebut terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India dan masing-masing enam peratus Muslim bumiputera serta bukan Muslim bumiputera (dari Sabah dan Sarawak).

Merdeka Center dalam satu kenyataan semalam menyatakan keputusan kajian mendapati 44 peratus pengundi tidak bersetuju UMNO keluar dari PN berbanding 31 peratus yang bersetuju dan selebihnya menyatakan tidak tahu atau enggan komen.

Majoriti yang tidak bersetuju itu adalah dari kalangan pengundi Melayu iaitu sebanyak 62 peratus yang mahu UMNO kekal bekerjasama dengan Parti Bumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

“Hanya 21 peratus (pengundi Melayu) yang bersetuju UMNO keluar dari PN. Mengenai pilihan politik pengundi, penyokong Pakatan Harapan (PH) majoriti ingin melihat PN berpecah berbanding penyokong BN.

“Pada pandangan kami, dominasi PN di kalangan pengundi Melayu akan terjejas sekiranya UMNO memutuskan untuk bergerak sendiri pada pilihan raya akan datang dengan hasil yang tidak pasti.

“Jika ini berlaku, ia mungkin mewujudkan keadaan yang serupa dengan PRU14 di mana pengundi Melayu berpecah tiga dalam pertandingan beberapa penjuru,” kata Merdeka Center dalam kenyataan tersebut. 

Sumber: http://www.pnbbcportal.com/2021/01/06/jangan-abai-suara-rakyat-mahu-parti-melayu-bersatu
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post