Disebalik Bantahan Penganjur MPWM 2020 Tetap Berdegil Untuk Teruskan Acara Kemuncak

Penganjur pertandingan ratu cantik Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 (MPWM 2020) tidak akan membatalkan acara kemuncak program tersebut, kecuali jika ada arahan pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Ia susulan gesaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan PAS agar acara itu, yang dijadual berlangsung pada 2 Januari depan di Kuala Lumpur, tidak diteruskan.

Pengarah Eksekutif Nasional MPWM 2020, Ziinine AS Britshi berkata demikian selepas gesaan beberapa pihak, seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan PAS, agar acara ratu cantik yang mengetengahkan wanita bersaiz besar itu dibatalkan.

“Saya tak fikir kami boleh hentikan Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 kecuali kerajaan atau polis tiba-tiba menyuruh kami batalkan ia dengan serta-merta,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, dakwaan bahawa acara itu menggalakkan hedonisme dan tidak membawa sebarang manfaat adalah tidak berasas.

“Sekiranya acara ni didakwa menggalakkan perkara negatif, MPWM 2020 meminta pihak terbabit untuk memberikan bukti yang kukuh,” katanya.

Dalam bantahannya dua hari lalu, Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan antara lain menyifatkan acara seumpama itu sebagai menyuburkan budaya hedonisme dan mempunyai unsur mengeksploitasi wanita.

Dia yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS berkata penganjurannya memberi isyarat yang salah, seolah-olah kerajaan sekarang merestui program seumpamanya.

Dia juga berkata Yadim akan menghantar memo bantahan kepada penganjur dan juga pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun setakat laporan ini ditulis, Ziinine pihaknya masih belum menerima memo tersebut.

Hari ini PAS turut mendesak supaya acara itu dibatalkan dengan menyifatkannya sebagai program berunsur maksiat dan seharusnya tidak dilaksanakan Malaysia, di mana majoriti warga adalah beragama Islam.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama MPWM 2020 bakal diadakan di negara ini dengan objektif membina kesedaran terhadap perlecehan fizikal (body shaming) dan buli.

MPWM 2020 dalam satu kenyataan turut mempertahankan visi acara berkenaan adalah untuk meraikan, menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan dan keyakinan wanita bersaiz besar.

Penganjur juga berkata acara itu tidak menampilkan pertunjukan bikini atau pakaian renang.

'Peserta Muslim tak diminta buka tudung'

Dalam pada itu, Zaniine turut meminta penjelasan pihak berkuasa sama ada semua acara berlandaskan kecantikan wajar dihentikan di Malaysia atas faktor agama, memandangkan negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum.
“Saya berharap ada pihak dapat memberikan pencerahan berhubung isu berbangkit - bagaimana dengan bukan Muslim? Acara ni tidak menyalahi budaya Kristian, Cina mahupun India.

“Kami menerima sekurang-kurang empat penyertaan daripada wanita Muslim namun kami tak pernah meminta mereka menanggalkan tudung kerana kami menilai sikap positif dan kepimpinan mereka selain mahukan individu bertubuh besar mengamalkan hidup sihat, bukannya mahu ketengahkan peserta berpakaian seksi.

“Ini antara perkara yang membezakan acara kami berbanding sesetengah pertandingan kecantikan lain,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas risiko penularan Covid-19 sekiranya acara tetap diteruskan, Zaniine bertegas bahawa MPWM 2020 yang akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya hanya membenarkan kehadiran tidak melebihi 200 orang.

Katanya, ia sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara walaupun acara tersebut akan diadakan dalam ruang berkapasiti besar.

“Kami hanya akan tempatkan 150 orang mengikut SOP hotel walaupun dewan boleh tempatkan 1,000 orang pada satu-satu masa,” katanya.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post