NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu air Kedah-Pulau Pinang: Perjanjian 1985 perlu disemak semula


Tak wajar Kedah tanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran, tapi Pulau Pinang nikmati faedah secara percuma
ALOR SETAR, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Kerajaan Persekutuan disaran campur tangan dalam melaksanakan rundingan bagi menyelesaikan isu bayaran sumber air mentah yang dituntut Kedah daripada Pulau Pinang sejak 2010.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peranan kerajaan persekutuan sebagai fasilitator itu termasuk bagi membantu rundingan antara Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Beliau berkata, merujuk kepada Perjanjian 1985 antara kedua negeri, ia adalah kesepakatan yang dicapai bagi menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di Kedah.


Namun, perjanjian itu perlu disemak semula berikutan terdapat keperluan bekalan air yang semakin meningkat, serta keperluan kepada pembangunan dan mengekalkan kelestarian alam semula jadi bagi tujuan mengekalkan sumber air.

“Jaminan ini hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selama-lamanya.

“Selepas 35 tahun, keperluan untuk terus memberi jaminan air sudah berubah mengikut keperluan dan permintaan bekalan air terawat pada masa kini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada masa sama, beliau menganggap tidak wajar Kedah yang terpaksa berkorban bagi mengekalkan hutan yang luas selain menanggung kos penyelenggaraan sumber serta aliran air.

Sedangkan katanya, Pulau Pinang menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.

“Apabila wujud kos terbabit, sewajarnya ia turut dipikul Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah. Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat.

“PBAPP patut membayar caj pengekstrakan air daripada sumber air mentah Kedah supaya manfaatnya dapat dikongsi secara bersama rakyat di kedua-dua negeri,” katanya.

Selain itu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) turut membayar caj dikenakan LSANK bagi tujuan membekalkan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah, manakala Pulau Pinang tidak perlu dikenakan sebarang bayaran.

Muhammad Sanusi berkata, penggunaan air di Kedah adalah kira-kira 800 juta liter sehari (mld), sedangkan PBAPP yang mengekstrak 80 peratus sumber air dari Sungai Muda menggunakan sebanyak 1,100 mld sehari.

Disebabkan itu, katanya, caj sama patut dikenakan kepada PBAPP, meskipun sumber air yang diekstrak adalah di sebelah sempadan Pulau Pinang kerana sumber asal air adalah dari Sungai Muda di Kawasan Tadahan Ulu Muda di Kedah.

Sumber: https://ismaweb.net/2020/12/13/isu-air-kedah-pulau-pinang-perjanjian-1985-perlu-disemak-semula/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo