NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Koronavirus dan penyatuan rakyat Malaysia


ESOK, genap seminggu sesi persekolahan penggal pertama 2021 berlangsung.

Dalam tempoh seminggu ini pelbagai isu mengenai pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) hangat diperkatakan dan dibincangkan di laman sosial. Masingmasing ada luahan dan pendapat tersendiri.

Ia bermula dengan bagaimana untuk menguruskan anak-anak yang dibekalkan dengan peranti mudah alih itu tanpa pengawasan ibu bapa.

Disebabkan komitmen kerja, tugas memantau terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah dan pengasuh. Ada pula yang berdepan masalah capaian internet yang lemah.

Namun, nasib berbeza pula bagi mereka yang berada kelompok B40 yang mana ada anak-anak bergilir-gilir menggunakan satu telefon bimbit milik emak atau ayah mereka bagi tujuan PdPR.

“Saya segan (malu) hendak minta (tablet), tetapi terpaksa demi anak. Kalau boleh tak nak anak ketinggalan pelajaran dan Google Class Room. Salah seorang anak terpaksa mengalah (sebab) guna satu telefon sahaja.”

Situasi sama dihadapi seorang ibu ini yang meluahkan: “Saya nak mohon (tablet) untuk lima anak yang bersekolah, tiga orang di sekolah menengah dan dua di sekolah rendah.”

Itu antara sebahagian komen yang ditinggalkan di ruangan komen Facebook page milik seorang pendakwah terkenal.

Membaca rata-rata komen yang ditinggalkan membuatkan kita sedar masih ramai yang berdepan kesukaran mengikuti PdPR ini. Demi anak dan ilmu, mereka ketepikan perasaan malu.

Apa yang penulis puji adalah sikap prihatin rakyat Malaysia. Sedar akan keperluan alat peranti ini kepada golongan yang memerlukan, seorang demi seorang tampil membantu.

Ada yang menyumbang duit, kudrat dan ada juga tidak ketinggalan berkongsi maklumat mengenai komputer/tablet dan data anak-anak yang memerlukan.

Penulis berpendapat majikan juga harus memainkan peranan dengan menawarkan pinjaman kepada kakitangan bagi tujuan pembelian alat peranti ini.

Mungkin sebelum ini kita tidak sependapat dalam sesetengah perkara, namun tanpa kita sedar koronavirus membuatkan rakyat Malaysia bersatu hati.

Tidak hanya menjaga prosedur operasi standard, menyalurkan maklumat tetapi menerapkan nilai-nilai murni termasuk belas ihsan dalam diri masing-masing.

Seperti peribahasa, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/01/26/koronavirus-dan-penyatuan-rakyat-malaysia/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo