NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lagi Mangsa Macau Scam Kerugian Setengah Juta Ringgit


GEORGE TOWN, 21 Dis -- Seorang pesara guru kerugian lebih RM512,316 selepas wanita itu ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram, dalam kejadian di sini baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang, ACP Mohd Rosni Mohd Lazim berkata wanita berusia 60-an itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Fairul dari Kota Kinabalu, Sabah.

"Lelaki itu mendakwa mangsa terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram dan suspek turut memaklumkan menemukan bungkusan milik warga emas berkenaan yang mengandungi lapan kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang digunakan bagi menipu.

"Mangsa yang ketakutan kemudian diminta mengikut arahan suspek dengan meletakkan kad ATM miliknya berserta nombor pin dalam peti surat rumah mangsa, kononnya ia adalah arahan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan kad itu akan diambil oleh seorang 'Inspektor polis'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lelaki itu turut mendakwa mangsa akan dimasukkan ke dalam lokap sekiranya tidak mengikut arahan diberikan dan wanita tersebut yang ketakutan mengikut arahan suspek serta keesokannya mendapati kad ATM yang dimasukkan ke dalam peti surat itu tiada.

Mohd Rosni berkata sebulan selepas kejadian itu, pesara guru tersebut membuat kad ATM baharu kerana mahu mengambil wang pencennya dan pada masa sama menyemak penyata akaun sebelum mendapati semua simpanannya dalam akaun iaitu RM512,316 sudah dikeluarkan.

Katanya wanita itu yang menyedari dia ditipu bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo