Responsive Ad Slot

Muafakat Nasional Bincang Krisis Politik Perak Esok - Annuar

0
KUALA LUMPUR: UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN) akan mengadakan mesyuarat malam ini, bagi membincangkan situasi pembentukan kerajaan Perak.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan malam ini diikuti dengan mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam esok.

"Malam lusa (Rabu) Jawatankuasa Perundingan MN (bermesyuarat). Berunding itu lebih baik, Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) juga patut bertemu.

"Selesaikanlah dengan cara baik sebagai rakan seperjuangan. Teguh kita, menang bersama… InsyaAllah," katanya menerusi posting akaun Twitter miliknya hari ini.


Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mengesahkan kehadiran beliau ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini.


Mesyuarat berkenaan akan dipengerusi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dijangka memberi fokus kepada situasi pembentukan kerajaan negeri Perak.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dikatakan antara calon Menteri Besar Perak daripada UMNO bagi menggantikan ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Jumaat lalu, ketika persidangan DUN, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU gagal memperoleh undian majoriti dalam usul undi kepercayaan terhadapnya dan meletak jawatan menteri besar secara rasmi pada hari berikutnya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pucuk pimpinan PAS akan membincangkan isu pembentukan kerajaan baharu negeri Perak bagi menentukan sama ada parti itu akan terbabit atau sebaliknya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo