Kemelut Politik Di Perak: PH Akhirnya Terkecewa Lagi

Seperti ramai yang lain, saya juga terkejut dengan tindakan 24 ADUN UMNO bekerjasama dengan 24 ADUN dari PH, iaitu 16 ADUN DAP, 5 ADUN AMANAH dan 3 ADUN PKR, mengundi menjatuhkan Datuk Seri Faizal Azumu selaku Menteri Besar Perak hari ini.

(UMNO sebenarnya ada 25 ADUN dalam DUN Perak, tetapi salah seorang ADUN-nya, iaitu ADUN N1 Pengkalan Hulu, Dato’ Aznel Ibrahim, telah dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada 12 Oktober lalu yang menyumbang kepada salah satu isu).
Tertanya-tanya juga saya dengan siapakah dan dengan parti manakah ADUN-ADUN UMNO ini akan bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri yang baru kerana mereka secara sendirian tanpa bantuan ADUN-ADUN lain pastilah tidak mampu berbuat demikian.

Terfikir juga dalam minda saya apakah tindakan sebegini tidak akan mengundang reaksi balas yang boleh menjatuhkan pemimpin UMNO selaku Menteri Besar di negeri seperti Johor dan Melaka atau apakah tindakan sebegini akan berpanjangan hingga ke peringkat Pusat.

Turut bermain dalam minda saya ialah apakah penolakan undi kepercayaan ini adalah kepada Datuk Seri Faizal Azumu selaku seorang individu atau kepada seluruh pemimpin BERSATU serta apakah UMNO Perak masih akan berpakat dengan BERSATU lagi selepas ini.

Ia agak membingungkan tatkala hubungan di peringkat Pusat sudah kelihatan semakin baik dengan penubuhan Majlis Presiden, hasil cadangan UMNO sendiri, membabitkan Presiden semua parti yang menjadi anggota kerajaan telah diterima baik oleh semua pihak.

Begitupun, semua persoalan ini sudah terjawab melalui kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Bin Maslan, lewat petang ini yang menyatakan:
(1) UMNO berpendirian bahawa Kerajaan PN di Perak mestilah dikekalkan.
(2) Semua barisan EXCO Kerajaan Negeri juga mesti diteruskan.
(3) UMNO juga berpendirian bahawa BERSATU dan PAS harus bersama mendokong Kerajaan PN Negeri Perak.
(4) Undi percaya yang berlaku pada hari ini hanya melibatkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status Kerajaan Negeri.

Kalau inilah sahaja tujuannya, iaitu mahu menukar “jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status Kerajaan Negeri”, sepatutnya boleh dibawa ke Majlis Presiden sahaja.

Sekarang ini, ekoran corak pengundian hari ini, tidak semena-mena UMNO terpaksa menepis tuduhan kononnya ia sanggup bersekongkol dengan DAP depi mencapai matlamatnya.

Sedikit komplikasi juga akan timbul kerana Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyebut “Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli DUN itu, kemudian hendaklah ia mempersembahkan letak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu…”

Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak ini sebenarnya adalah sama dengan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri…”

Oleh itu, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak perlulah meletakkan jawatan terlebih dahulu sebelum mereka boleh dilantik kembali setelah seorang Menteri Besar baru yang mendapat kepercayaan majoriti ADUN terlebih dahulu dilantik.

Kalau UMNO Perak akur kepada pendirian UMNO Pusat seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO ini maka akan sia-sia sajalah nampaknya Nga Kor Ming, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Asmuni Awi menghadap Sultan Perak esok.

Apa pun, semoga insiden ini tidak akan berlarutan untuk satu tempoh yang lama, semoga ia boleh menjadi peringatan yang berguna kepada semua pihak serta semoga ia akhirnya akan mampu mengeratkan lagi kerjasama antara UMNO, BERSATU dan PAS.

p/s: Ramai terkejut ADUN Umno bekerjasama dengan ADUN Dap
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post