NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahmad Fauzi Dilantik Naib Canselor UTM baharu


KUALA LUMPUR, 21 Dis -- Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, dilantik sebagai Naib Canselor UTM yang baharu berkuat kuasa mulai 1 Jan 2021 sehingga 31 Dis 2023.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, yang telah tamat tempoh lantikannya pada 31 Ogos lepas.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata beliau percaya dengan pelantikan itu, Ahmad Fauzi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan dalam mengekalkan kegemilangan UTM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan terbaik negara.


“Beliau (Ahmad Fauzi) telah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM sejak tahun 2015 dan mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam pembangunan teknologi membran.

“Beliau juga adalah editor jurnal Desalination, The International Journal on the Science and Technology of Desalting and Water Purification, terbitan Elsevier UK dan merupakan saintis Asia pertama dilantik sebagai editor sejak pelancaran jurnal tersebut 50 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahmad Fauzi, 54, berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dan Sarjana Kejuruteraan Kimia dari UTM, serta memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Kimia dan Proses dari University of Strathclyde, Scotland, United Kingdom.


Sehingga kini, Ahmad Fauzi telah menerbitkan lebih 900 jurnal berwasit, lapan buah buku karya asli, 66 bab dalam buku dan telah menyunting 10 buah buku, selain terlibat dalam penghasilan lebih 30 buah paten. 

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo