NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Politik kita sihat atau tenat?

Ahli politik cuba menggulingkan kerajaan, mengkhianati parti dan rakan, menghasut orang lain mengkhianati parti dan gabungan sendiri demi kepentingan peribadi.

oleh: Timmy Say
Ketika tempat percutian seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands bersesak dengan ribuan pengunjung, muncul khabar berita bahawa Anwar Ibrahim bakal berjumpa Agong sekali lagi dalam waktu terdekat kerana sudah mendapat 113 akuan berkanun (SD) yang menyokongnya menjadi perdana menteri ke-9.

Khabar ini bermula daripada sebuah portal berita berdasarkan kepada satu sumber PKR yang tidak dinamakan.

Khabar ini menjadi perhatian kerana sebelum itu Setiausaha Agung Barisan Nasional Annuar Musa memberikan amaran kepada mereka yang melakukan gerakan menarik ahli parlimen Umno agar memberikan sokongan kepada Anwar.

Hanya ahli parlimen PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil sahaja muncul mempertikaikan laporan tersebut.

Anwar sendiri dan setiausaha agong PKR pula membiarkan khabar itu berterbangan tanpa menafikannya.

Gelagat itu menyebabkan ramai yang teringat bagaimana Najib Razak cuba melakukan sindiran terhadap kertas A4 buruk yang ditandatangani beliau sendiri bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong Anwar sebagai PM-9 tanpa menafikannya secara terus.

Setakat ini, Najib dan Zahid belum menafikan surat yang terdahulu mahupun khabar yang terkini meskipun ia semakin liar disebarkan.

Undian Belanjawan 2021 akan berakhir minggu ini.

Jika betul Anwar memiliki 113 SD, Belanjawan 2021 boleh dikalahkan minggu ini.

Sebenarnya tiada apa yang rakyat boleh buat sekiranya perkara ini betul berlaku.

Setelah undi diberi, rakyat terus hilang kuasa. Nasib rakyat dan negara berada di tangan 222 ahli Parlimen kita.

Terpulang pada kebijaksanaan 222 ahli-ahli Parlimen kita untuk menguruskannya dalam tempoh sehingga pilihan raya umum seterusnya.

Persoalannya, bagaimanakah semua gerakan politik dinilai dari sudut aras kesihatan politik negara? Apakah ini petanda politik negara semakin sihat ataupun tenat?

Apakah keutamaan seorang ahli parlimen?

Apakah mereka perlu berpihak kepada kebenaran, kepada pegangan diri, kepada gabungan atau kepada parti sendiri?

Hari ini, mereka yang melanggar keputusan parti akan dikenakan tindakan tatatertib.

Mereka yang melanggar keputusan gabungan dikatakan khianat.

Mereka yang melompat parti dilabel sebagai katak.

Semua tindakan ini dipandang negatif meskipun ia halal dalam sistem demokrasi.

Hakikatnya, kebanyakan tindakan ahli parlimen masih tertakluk kepada keputusan parti meskipun satu-satu perkara itu jauh daripada kebenaran.

Sistem demokrasi tidak menjamin keperluan asas sebuah negara dan rakyat – iaitu satu kerajaan yang stabil dan berfungsi dapat dipenuhi.

Contohnya, sistem demokrasi kelihatan subur dan sihat apabila upacara angkat sumpah menteri besar dilakukan tiga kali dalam tempoh kurang tiga tahun.

Bahkan, ia menunjukkan negara mempunyai situasi politik yang matang kerana menteri besar dan kerajaan boleh bertukar dengan aman.

Sistem demokrasi langsung tidak mengambil kisah impaknya terhadap rakyat mahupun memberikan gambaran gagalnya kepimpinan orang yang berpolitik.

Sistem demokrasi juga membenarkan mana-mana ahli parlimen yang bercita-cita menjadi PM mencari majoriti yang diperlukan meskipun tindakan itu menyebabkan negara kelihatan tidak stabil sehingga pelabur hilang keyakinan.

Oleh kerana sistem demokrasi negara menghalalkan orang yang bercita-cita besar untuk bertindak sedemikian, maka akan ada ahli politik yang akan terus berpolitik cuba menggulingkan kerajaan, mengkhianati parti dan rakan, menghasut orang lain mengkhianati parti dan gabungan sendiri, cuba menjadi PM, cuba menghalang orang lain menjadi PM dan menghalang orang lain dilantik sebagai ketua pembangkang.

Di mata sistem demokrasi yang sihat, perkara ini akan semakin menjadi-jadi apabila kerajaan mempunyai majoriti tipis meskipun keadaan semasa negara dan rakyat adalah tenat.

Yang rakyat boleh buat ialah reda sahaja sambil bertahan menunggu musim Covid-19 berlalu hingga tibanya hari kuasa rakyat dikembalikan ke tangan mereka untuk mengundi barisan pimpinan politik yang baru.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo