Pilihan utama UMNO, bentuk semula kerajaan Perak seperti asal

 



KUALA LUMPUR: UMNO perlu membentuk semula kerajaan Perak bersama PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan wakil rakyat Bebas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ini termasuk jika Menteri Besar baru sudah diberi perkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Katanya, pilihan selain itu termasuk kononnya UMNO perlu bekerjasama dengan DAP bukanlah pilihan utama.

"Pilihan pertama yang utama tentu UMNO mesti bersama dengan PAS, Bebas dan BERSATU untuk tubuh kerajaan dengan Menteri Besar baharu.

"Pilihan lain memang ada tapi pada saya ia bukan yang pertama dan utama," katanya menerusi laman Twitter beliau, hari ini.

Ahmad berkata, pucuk pimpinan semua parti tentu akan membuat keputusan terbaik untuk negeri, rakyat dan negara.

Pagi tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan parti itu dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di Perak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya seboleh mungkin mengekalkan jajaran politik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sehingga kini, bayangan siapa calon Menteri Besar masih menjadi teka-teki dengan UMNO sudah mengesahkan akan mengemukakan senarai nama untuk dipersembah Sultan Nazrin.

UMNO Perak malam tadi mengadakan mesyuarat khasnya di Ipoh antara lain bagi memutuskan nama calon Menteri Besar, namun semua pemimpin UMNO ditemui dan dihubungi mengunci mulut untuk berkongsi bayangan calon berkenaan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/762167/pilihan-utama-umno-bentuk-semula-kerajaan-perak-seperti-asal
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post