NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sanusi berani, Kit Siang amal ‘holier-than-thou’

oleh: DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

AGAK teruk juga nampaknya Menteri Besar Kedah, YAB Muhammad Sanusi Md Nor, dihadapkan dengan selaran dalam isu perobohan kuil di Kuala Kedah. Paling saya bersimpati ialah bila Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan bahawa YAB Muhammad Sanusi harus diganti sebagai Menteri Besar Kedah kerana tidak layak dan tidak sesuai untuk memegang jawatan tinggi dalam masyarakat majmuk.

Simpati saya ini adalah kerana saya juga pernah menjadi mangsa modus operandi sama yang digunakan oleh Lim Kit Siang yang mempersoalkan kelayakan dan kesesuaian saya untuk menjadi pensyarah di universiti awam dalam masyarakat majmuk.

Modal holier-than-thou beginilah yang lazimnya beliau akan gunakan, bukan dengan menumpukan kepada hujah tetapi kepada menyerang batang tubuh individu. Lim Kit Siang patut fokus kepada soalan beliau sama ada pimpinan PAS kini tidak lagi mampu untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, di antara perkara yang adil dan zalim.

Ini kerana kebenaran dan keadilan dalam isu perobohan kuil atau perobohan mana-mana rumah ibadat lain di mana-mana sahaja sebenarnya sangat mudah: Ia ialah isu undang-undang.

Isu ini telah pernah dinyatakan dengan jelas oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang menyebut begini:

(1) “Orang-orang yang membina dan memiliki kuil di atas tanah kerajaan secara haram adalah penceroboh. Mereka tidak mempunyai apa-apa hak di sisi undang-undang. Kerajaan berhak meroboh kuil itu bila-bila masa.”

(2) “Kerajaan perlu bertindak tegas: Semua rumah ibadat, tidak kira kuil, tokong, gurdwara, gereja, masjid dan surau atau apa juga, yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan atau tanpa mematuhi undang-undang hendaklah diroboh, tanpa diberi tanah gantian dan/ atau pampasan.”

(3) “Sesiapa yang menyokong dan menggalakkan pelanggaran undang-undang dan mengapi-apikan semangat rasis pihak yang melanggar undang-undang sambil menuduh pihak yang hendak melaksanakan undang-undang dengan sah, rasis dan tidak adil, hendaklah dibawa ke muka pengadilan.”

Dan ayat-ayat inilah juga yang dinyatakan oleh YAB Muhammad Sanusi yang menyebut begini:

(1) “Isu perobohan struktur atas tanah yang digazetkan sebagai kawasan lapang di Taman Bersatu Kuala Kedah ialah isu undang-undang, bukan isu perkauman, agama atau diskriminasi.”

(2) “Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan Parit dan Bangunan (Akta 133) tidak hanya dikuatkuasakan kepada kuil Hindu, tokong atau rumah ibadat. Ia berkuatkuasa ke atas semua struktur, binaan dan hadangan yang tidak diluluskan.”

(3) “Jika ada sesiapa dari kalangan pemimpin politik, kaum dan agama cuba mengapi-apikan permusuhan, menghalang undang-undang ditegakkan, menuduh dan memfitnah di luar kebenaran, memutar belit isu undang-undang dengan mengheret kepada isu kaum dan agama, mereka tidak patut dibiarkan berwewenang.”

Bukan tidak ada pun masjid dan surau yang dirobohkan kerana dibina di atas tanah kerajaan di negara ini tetapi ia tidak dijadikan isu perkauman, agama atau diskriminasi, jadi mengapa pula bila yang dirobohkan adalah rumah ibadat bukan-Islam ia cuba dijadikan isu besar?

Walaupun YAB Muhammad Sanusi mungkin pernah tersasul di mana-mana sedikit sebanyak, beliau sebenarnya adalah ahli politik pemberani yang bukan sahaja perlu disokong malah perlu dijadikan ikutan dalam melaksanakan undang-undang tanpa mengira populariti. Semoga lebih ramai klon ahli politik pemberani begini akan muncul di negara ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo