Waspada kuda Trojan DAP pecah perpaduan PN

Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

14 NOV: Parti-parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus memperkukuhkan muafakat bagi menghalang strategi Pakatan Harapan (PH) yang didalangi DAP untuk memecahbelahkan kesatuan dalam gabungan politik itu dapat dilaksanakan.

Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata semua pemimpin parti harus mengenang kembali perjuangan penyatuan ini sehingga menyebabkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dapat ditumbangkan dan PN berjaya menjadi kerajaan walaupun memperoleh majoriti yang tipis.

“Kini tidakkah kita perlu kuatkan lagi muafakat kita, perikatan kita, barisan kita? Atau kita kembali berpecah? Pada saya, jika mahu berjaya dan dipercaya, pastikan kerajaan PN jadi kerajaan yang berjaya, Kabinet yang bersatu, pasukan yang bekerja, jujur dan setia.
“Malangnya kini terdapat tanda-tanda muncul pihak yang mahu berpecah-belah. DAP dan rangkaian kembali mendapat rentak seperti sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 iaitu pecahkan kesatuan kita.

“Ini kerana yang paling ditakuti mereka ialah jika UMNO, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersatu dan menentang PH secara dua penjuru, ” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar menyeru setiap pemimpin yang mendukung PN berhati-hati seperti mana al-Quran mengajar umat Islam agar sentiada berpegang teguh pada tali ALLAH dan jangan bercerai-berai.

“Islam mengingatkan kita jangan berbantah bantah nescaya kita hilang kekuatan. Bangsa kita punya bidalan bersatu teguh bercerai roboh.

“Saya sendiri dituduh macam-macam hanya saya berharmoni dalam Kabinet dan bernaung bawah pimpinan Perdana Menteri yang merupakan Presiden Bersatu. Saya bertugas sebagai Setiausaha Agung BN dan Muafakat Nasional (MN) yg menjaga hubungan baik dengan Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Agung Bersatu,” katanya.

Namun Annuar yang merupakan Setiausaha Agung Bersama Sekretariat MN tetap beristiqamah dengan memegang pendirian parti yang menyatakan menyertai PN secara en bloc yang menerima Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan prinsip ‘Tolak DAP, Tolak Anwar’.

Tambahnya, beliau akan sentiasa menyatupadukan semua parti yang mendokong PN sebagai teras politik penyatuan Melayu di samping muafakat lebih besar dengan penyertaan pelbagai kaum dalam parti.

“Saya tidak mahu menoleh kebelakang, terus mara ke depan dengan dasar yang parti putuskan itu. Kita tidak akan biarkan DAP kembali berkuasa,atau cuba menguasai melalui politik wayang Cina.

“Saya percaya mereka kini ada strategi lebih halus, strategi kuda Trojan yang berpura-pura berada bersembunyi di belakang, tetapi tetap berikhtiar agar Bersatu, UMNO dan PAS berpecah.

“Bersatulah, berpadulah.. PN, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Nasional dan inilah barisan kita,” katanya. 
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post