NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belanjawan Sabah 2021 Berjumlah RM4.303 bilion

KOTA KINABALU, 18 Dis -- Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor hari ini membentangkan Belanjawan Sabah 2021 berjumlah RM4.3 bilion pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, yang memberi fokus kepada membangunkan ekonomi mampan demi kesejahteraan rakyat.

Belanjawan yang bertemakan ‘Rakyat Sejahtera Ekonomi Mampan’ itu berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan bagi menyemai semangat, nilai murni dan sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan rakyat supaya bersatu dan bekerjasama membina kemajuan dan kejayaan negeri.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah, ketika membentangkan belanjawan pertama kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata kutipan hasil negeri tahun depan dianggarkan RM4.48 bilion menjadikan belanjawan lebihan RM178.7 juta.


"Anggaran hasil diunjur meningkat sebanyak tujuh peratus atau RM289.54 juta berbanding anggaran tahun semasa RM4.19 billion dengan peningkatan hasil ini adalah kerana wujudnya sumber hasil baharu daripada kutipan Cukai Jualan Negeri.

"Cukai jualan ke atas produk petroleum merupakan penyumbang terbesar dengan anggaran hasil RM1.25 bilion atau mewakili 27.9 peratus daripada keseluruhan anggaran hasil 2021," katanya ketika berucap membentangkan belanjawan itu.

Hajiji berkata pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberi impak signifikan kepada prestasi kutipan hasil negeri tahun ini apabila anggaran hasil yang telah disemak diunjur berkurangan 17 peratus kepada RM3.47 bilion berbanding anggaran asal.

"Pengurangan ini disebabkan pengeluaran dan purata harga minyak mentah yang lebih rendah telah menyebabkan kutipan hasil daripada sumber ini turut terjejas. Kutipan hasil sebenar royalti petroleum pada 2020 adalah RM1.13 bilion berbanding anggaran asal berjumlah RM1.7 bilion," katanya.

Beliau berkata kutipan hasil daripada cukai jualan minyak sawit mentah diunjur berkurang kepada RM793 juta berbanding anggaran asal tahun ini sebanyak RM825 juta, disebabkan pengeluaran yang lebih rendah walaupun harga minyak sawit mentah berada pada paras yang baik.

Katanya, peruntukan RM4.3 bilion untuk Belanjawan Sabah 2021 melibatkan kenaikan sebanyak  3.85 peratus berbanding RM4.14 bilion untuk Belanjawan 2020 dan jumlah itu akan diagih bagi pembayaran Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.

"Sejumlah RM736.65 juta disyorkan untuk Emolumen yang mencatatkan penurunan sebanyak RM2.94 juta atau 0.40 peratus berbanding anggaran tahun 2020 berjumlah RM739.59 juta. Penurunan ini melibatkan proses rasionalisasi dalam perkhidmatan awam." katanya.

Hajiji berkata RM1.6 bilion yang diperuntukan untuk Perbelanjaan Berulang,  melibatkan peningkatan sebanyak RM106.98 juta atau 7.15 peratus berbanding anggaran tahun 2020 sebanyak RM1.49 bilion.

"Kenaikan ini mengambil kira peningkatan penyelenggaraan landasan keretapi, pentadbiran  pembangunan kemajuan sukan, program berulang bawah Jabatan Kerja Raya, operasi pengeluaran air dan pewujudan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah," katanya.

Beliau berkata bagi Perbelanjaan Khas pula RM1.96 bilion diperuntukkan meningkat sebanyak RM55.36 juta atau 2.9 peratus berbanding anggaran tahun 2020 yang berjumlah RM1.9 bilion.

"Peningkatan Perbelanjaan Khas tahun 2021 disebabkan oleh peruntukan berkaitan bantuan  pandemik COVID-19 dan pasca COVID-19 serta caruman bagi menampung kekurangan di bawah Kumpulan Wang Amanah," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata RM964.15 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan negeri  merangkumi peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM733.1 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM231.05 juta.

Beliau berkata, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan itu termasuk Pembayaran Imbuh Balik Persekutuan berjumlah RM31.65 juta dan Pinjaman Persekutuan sebanyak RM199.4 juta.

Usul belanjawan itu kemudian disokong Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) dan Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya menangguhkan persidangan itu ke Isnin ini.


-- BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo