Responsive Ad Slot

PAS Akan Bincang Kemelut Politik Di Perak

0
KOTA BHARU – PAS akan mengadakan mesyuarat di peringkat parti itu bagi membincangkan kemelut politik yang berlaku di Perak selepas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dewan menerusi usul undi percaya semalam.

Timbalan presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beberapa perkara perlu dibincangkan terutama membabitkan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“PAS sendiri tidak dibawa berbincang lebih awal oleh UMNO mengenai usul itu. Apa pun PAS yakin akan ada jalan penyelesaian yang akan diambil oleh UMNO berkaitan isu itu.

“PAS sendiri telah buat kenyataan rasmi berkaitan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa taman perumahan yang terjejas akibat banjir di Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Semalam PAS membuat ketetapan untuk tidak menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri Perak yang baharu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata PAS akan terus berperanan sebagaimana biasa dalam masyarakat di peringkat negeri mahupun nasional.

Semalam, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai seorang Menteri Besar.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3), PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Mengulas isu itu lagi Tuan Ibrahim berkata apa yang diharapkan agar kerajaan negeri yang bakal dibentuk itu bukannya kerajaan yang dikuasai oleh pembangkang.

“Ia harus kekal di bawah kerajaan PN. Ini perlu dijaga dan kalau ada apa masalah perlu ada perundingan bersama. Apa pun saya perlu menghormati UMNO dan yakin parti itu ada jalan penyelesaian,” katanya.

— BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo