NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Masih Kekal Bersama MN - Idris Ahmad

KOTA MELAKA: Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad menafikan khabar angin yang tersebar di ruangan maya akhir-akhir ini kononnya PAS bakal meninggalkan Muafakat Nasional (MN).

Menurut beliau, khabar angin tersebut hanyalah sentimen yang dimainkan oleh musuh yang cuba menyusup masuk ke dalam parti gabungan MN ini untuk memecahbelahkan perpaduan di dalam gabungan ini dan memenangkan Pakatan Harapan (PH).

“Saya masih lagi terlibat dalam Jawatankuasa Perunding di Peringkat Nasional dan juga Jawatankuasa Teknikal. Jawatankuasa Teknikal ini saya pengerusi dan Dato’ Seri Khalid Nordin (pengerusi) di pihak Umno.

“Di peringkat jawatankuasa perunding (Umno) diketuai oleh Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan dan PAS pula diketuai oleh Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Memang baru-baru ni kita mesyuarat… tak ada apa-apa, dan hari ini pun kita mesyuarat lagi,” ujar beliau menyangkal tentang khabar angin tersebut.

Ketika ditanya tentang harapan beliau terhadap masa depan MN, Ustaz Idris berharap agar MN dapat diperkukuhkan lagi kerana ini wadah untuk dua parti yang teras dalam kalangan orang Melayu yang mempengaruhi peringkat akar umbi sama ada di peringkat ahlinya, kepimpinan sehingga ke peringkat bawah.

“PAS juga pernah bersama dengan Parti Melayu, Semangat 46 dan sebagainya zaman dahulu, cuma tidak berapa kuat. Tetapi apabila kita wujudkan perpaduan dengan Umno, kita jadi kuat sebab Umno ni dia ada grassroot dan PAS pun ada grassroot,” ujar beliau.

Sementara itu, apabila diminta mengulas tentang pembentukan kerajaan baharu Perak berkaitan portfolio Exco yang diberikan kepada PAS, beliau berkata orang PAS ini diibaratkan seperti pepatah Melayu tentang benih yang baik.

“Kalau campak di laut jadi pulau, campak di darat jadi gunung. Insya-Allah kita boleh kerja mana-mana tempat dan bukan suatu masalah yang besar,” ujar beliau.

Ustaz Idris berkata demikian kepada Harakahdaily semasa ditemubual selepas merasmikan Maktab Quran Al Iqra di Taman Alai Perdana, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Ustaz Idris telah menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid As-Syakirin Pasir Puteh, Bachang yang turut dihadiri oleh Exco Melaka, Dato’ Norhizam Hassan Baktee dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Dato’ Ustaz Kamarudin Sidek.

Sementara itu, pengasas Maktab Quran Al-Iqra, Dr Mohd Rozey Baba, 51, menjelaskan bahawa matlamat penubuhan pusat ilmu ini adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai yang ingin mempelajari ilmu Al-Quran dengan lebih mendalam melalui pengajian talaqqi, iaitu bersemuka dengan guru tanpa perantaraan.

“Kita akan ajar dia daripada huruf yang pertama sampai juzuk Quran habis dan kita tambah nilai orang awam supaya Al-Quran jadi pakaian harian. Maknanya apabila dia bangun tidur, perkara pertama kalau dia pegang telefon pintar itu, dia akan baca Al-Quran.

“Masa pengajian selepas waktu Isyak dan Subuh manakala pengajian pada waktu siang hari perlu tengok kepada keperluan sebab yang mahu datang kebanyakan yang bekerja,” ujar beliau menjelaskan tentang pusat pengajian ini yang bakal beroperasi pada bulan Januari tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 29/12/2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo