Apa lagi Tok Lebai mahu? Pengorbanan PAS dan Tuan Guru Presiden..

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
25 Jan 2021

KADANGKALA saya cukup simpati dengan kedudukan PAS. Ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Kedudukannya dalam kancah konflik antara UMNO-PPBM, tersepit di tengah-tengah. Serba salah.

Dituduh macam-macam oleh musuh-musuh politik, dalam usaha untuk merapatkan ukhuwah antara UMNO dan PPBM. Sedangkan masalah yang timbul antara UMNO-PPBM, bukan ditimbulkan oleh PAS. Semuanya angkara sesama mereka sendiri.

Dalam kata lain, UMNO gagal dalam usaha untuk mentarbiyyah pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya. Saya tidak kata PAS berjaya sepenuhnya. Tetapi masalah dalam PAS tidaklah seteruk dalam UMNO.

Sekurang-kurangnya, selepas PRU14, tidak ada wakil rakyat PAS yang melompat, berbanding UMNO. Di sinilah hebatnya tarbiyyah PAS.

Dalam konflik UMNO-PAS, PAS cuba menjadi orang tengah untuk menyatukan. Dituduh dan dihina macam-macam, terutama Tuan Guru Presiden PAS. Apa lagi yang Tuan Guru mahu dalam hidupnya, seperti juga Almarhum Tuan Guru Nik Aziz?

Pada hemat saya, antara penyumbang kepada semua masalah ini semua datangnya daripada UMNO.

UMNO sudah jauh berubah. UMNO tidak lagi seperti UMNO yang seperti ditubuhkan pada zaman dahulu. UMNO sudah lari daripada perjuangan dan landasan asal. Saya mohon maaf jika andaian saya ini salah. Tetapi itulah hakikatnya.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana UMNO dahulu, pemimpinnya sanggup korbankan diri untuk parti.

Kini, keadaan sudah jauh berbeza. Ada sebahagian yang sanggup korbankan parti untuk kepentingan diri.

Apa akan jadi dengan ketuanan agama dan bangsa majoriti Bumiputera yang diperjuangkan selama ini?

Dalam kekalutan politik negara, tiada siapa boleh menafikan tentang pentingnya menyelamatkan ketuanan agama dan ketuanan Bumiputera. Secara tradisinya ia dipimpin oleh kaum Melayu.

Begitupun politik Melayu terus dilanda, bukan sahaja dalam cawan serta piring. Bahkan mejanya pun boleh retak.

Orang Melayu bahkan rakyat Malaysia terjebak dan dijebak untuk menjadi “battle of the king” antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim selama lebih 20 tahun.

Dari BN, PH dan kini PN. Dari gerak gempa politik Melayu, pengalaman dan kemajoritian UMNO sehingga sekarang susah dinafikan. Pasang surutnya itu adat, jika mahu diambil pengajaran untuk peremajaan semula.

Selepas PRU14 terutamanya, UMNO berada dalam keadaan kedudukan yang paling lemah. Namun, gerak gempa ini seakan beristirahat, apabila Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan.

PAS yang begitu sinonim dengan Tuan Guru Hadi Awang, ikhlas cuba melupakan lukanya yang dalam dan panjang dianaktirikan UMNO yang sedar tidak sedar telah begitu lama menggadai ketuanan Melayu demi mengemis fatamorgana “Ketuanan BN” yang digula-gulakan oleh rakan-rakan parti komponennya.

Apatah lagi kemunculan Tok Mat yang sejenak menarik sokongan penyokong atas pagar Melayu dan bukan Melayu. Kecuali ultra kiasu dan penjilatnya yang kononnya melihat bangsa dan haknya tiada nilai dalam Islam.

Dalam masa yang sama Najib Razak yang telah kecundang tetapi mewarisi jiwa besar ayahnya Tun Razak.

Najib Razak rela untuk tidak memimpin UMNO selepas PRU14. Mungkin beliau telah sedar ‘kesilapan’ yang dilakukan selama ini.

Begitupun Najib Razak menjadi Lone Ranger Malaya, “Bossku’ yang tidak ubah sepertii watak P.Ramlee yang memburu pembunuh isterinya dalam filem “Enam Jahanam”.

Akhirnya dengan kesabaran MN, ribut dalam cawan dan piring seakan berlalu, sebaliknya meja PH yang bergegar dek kerana usaha mematahkan kaki meja yang ada Akhirnya, meja utopia PH diruntuhkan oleh sesama mereka sendiri.

Dalam kekalutan itu muncullah PAS, dipandu jiwa politik kenegaraan Tuan Guru Hadi Awang, berusaha menyatukan wadah politik Melayu dengan jenama yang disebut PN. Masing-masing berjiwa besar. Seolah-olah telah bertaubat. Alhamdulillah

UMNO yang sejenak melupakan ia sebagai pemegang kerusi terbanyak. PPBM bertindak sebagai elemen penentu dalam memastikan gabungan PN cukup untuk memerintah.

PAS muncul sebagai “punching bag” abadi politik Melayu, berfungsi menjadi orang tengah berdamai, demi mengurangkan impak pandemik COVID 19 terhadap agama, bangsa dan negara.

Sejenak fajar perpaduan menyinsing, pemimpin politik Melayu seakan tidak serik, tidak belajar daripada sejarah, seolah-olah hilang pedoman, terpancing kuasa. Sekali lagi, kuasa menjadikan Melayu mudah lupa….alpa…

Maka, kini ribut melanda semula, cawan, piring, meja dan mungkin rumah pun bakal runtuh berantakan. Oh Malangnya bangsa ini, malang sungguh negara ini. Nampak masalah depan mata, tetapi disebabkan oleh percaturan kuasa. Mudah sangat mereka lupa atau sengaja buat-buat lupa.

Justeru, sekali lagi PAS adalah “punching bag”, berjaya pun dinista, gagal apatah lagi dicerca. Sedangkan wataknya sekadar orang tengah. Tiada siapa yang mahu tahu, apa yang PAS mahu. Diberi tanggungjawab diambil, dinafikan pun terkebil-kebil.

UMNO mahu ini, PPBM mahu ini, begitulah perbincangan dan kesudahannya. Yang malu-malu menunjukkan kemahuannya cumalah PAS.

PAS, khasnya Tuan Guru Hadi Awang adalah pihak yang sedar diri dan sehabis mungkin cuba meraikan kawan sehingga makan hati.

Atas dasar itu, PAS sentiasa dilihat naif walaupun memainkan peranan yang besar.

Lebih malang lagi, jentera PAS pun, kadangkala sering hanyut dengan permainan parti kawan dan lawan, seolah-olah gagal mencanangkan watak negarawan presidennya.

Kecekalan pemimpinnya, Tuan Guru Hadi Awang yang mempunyai pelbagai gagasan besar dari kerajaan perpaduan, kerajaan teknokrat, negara berkebajikan dan lain-lain seolah tidak difahami atau mahu difahami oleh pengikutnya dengan alasan yang hanya Tuhan yang tahu.

Entah-entah masing-masing sedang mengintai faraidnya.

Namun, dalam diam dan tenang, Tuan Guru Hadi Awang seolah sayu menyatakan “damailah politik bangsa, damailah demi rakyat yang susah di bawah sana, damailah demi generasi anak muda”. Itulah yang selalu saya dengar dalam wacana demi wacana.

Tuan Guru berpesan, usah lagi ribut mengejar pangkat dan harta, membilang kerusi dan meja, mencatur siapa yang bakal berkuasa, menghitung kroni mana yang dapat laba.

Damailah agar kita semua tidak mendapat celaka dari ultra kiasu yang menunggu masa. Dalam renung matanya tentu ada kecewa, puluhan tahun melayari politik negara, “battle of the king”, apa yang dia tidak rasa.

Tuan Guru sanggup lupakan, peminggiran UMNO terhadap PAS ketika mana berkuasa.

Bukan mudah untuk Tuan Guru melupakan semua itu, jika tidak ada agama dan negara dalam jiwanya. Tuan Guru Hadi Awang seolah merenung pengikut dan ingin bertanya kepada pengikut, kawan dan lawan, “apa lagi yang kamu mahu?” walaupun ia seolah tidak pernah ditanya dan diendahkan ” Apa yang Tok Guru Mahu”?

Itulah watak seorang Tuan Guru yang mahukan agama, bangsa dan negara terdaulat di bumi bertuah ini. Malangnya, semua ini tidak dapat dibaca oleh mereka yang gilakan kuasa.

Katakanlah apapun kepada Tuan Guru, cerca dan nista, saya masih yakin Tuan Guru, masih ikhlas berbanding pemimpin lain. Tok Lebai pasca Marang ini, tidak ada apa lagi dalam kehidupannya, melihat untuk memastikan umat Islam dan Bumiputera kuat sebelum menutup mata.

Umatku…bangunlah sebelum terlambat. Sebelum nasi menjadi bubur, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya lagi kerana bubur tidak akan bertukar menjadi nasi.


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post