Responsive Ad Slot

Malaysia Akan bincang dengan Arab Saudi Untuk Kelonggaran Jemaah Tunai Haji Tahun Depan


PETALING JAYA, 21 Dis -- Kerajaan akan membincangkan syarat dan kelonggaran untuk jemaah dari negara ini menunaikan ibadat haji tahun depan dengan Arab Saudi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata perbincangan itu meliputi pertimbangan sama ada jemaah Malaysia perlu dibekalkan vaksin COVID-19 atau sebaliknya.

"Ikut kebiasaannya akan ada mesyuarat bersama dengan Kerajaan Arab Saudi dan pada masa itu, akan diperjelaskan mengenai kedudukan dan syarat-syaratnya. 

"Insya-Allah apabila ada kejelasan itu nanti, kita akan rancang yang terbaik termasuk dari segi jemaah akan dibekalkan dengan vaksin COVID-19 atau tidak. Buat masa ini, masih terlalu awal (untuk diberitahu) dan kita akan tunggu hasil mesyuarat itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha TH dalam meyakinkan Arab Saudi untuk memberikan kelonggaran kepada jemaah haji dari negara ini memandangkan Malaysia dijangka menerima vaksin bagi virus itu pada suku pertama tahun depan.

Nik Mohd Hasyudeen berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ 1 antara TH dan Bukit Damansara Development Sdn Bhd di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyaksikan majlis menandatangani tawaran pembelian tersebut. 

Bagaimanapun, Nik Mohd Hasyudeen tidak memperincikan jangka masa mesyuarat bersama Arab Saudi itu akan berlangsung.

Beliau berkata TH juga masih menunggu penjelasan Arab Saudi mengenai pelaksanaan haji pada tahun depan.

Tahun ini, buat pertama kali dalam sejarah, hanya 10,000 jemaah haji di seluruh dunia dibenarkan menunaikan ibadat itu berbanding 2.5 juta orang pada tahun lepas sebagai usaha mengekang penularan COVID-19.

Nik Mohd Hasyudeen juga berkata TH komited dalam mencari peluang baharu bagi mempergiatkan pelaburan termasuk dari segi hartanah, ekuiti atau pendapatan sekali gus memberi manfaat dan pulangan yang mampan kepada sembilan juta pendepositnya. 

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo