NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dunia Islam Di Era Joe Biden : Harapan dan Cabaran.


Setelah berakhirnya era Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, boleh dikatakan ramai pihak khususnya Dunia Islam menarik nafas lega seolah - olah berakhirnya mimpi ngeri. Boleh dikatakan sepanjang Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, Dunia Islam begitu tertekan dan disisihkan akibat polisi dan tindak tanduknya terhadap Dunia Islam.

Sokongan tidak berbelah bahaginya terhadap Israel sehingga termenterainya perjanjian normalisasi dengan beberapa negara Arab, perluasan penempatan haram penduduk Yahudi di Palestin, perang di Yaman, Libya dan Syria, kekacauan dan perang saudara di Iraq dan Afghanistan dan perseteruan antara negara - negara Teluk adalah di antara legasi yang ditinggalkan oleh Donald Trump yang menghuru - harakan Dunia Islam.

Itu tidak termasuk lagi polisi yang menekan umat Islam seperti sekatan perjalanan ke atas umat Islam dari beberapa negara Islam ke Amerika Syarikat, Iran yang kerap kali menjadi mangsa Donald Trump yang ditekan dari segenap sudut, Islamofobia menjadi bertambah buruk akibat pandangan Donald Trump dan pentadbirannya terhadap Islam serta polisinya terhadap kumpulan mahupun pertubuhan Islam yang semuanya dilihat sebagai entiti pengganas dan ekstrimis.

Malah “ trade war “ Amerika Syarikat dengan China yang secara amnya dilihat sebagai perbalahan antara dua kuasa besar ekonomi dunia untuk menjadi penguasa ekonomi alaf baru dunia sebenarnya mempunyai banyak maksud yang tersirat kerana antara lainnya ialah untuk menyekat China daripada mempuyai hubungan dagang mahupun pengaruh geopolitik dengan Dunia Islam yang mampu meranapkan dominasi, pengaruh geopolitik dan ekonomi Amerika Syarikat terhadap Dunia Islam.

Maka apabila berakhirnya legasi Donald Trump pada 20 Januari lalu, majoriti Dunia Islam mula menarik nafas lega dan mengharapkan sinar baru untuk kemakmuran serta kehidupan yang lebih baik. Ramai mula menjangkakan Joe Biden, Presiden ke 46 Amerika Syarikat tidak mengulangi dasar mahupun polisi pentadbiran lalu serta memberikan harapan besar akan impak yang mampu dilakukannya untuk kebaikan dunia terutamanya Dunia Islam.

Realitinya, usah terlalu terburu - buru memberikan harapan besar terhadap perubahan yang bakal dilakukan olehnya. Sejarah Amerika Syarikat secara amnya, baik jika diperintah oleh Demokrat mahupun Republikan tidak banyak bezanya. Jika di Amerika Syarikat, pemimpin dari kalangan parti Republikan kebanyakkan digelar “ war monger “ dan “ hard line “ kerana pendekatan keras dan acapkali berakhir dengan peperangan, Demokrat agak berbeza dan berlainan sekali pendekatannya.

Richard Nixon, Ronald Reagan, George HW Bush dan George W Bush semuanya sinonim dengan terma peperangan. Perang Vietnam, “ Cold War “ , perang Iraq dan “ war on terrorism “ kesemuanya berlaku atau memuncak di kala pemerintahan ke empat - empat Presiden tersebut. “ Hard Line “ atau pendekatan keras kepimpinan dari parti Republikan terhadap geopolitik dunia selalunya berakhir dengan peperangan jika objektifnya tidak tercapai.

Malah ketika era Donald Trump, bekas Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat John Bolton dikatakan hampir mencetuskan perang di Semenanjung Korea kerana menasihatkan Donald Trump untuk menyerang Korea Utara kerana tidak tunduk kepada Amerika Syarikat. Malah sebenarnya ramai penganalisa geopoltik antarabangsa meramalkan Amerika Syarikat akan menyerang China dan Iran samada secara terus atau melalui proksinya pada akhir era pentabiran Donald Trump.

Tindak tanduk Mike Pompeo, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang acapkali mencetuskan kontroversi dengan melakukan intimidasi terhadap kedua - dua negara tersebut dan kepimpinannya pada akhir - akhir era pentadbiran Donald Trump dilihat sebagai isyarat untuk mengheret Amerika Syarikat kepada peperangan yang akhirnya tidak berlaku kerana impak serta kesan buruk yang bakal berlaku ke atas Amerika Syarikat.

Berbeza dengan kepimpinan dari parti Demokrat, pendekatan mereka yang dilihat lebih banyak berdiplomasi dan menggunakan pendekatan “ soft approach “ yang sebenarnya tidak banyak berbeza dengan kepimpinan dari parti Republikan dari segi objektifnya iaitu dominasi kekuasaan dalam segenap sudut. Jika kepimpinan dari parti Republikan secara terang menghantar bala tentera dan berperang, kepimpinan dari parti Demokrat berperang secara halus dan bertindak di belakang tabir.

Jimmy Carter, Bill Clinton dan Barrack Obama, tiga bekas Presiden Amerika Syarikat daripada parti Demokrat ini tidak mencipta peperangan besar secara berhadapan kecuali mungkin serang hendap terhadap Osama Bin Laden tetapi strategi mereka secara halus dan dibelakang tabir membuatkan Dunia Islam berkecamuk termasuk berkonfratasi serta berperang sesama sendiri.

Seperti kata Jimmy Carter ketika ditemuramah akhbar The Guardian daripada Britain pada 11 September 2011, “ we never drop a bomb, we never fire a bullet, we never went to war “ yang merujuk kepada tindakannya menamatkan perang Vietnam dan keadaan ketika itu ketika berlakunya serangan ke atas menara World Trade Center di New York, Amerika Syarikat.

Parti Demokrat dan kepimpinannya banyak bergantung kepada “ Think Tank “ atau kumpulan pemikir dalam melaksanakan polisi - polisi antarabangsa mereka. Menurut US News & World Report, sebuah majalah berpengaruh yang berpengkalan di Washington DC, dalam artikelnya pada 3 Mac 2011, “ think tank “ atau kumpulan pemikir ini mempunyai pengaruh besar dalam menentukan halatuju politik Amerika Syarikat.

Menurut laporan majalah tersebut lagi, walaupun ada banyak di kalangan kumpulan - kumpulan pemikir ini didokongi oleh orang - orang berpengaruh dari parti Republikan, mereka memberikan sokongan kepada pemimpin parti Demokrat dan memberikan hasil analisa serta strategi mereka untuk digunakan serta dilaksanakan untuk memenuhi agenda geopolitik antarabangsa Amerika Syarikat.

Antara “ think tank “ berpengaruh di Amerika Syarikat ialah seperti Rand Corporation, Brookings Institution, Council of Foreign Relations, Center for Strategic and International Studies, Center for American Progress, Hoover Institution dan beberapa kumpulan lagi. Melihat kepada nama - nama “ think tank “ ini, pastinya ramai yang tidak lupa dengan Rand Corporation dan hasil laporannya yang mengejutkan banyak pihak terutamanya kepada Dunia Islam.

Pentadbiran Joe Biden kali ini dirasakan akan meneruskan majoriti polisi - polisi yang dijalankan ketika Barrack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat dahulu terutamanya polisi - polisi dasar di peringkat antarabangsa. Justeru, jangan terkejut apabila kita mendengar kembali terma - terma sebagaimana dahulu seperti Islam Moderat, Islam Liberal dan beberapa terma Islam lagi yang sehaluan dengan konsep yang bakal diketengahkan oleh pentadbiran baru Amerika Syarikat.

Dengan adanya terma dan konsep sebegini yang bakal diketengahkan semula serta bakal diadaptasikan oleh pentadbiran Joe Biden sebagaimana Barrack Obama terdahulu, pastinya akan terjadi kembali pertembungan sesama umat Islam mahupun sesama mazhab yang acapkali kedengaran dahulu sehingga terjadi ISIS, peperangan sesama mazhab, konfrantasi antara golongan tua dan muda yang akan memecahkan kembali kesatuan serta perpaduan umat Islam.

Pastinya cetusan idea dan kajian kumpulan - kumpulan pemikir atau “ think tank “ seperti Rand Corporation akan digunapakai kembali oleh kepimpinan Demokrat untuk melaksanakan agenda geopolitik antarabangsa mereka sebagaimana dahulu. Ianya pasti menghangatkan kembali pentas Dunia Islam seterusnya menghangatkan kembali pertembungan sesama Islam sebagaimana dahulu.

Sebagai contoh, kita lihat dua kajian yang dipelopori oleh Rand Corporation iaitu sebelum dan selepas peristiwan 9 September 2011 dahulu. Dalam satu kajian dan cadangannya yang bertajuk “ RAND Proposed Blueprint For Building Moderate Muslim Network “ yang diterbitkan pada 2007 ialah bagaimana interpretasi Rand Corporation untuk menembusi umat Islam dengan menyamakannya dengan era perang dingin Amerika Syarikat dan Rusia dahulu.

Malah dalam dapatan kajian dan cadangan RAND Corporation ketika itu, untuk melaksanakan strategi dominasi Amerika Syarikat ke atas Dunia Islam, rangkaian Islam Moderat yang dipelopori dan bakal diketengahkan hendaklah dibina rangkaiannya dan dipromsosi di Asia Barat, Eropah, Turki dan, Asia Tenggara dengan berkerjasama serta menggunakan sumber dan kumpulan - kumpulan yang telah wujud di lokasi - lokasi terbabit untuk memudahkan penyebarannya.

Terdapat banyak lagi cadangan dalam kajian tersebut yang mana jika diamati akan terserlah kepada kita di Dunia Islam akan pola demografi dan geopolitik yang terjadi terhadap Dunia Islam hari ini. Diakhir kajian tersebut, dicadangkan bahawa fokus kepada membina rangkaian tersebut perlu ditumpu serta dialihkan daripada Asia Barat yang menjadi tonggak Dunia Islam kepada negara seperti Turki dan benua Asia Tenggara.

Selepas peristiwa 9/11, Rand Corporation mengeluarkan kajian, dapatan dan cadangan yang bertajuk “ US Strategy in the Muslim World After 9/11 “. Menyedari bahawa “ war on terrorism “ banyak menjejaskan reputasi Amerika Syarikat di mata umat Islam, Rand Corporation mencadangkan kepada Kerajaan Amerika Syarikat beberapa kaedah untuk memenangi semula hati umat Islam di samping strategi baharu untuk memperkukuhkan dominasi mereka.

Antaranya adalah : 
1.Mempromosi dengan lebih giat agenda Islam moderat.
2.Menggangu rangkaian dan perkembangan apa yang digelarkan sebagai Islam Radikal. 
3.Memperbaiki hubungan dan memberikan bantuan kepada institusi pengajian Islam. 
4 . Memperbanyakkan pemberian manfaat ekonomi. 
5.Menyokong pemodenan Islam. 
6. Menghalang pembiayaan dan dana kepada golongan radikal. 
7. Mengimbangi keperluan perang menentang keganasan dan promosi kestabilan negara Islam moderat. 
8. Mengawal selia parti Islam dalam sesebuah negara Islam moderat. 
9. Terbabit atau bersama dalam agenda Islam. 
10. Mewujudkan kerjasama ketenteraan dengan negara - negara utama Dunia Islam. 
11. Membantu membina serta mengawal selia keupayaan ketenteraan.

Dalam kajian tersebut juga mendapati terdapat kelompongan antara mazhab, bangsa dan kaum di kalangan umat Islam yang boleh diambil peluang untuk memperkuatkan lagi strategi dan agenda Amerika Syarikat dalam memperkukuhkan dominasi dan penyebaran ideologi di kalangan umat dan Dunia Islam.

Malah dalam salah satu strateginya, golongan Syiah yang merupakan minoriti di kalangan Dunia Islam mampu dipergunakan untuk memperkukuhkan tujuan perkembangan polisi dan dasar Amerika Syarikat kerana kekangan dan tekanan yang dihadapi oleh kelompok ini dalam kerangka Dunia Islam secara keseluruhan.

Kelihatan jelas apa yang dialami oleh Dunia Islam ketika ini adalah sama natijahnya seperti apa yang dirancang oleh Rand Coporation. Benar atau tidak, kita masing - masing boleh menilai dengan membacanya dengan teliti atau melihat apa yang berlaku ke atas Dunia Islam saat ini.

Seperti yang diperjelaskan sebelum ini, usah terlalu awal bergembira dengan pemergian Donald Trump kerana hakikatnya siapa pun yang mentadbirkan Amerika Syarikat dan dari parti mana sekalipun, hakikat, objektif dan penamatnya tetap sama melainkan sesuatu yang di luar jangka berlaku yang menggoncang demokrasi Amerika Syarikat.

Sebenarnya, Islam adalah satu dan tidak terbahagi kepada kelompok - kelompok seperti moderat, liberal dan berbagai definasi lagi. Islam yang diturunkan berpandukan Al Quran dan Hadis sebagaimana yang ditakrifkan oleh Rasullah SAW, para sahabat dan alim ulama yang hanya wujud dalam satu keadaan di mana umat manusia adalah hamba kepada Allah SWT dan perlu mematuhi ajarannya dan meninggalkan larangannya.

Oleh itu jangan kita terpedaya dengan pelbagai definasi Islam yang dicipta untuk memecahbelahkan Dunia Islam. Lebih banyak terpecah dan hanyut dengan tipudaya musuh Islam, maka lebih hancurlah perpaduan dan kesatuan Dunia Islam. Apabila lemah dan berpecah belah, maka mudahlah Islam dan umatnya diperlakukan sesuka hati dan akhirnya dijajah.

Ambillah iktibar dan pedoman dengan apa yang telah berlaku sebelum ini, Islam sudah cukup tercemar, hina dan diaibkan. Sebagai umat Islam, kita wajib bersatu dan bersama untuk mengembalikan kegemilangan dan kekuatan umat Islam. Tanpa berpandukan Al Quran dan Hadis serta meninggalkan ajaran Islam yang sebenar, kita akan sesat dan leka hingga mampu terjerumus ke lembah kehinaan.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

Rujukan.
1.US Strategy in the Muslim World After 9/11. Rand Corporation.
2.Proposed Blueprint for Building Moderate Muslim Networks. Rand Corporation.
3.Think Tank Employees Tend To Support Democrats. US News & World Reports.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo